Bab 24 ~ Andai kita tak dapat hidup bersama…

PINTU diketuk bertalu-talu. Keyra mengambil bantal lalu dipekup ke muka. “Hisy…. kacaulah orang nak tidur!” omelnya dengan mata terpejam rapat. Tetapi ketukan itu terus bergendang di telinganya. Dengan terpaksa dia bangun lalu menarik daun pintu.

“Awak nak apa?” soalnya dengan suara serak. Rambut serabai dan mukanya yang  sembab langsung tidak dipedulikan.

Hardy tergelak. Menapak masuk di belakang Keyra yang berjalan laju dan merebahkan tubuh ke katil semula.

“Bangunlah…” Hardy menggoncang tubuh isterinya yang sudah berkelubung.

“Tak mahu! Tak mahu!” Keyra merengek geram. Cuaca dingin dan bunyi deruan ombak yang boleh didengar dari bilik menyebabkan tidurnya cukup enak. Sayang mahu lepaskan. Sebaik menunaikan solat subuh tadi, dia tidak dapat menahan keinginan dari menyambung tidur semula.

“Keyra… bangunlah sayang…” Hardy menarik lalu mencampak gebar Keyra ke bawah katil.

“Ouch!” Dia bagun sambil berpeluk tubuh. Wajahnya masam.

“Jom…” Hardy sengih sambil angkat kening.

“Jangan kata jom jatuh cinta lagi!”

“Tak. Saya nak bawa awak jalan-jalan di pantai. Tapi hakikatnya memang saya nak ajak awak bercinta semula.”

Huwaa… sedihnya. Rasa macam nak terjun lombong dengar ayat jiwang begitu. Tapi saat itu dia tidak berminat mahu berjalan ke mana-mana sekalipun. Inikan pula diajak bercinta. Dia hanya nak tidur! Dia sudah pejam celik mata beberapa kali. Tetapi masih tidak mampu membuang rasa kantuk yang menggila.

“Namanya pun bercuti. Jomlah pergi jalan-jalan, ambil udara segar, lapangkan fikiran dan tenangkan hati.”

Keyra tidak langsung menunjukkan rasa berminat. Malah, matanya terpejam semula.

“Keyraaa… awakkk… sayanggg…”

Panggilan Hardy langsung tidak diendahkan.

“Tiga puluh minit. Siap. Saya tunggu awak di bawah.” Lelaki itu berjalan keluar tanpa menoleh lagi. Daun pintu ditutup. Kalau ikutkan hati, diheret sahaja tangan isterinya untuk turut serta. Tetapi apabila mengenangkan akibatnya nanti, dia lebih rela mengalah.

“Merajuk ke?” gumam Keyra sendiri. Dia melelas dagu. “Macam itu ke gaya lelaki merajuk?”

“Ah! Lantaklah… malas nak fikir.” Dia bangun perlahan-lahan. Otot-otot badannya yang berasa sengal dan kebas sebab banyak tidur diregang ke kiri dan kanan. Atas dan bawah.

Keyra menguap panjang. Tak seksi dan feminin langsung! Dia tergelak sendiri bila sedar kelakuan tak senonoh yang tak disengajakan itu.

“Kalau angah tengok memang kena luku kepala.” Dia tergelak. Mencapai tuala dan mengheret kaki ke bilik mandi.

SEDAR tak sedar, dia sudah terbabas lebih 30 minit. Keyra keluar dari pintu lif setelah membiarkan lelaki itu menunggunya. Dari jauh kelihatan Hardy tersandar di sofa dengan berkaca mata hitam.

“Kita nak ke mana?” soalnya sambil duduk bertentangan.

Hardy diam.

Aik! Merajuk tak habis lagi ke?

“Awak,” panggilnya.

Masih juga tiada sebarang reaksi.

Keyra mendekatkan diri. Mengintai di sebalik cermin mata lelaki itu. “Uh! Tidur rupanya.” Dengan nakalnya dia menarik sehelai rambut dari bahagian tengah kepala Hardy.

“Aduh!” Lelaki itu terbangun. Tubuhnya tegak. Dia terpinga-pinga.

Keyra tersengih.

“Suka sangat buat perangai macam tu,” marah Hardy sambil menggosok kulit kepalanya yang berasa pedih.

“Ya ke?”

“Awak… awak dah mula ingat?” soal Hardy ceria.

“Tak adalah… saya memang dari dulu lagi suka sakat along dengan angah begitu,” jawabnya tulus dan ikhlas. Memang tak ada kena-mengena dengan kisah mereka langsung!

Hardy mencebik. Mendesah. Kemudian menghulur tangan ke arah Keyra.

“Ke mana?”

“Ikut sajalah…” Bila tangannya tidak bersambut, Hardy mencapai lalu mengheret tangan isterinya.

SEPANJANG berjalan hampir 20 minit, sepatah perkataan pun belum keluar dari mulut lelaki itu. Hanya siulannya sahaja yang tidak berhenti berlagu. Membuatkan telinga Keyra berasa sengal dan kebas.

Dia membuang pandangan ke arah laut. Tidak berminat untuk melayan feeling overdose Hardy.

“Notice something?” soal lelaki itu tiba-tiba.

“Hmm…” Keyra blur. Ingat dia tukang tilik ke boleh ramal segala benda. Memori sendiri pun tak ingat. Inikan pula mahu buat ramalan Nujum Pak Belalang.

Hardy bersiul semula. Alunan yang sama. Mendayu-dayu menusuk ke telinga isterinya. Tetapi bagi Keyra siulan itu kedengaran begitu menyakitkan telinga dan hati.

“Again? Seriously?” soalnya sambil mengetap bibir.

Ketawa Hardy bergema. “Sedap apa? Bukannya suka-suka… Tapi ada maksud tersirat di sebaliknya. Begitu bermakna kepada saya… kepada awak dan bermakna kepada kita berdua. Tak tahu ke?” Dah hampir kejung urat di pipi bersiul satu habuk pun Keyra tak boleh ingat. Erghhh… hatinya menjerit geram.

Keyra menjulingkan mata ke atas.

“Tak suka ke?”

“Horrible, irritating and annoying. Kenapa asyik ulang siulan tu? Dah nak pecah gegendang telinga saya.”

“Teruk sangat ke? Sampai begitu sekali?”

“Ya! Sebab awak asyik ulang melodi yang sama berulang kali. Rasanya dah berdarah gegendang telinga saya ni, tau!” herdik Keyra sambil duduk atas batang kayu buruk yang terdampar di pantai.

Wajah Hardy terkulat-kulat. Duduk bertinggung di hadapannya. “Well… at least I’ve tried.” Mendatar suaranya.

“Boleh tak jangan bagi klu yang pelik dan tak masuk akal macam tu? Saya tahulah awak nak suruh saya ingat. Tapi tak boleh ke cakap terus terang? Cerita dari A sampai Z. Barulah saya faham atau sekurang-kurang saya cuba untuk faham.” Panjang berjela Keyra bagi ceramah.

Dari mula lagi Hardy suka sangat memening kepalanya. Suka berteka-teki. Logiklah sikit. Dia hilang ingatan! Bukannya lupa formula atau fakta dalam buku.

“Itu lagu Bryan Adams. When I Need You.”

When I need you…

Just close my eyes and I’m with you…

And all that I so want to give you…

It’s only a heart beat away…

Tanpa rasa malu Hardy menyanyikan bait-baitnya pula.

“Jiwang…” Keyra pandang Hardy dengan mata terbuntang.

Lelaki itu ketawa. “Cuba tanya siapa yang declare lagu tu lagu kita?” Hardy jongket kening sebelah. Bagai menyindir.

“Hmmm… memandangkan saya memang saya tak boleh ingat apa-apa, kalau awak kelentong pun manalah saya tahu.” Dia masih mempertahankan diri.

Hardy mencebik. “Percayalah… kalau saya ni jiwang. Awak lagi dahsyat.” Hardy bangun mencapai dahan kayu. Dipatahkan ranting-rantingnya. Kemudian dia lorekkan bentuk hati di atas pasir yang putih.

“Macam budak-budak.”

“Yalah… saya cuma ulang semula apa yang budak bernama Keyra pernah buat. Small and simple. But it touched my heart.”

Hardy menulis nama mereka berdua. Di tengah-tengahnya dilakarkan bentuk anak panah. Tetapi, air laut yang berbuih naik lebih tinggi dengan tiba-tiba dan memadamkan segalanya. Lakaran itu hilang sekelip mata.

Mereka berpandangan. Terkilan.

“Macam memori saya. Hilang begitu saja.” Tanpa sedar dia mengungkapkan kata-kata itu. Melontarkan pandangan jauh ke hadapan. Entah apa yang ada nun jauh sana? Mampukah dia terus tabah mengharunginya?

BARU pukul 7.15 Hardy sudah tercegat berdiri depan pintu.

“Tadi awak cakap  dinner pukul lapan setengah. Sekarang masih awal lagi.”

“Plan B…”

“Berapa banyak plan awak ada?”

“Saya nak ajak awak berjemaah sama-sama.”

Keyra mengetap Bibir. Macam mana mahu menolak? Dia jadi serba salah. Lainlah kalau lelaki itu mengajaknya pergi merempit atau ajak masuk disko atau pun pergi karaoke… lainlah cerita.”

“Boleh ke tak?” ulang Hardy apabila isterinya masih termangu.

“Errr… masuklah.”

Keyra mengambil wuduk. Membentangkan cadar sebagai sejadah. Bila sudah masuk waktu, Hardy dengan tenang dan yakin mengimamkan solat mereka berdua.

Dari markah sepuluh Keyra boleh bagi lapan markah. Bacaannya tidaklah sesedap seperti tok bilal ataupun ustaz, tetapi baginya sudah cukup sempurna asalkan bacaannya betul dan tertib.

Ketika mereka bersalaman, dia mencium tangan Hardy. Spontan tindakan itu. Dia sendiri tidak sempat berfikir. Kemudian lelaki itu mengucup dahinya. Hati Keyra dipagut sayu dan syahdu. Lebih tenang dan damai. Mereka saling bertentang mata.

Hardy melutut di hadapannya. Kedua tangan isterinya digenggam kemas. “Janji dengan saya awak akan selalu berdoa untuk kita. Untuk kebahagian kita berdua sampai nafas yang terakhir. Berdoalah supaya kita berdua akan hidup bahagia dunia dan akhirat.”

“Tapi tak semestinya kita perlu kekal bersama untuk mengecap bahagia. Mungkin juga…”

Hardy meletakkan jari telunjuknya di bibir Keyra.

“Cuma janji dengan saya untuk terus berdoa.”

Keyra mengangguk perlahan.

Mereka duduk bersila bertentangan.

“Selalu ke kita solat begini?”

Hardy menggeleng. “Cuma beberapa kali sepanjang kita berkahwin.” Jawapan jujur itu meninggalkan kesan di hatinya sendiri.

Keyra terkejut.

“Salah saya… leka tentang hal agama sebagai seorang suami. Bahkan, awak yang selalu ingatkan saya tentang tanggungjawab kepada DIA. Sebagai suami saya sepatutnya  membimbing awak sebagai isteri.”

Keyra tidak mampu berkata-kata.

“Mungkin sebab itulah saya kehilangan awak. Mungkin untuk menguji dan menginsafkan saya sebab kelalaian saya selama ini,” sambung Hardy lirih.

“Awak… andai kita tak dapat hidup bersama…”

“Tolong jangan cakap perkara tu. Saya tak mahu dengar apa-apa.” Tegas sekali suara Hardy.

Keyra menghela nafas panjang. “Saya cuba… saya belajar dan saya bertawakal untuk sesuatu yang saya sendiri tak tahu ke mana arahnya. Tapi kadangkala apa yang kita harapkan tak berlaku juga.”

Hardy duduk di hujung katil. Membuka TV dengan alat kawalan jauh. “Kita dinner dalam bilik. Saya sudah buat pesanan.” Sengaja dia mengubah topik. Tidak mahu Keyra membayangkan sesuatu yang dia tidak sanggup dengar.

Biarlah percutian ini meninggalkan kesan dan memori yang indah untuk mereka berdua.

Keyra duduk di sofa. Memandang ke arah Hardy yang terdiam membisu. Matanya sahaja ke TV. Tetapi dia tahu fikirannya ghaib ke tempat lain.

Mereka melayan perasaan masing-masing. Mengharapkan sesuatu yang lebih indah suatu hari nanti.

MAKAN malam tidaklah sedingin tadi. Sekurang-kurangnya Hardy sudah mampu tersenyum dan berwajah ceria kembali. Hidangan timur tengah menjadi pilihan Hardy malam ini.

“Kenapa Cherating?”

Hardy mengerut dahi.

“Mesti ada sebab. Saya tahu segala yang awak pilih untuk percutian kita ada makna yang tersendiri.”

“Cherating tempat pertama kita datang honeymoon.”

“Hai.. tak ada tempat lain ke?” Keyra tunjuk wajah terkilan. Tentu dia kempunan tak dapat pergi ke tempat yang diimpikan sekian lama.

Hardy ketawa. “Demand betul awak ya”

“Betul ke ni?”

“Cherating… kemudian Istanbul, Turki.”

Serta-merta matanya bersinar galak. “Betul ke?”

“Ya… sayanggg…”

Entah kenapa hatinya berbunga-bunga. Pandangannya, tingkah dan kata-kata lelaki itu kian membuai perasaan. Ada rasa bahagia yang mengalir dalam hati.

“Saya cuba ulang semula memori kita. Tempat, suasana, makanan dan perasaan yang sama.”

Keyra jadi terpesona.

“Malah, bilik ini juga adalah bilik yang sama.”

Kali ini dia ternganga. Jadi destinasi mereka seterusnya adalah ke Turki? Aduhai…

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s