Bab 29 ~ Saya sayangkan awak tapi…

KENAPA hari ni dia nampak Hardy lebih kacak dari selalu? Agaknya sebab lama tak jumpa. Kali terakhir seminggu lalu. Keluar sahaja dari hospital, mereka tidak lagi bersua muka. Lelaki itu juga menyepikan diri. Agaknya sebab kena sound dengan along sebab bawa dia bercuti ke Cherating.

“Dah tahu Keyra masih belum sembuh, kenapa datang juga?”

Itulah antara perbualan yang sempat dia dengar sebelum along suruh masuk dan tunggu dalam kereta.

Kini, kekok pula bila bertemu semula dengannya. Sebaik masuk ke kereta Hardy, pandangan mereka saling berkait. Bagai ada getaran arus elektrik yang mengalir. Membuatkan hatinya berdebar.

“Kenapa mata tu macam pontianak jer?” soal Hardy tiba-tiba membuatkan Keyra berpaling ke depan serta-merta.

‘Tak sukalah… orang baru nak layan jiwang dia dah buat ayat sarkastik melampau,’ gerutunya geram.

“Ada rupa pontianak ke saya ni?” soalnya berjauh hati.

Hardy ketawa. Tangan kirinya mengubah gear. Perlahan-lahan kereta mula bergerak di atas jalan raya. “Pontianak cun.”

Mereka ketawa.

“Walau dalam keadaan apa pun awak tetap cantik di mata saya.” Kata-kata itu kedengaran seakan-akan berbisik. Cukup mendamaikan hati. Membuai perasaan yang kian gelora.

Keyra tersenyum simpul. Hati di dalam macam kena siram dengan air gula. Manis. Melekat. Sedap.

“Kenapa mata awak begitu? Bergaduh dengan angah?”

Keyra menggeleng. “Angah dah insaf agaknya. Dia memang lain sikit sekarang. Sebab dah jadi bapak budak, kot.” Memang diakui sudah lama dia tidak bergaduh dengan angah sebenarnya. Tambahan pula, along selalu berpihak kepadanya.

“Semalam tak tidur?”

“Nak tidur. Tapi tak boleh,” jawabnya mendatar. Semalaman dia bersengkang mata menghabiskan bacaan. Kononnya dapat membantu dia mengingat semula. Tapi selepas bangun dari tidur, tiada satu kenangan pun yang menjelma.

“Lain kali kalau tak boleh tidur telefon saya. Saya boleh temankan. Kalau suruh datang pun saya datang.”

Dia mencebik. ‘Yalah tu… Hardy datang menemaninya di waktu malam, nanti lain pulak ceritanya.’ Keyra menggumam dalam hati.

“Nampak mengantuk jer. Awak okey ke tak ni?”

“Saya okeylah…” jawabnya sambil menguap panjang. Lekas-lekas ditutup dengan tapak tangan.

Hardy tergelak.

Keyra tersengih kelat. Teringat peristiwa semalam, betapa dia bersengkang mata membaca catatan yang membantu dia mengenali siapa Hardy. Sedikit sebanyak kasihnya terhadap lelaki itu kian hadir.

“Kita nak ke mana sebenarnya?” soal Keyra sambil memandang lelaki itu yang sedang memandu dengan tenang.

Lepas subuh tadi lagi Hardy menghubunginya. Disuruh bersiap dengan berbaju sukan. Katanya akan datang jemput pada pukul lapan pagi.

“Kita nak ke mana?” soalnya sambil memandang ke luar.

“Nanti awak akan tahu juga.” Lelaki itu seolah-olah mahu berahsia.

“Joging?”

“Nope.”

“Habis tu… Cakaplah kita nak ke mana sebenarnya?” Dia masih pandang ke arah lelaki itu yang berwajah tenang dan selamba.

Tidak sampai sepuluh minit, mereka sudah sampai ke destinasi. Sebaik turun dari kereta dan mengambil barang dari belakang, Hardy terus menarik tangan isterinya.

Mata Keyra memandang sekeliling. Kemudian dia mendesah. “Main tenis?” Dia melangkah lemah masuk ke gelanggang walaupun hati rasa tak rela. Kemudian, selamba sahaja dia duduk di tengah gelanggang.

Hardy membesarkan mata. Terkejut dengan tindakan spontan isterinya.

“Penatlah. Malas nak main. Kenapa tak beritahu awal-awal. Sekurang-kurangnya mental dan fizikal saya lebih bersedia,” rengeknya manja. Badan berasa terlalu letih. Semalaman tak cukup tidur. Perasaannya pula tidak menentu sekarang.

“Come on… it will be fun.” Hardy cuba memujuk dengan wajah ceria macam lollypop.

“Tak ada tempat lain ke?”

“Tapi saya ada alasan tersendiri kenapa kita ke sini.”

“Not today, please…” pintanya dengan suara lunak sambil mengenyitkan mata. Berharap mampu mengubah hasrat lelaki itu.

Hardy duduk di sebelah Keyra. “Tenis ada maksud dan pengertian tersendiri pada kita berdua,” luahnya dengan hati berbunga.

“Saya tahu…”

Lelaki itu sudah duduk melutut di depan Keyra. Matanya bersinar. “Maksudnya awak dah… dah…” Bibir Hardy bergetar.

“Tak… saya tak ingat.” Cepat sahaja dia menyangkal.

Hardy mengangkat kening. Masih kurang jelas.

“Memey dengan Zinta pernah cerita. Tentang kita… tentang macam mana kita berjumpa buat pertama kalinya. Di sini kan… di gelanggang tenis,” beritahu Keyra senada. Dia hanya tidak mahu lelaki itu kecewa.

Hardy sudah terlentang. Jantungnya yang berlari kencang dan kembang berbunga tadi sudah layu tiba-tiba.

Keyra tergelak dengan kelakuan Hardy. Tetapi rasa simpati dan bersalah hadir bagai bongkah satu tan yang menghempap kepalanya.

Beberapa ketika mereka saling membisu. Kemudian Hardy bangun. Menghulur tangan. “Jom… kita main…”

Kerana tidak mahu menghampakan hatinya, Keyra setuju juga. Maka, bermulalah permainan yang cukup berat sebelah. Servis dan pukulan Keyra sering sahaja tidak mengena bola.

“Kenapalah awak lembap sangat sekarang. Lembik. Pukul bola macam takut-takut. Takkan hancurlah bola tu. Bukannya cup cake! Ke tak sempat bersarapan pagi tadi. Sebab tu awak tak ada tenaga?”

Mata Keyra terjegil. Kata-kata sarkastik yang keluar dari mulut Hardy memang membuatkan dia sentap serta-merta. Reket di tangan sudah dicampak. Kali ini dia pula yang tidur menelentang di tengah gelanggang.

“Keyra…” Hardy terjerit.

Dia pekakkan telinga. Dalam hati menggumam geram. “Kan aku dah cakap tadi tak nak main. Paksa juga!” onelnya sakit hati.

Hardy ikut menelentang di sisi isterinya.

Terpejam celik mata Keyra menahan silau cahaya matahari pagi. Langit biru dengan awan jarang-jarang cukup mendamaikan.

“Awak tengok apa?”

“Awak nampak apa?” Dia soal Hardy balik.

“Sky… nice!” Lelaki itu bagai baru tersedar.

Dia tidak membalas.

“Orang berjemur di pantai… kita berjemur di tengah gelanggang. Tak ke kerja gila namanya! But yet… I like it.”

Mereka diam. Menikmati ketenangan itu.

“Hampir enam bulan saya mengenali awak…” Keyra berhenti dan berdeham beberapa kali. “I had a great time,” ujar Keyra spontan. Perlahan dan tenang.

Hardy diam. Dia mampu menduga ke mana arah tujuan kata-kata Keyra. Ada rawan di hatinya.

“Boleh ke saya jadi isteri awak yang baik?”

“Ya… Sayang. Awak sudah cukup dari baik dan sempurna di mata saya.”

“Har…”

“Syyy… boleh tak awak jangan bercakap dan kita cuma nikmati keadaan sekarang?” soal Hardy lirih. Sebenarnya, dia takut untuk membayangkan jika gadis itu meluahkan sesuatu yang dia sendiri tidak pernah bersedia untuk mendengarnya.

“Saya senang dengan awak.” Tanpa memperdulikan permintaan Hardy, Keyra tetap ingin meluahkan apa yang bermain di fikirannya. Sudah sampai masanya. Mereka berdua tidak seharusnya mengelak.

“Apa sebenarnya, Keyra?”

“Berat saya nak luahkan,” ungkapnya dengan nafas berat.

“Lebih berat saya nak dengar. Jadi tolonglah lupakan sahaja. Awak tak perlu kata apa-apa…”

“Tak boleh. Kita tak boleh terus mengelak.”

Hardy mendesah. Kemudian mereka diam lagi.

“Saya rasa bersyukur dapat kenal dengan awak,” luah Keyra tiba-tiba. Kata-kata itu lahir dari hatinya yang jujur. Tak ada niat terselindung.

“Tapi…” potong Hardy.

“Tapi hakikatnya hubungan kita bagaikan hubungan dua orang sahabat.”

Hardy pejam mata. Pedih dan perit dirasakan sebaik ayat itu terlucut dari bibir isterinya.

“Saya dah cuba tetapi tetap tak boleh. Saya cuma mampu mengenali awak sebagai teman, tetapi bukan sebagai suami.”

“Saya sentiasa suami awak, teman baik… malah, saya mahu jadi segala-galanya hanya untuk awak. Percayalah bahawa kita akan bahagia bersama.”

“Kalaulah semudah itu…” Bicara Keyra terhenti.

Nafas panjang terhela dari bibir Hardy. “Tak bolehkah awak beri saya masa?” soalnya.

“Kalaulah saya mampu…” Tapi dia harus akur dengan perjanjian mereka. Melepaskan lelaki itu untuk mencari bahagia dengan wanita lain adalah yang sebaiknya. Malah, dia masih tidak lupa pesanan emak mertuanya melalui telefon tempoh hari.

“Sampai di sini…”

“Jangan ucapkan, Keyra. Tolonglah…”

“Saya sayangkan awak tapi saya tak mampu untuk jatuh cinta.”

“Awak cakap macam tu cuma sebab awak tak boleh ingat. Saya percaya keadaan akan pulih satu hari nanti?”

“Bila? Awak tahu ke bila masa tu akan tiba?”

Hardy diam.

“Saya tak tahu bila. Awak pun sama. Dan hakikatnya tiada siapa pun yang tahu,” luah Keyra dengan hati tersentuh.

“Tolonglah Keyra… saya tak mahu berpisah. Saya akan terluka.”

“Saya tahu… tapi lebih baik sekarang. Kalau ditangguhkan lagi, awak akan lebih terluka dan merana. Niat saya baik. Saya tak mahu awak tersiksa. Apalah gunanya awak ada isteri yang tak mampu menyintai awak sepenuh hati. Apalagi menjalankan tanggungjawab yang selayaknya.

Bibir Hardy kelu untuk mengulas apa-apa. Hatinya retak seribu.

“Kalau betul jodoh kita kuat, saya percaya kita akan bersama juga suatu hari nanti. Percayalah!”

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s