Bab 3 ~ Dia sebenarnya suami adik

SUASANA ketika itu begitu sunyi. Mereka saling pandang-memandang. Di fikiran masing-masing bergolak seribu pertanyaan. Hendak diluahkan tidak tahu mahu dimulakan dari mana. Apa yang terjadi cukup mengejutkan mereka sekeluarga. Bagai tidak percaya dengan keajaiban yang berlaku.

Puan Rohana menarik nafas dalam. Memandang anak perempuannya dengan rasa syukur kepada Yang Maha Esa. Akhirnya, doanya termakbul. Anaknya itu kembali sedar dari koma hampir seminggu lalu. Segalanya kembali pulih.

Selera makannya juga nampak semakin baik. Malah, sudah pandai minta macam-macam. Katanya makanan yang disajikan hospital kurang garam dan kurang gula.

“Kalau ibu rajin, buatkan adik Sup Tomyam, ikan bakar ke… tak pun kari kepala ikan. Cantik!” kata anaknya itu dengan ibu jari terangkat tinggi.

“Amboi! Anak ibu… besarnya selera makan.”

Begitulah Keyra saban hari, bertambah bersemangat, ceria dan bertenaga. Cuma ada satu perkara yang membuatkan mereka sekeluarga resah. Keyra kini tidak lagi seperti dulu. Walaupun jasadnya sudah mula sihat, tetapi ada sesuatu yang belum kembali pulih seratus peratus. Sudah lama perkara itu dirahsiakan. Dan kini sudah sampai masanya dia diberitahu tentang kebenaran.

Wanita yang terlantar di atas katil itu masih lagi kelihatan bingung. Dia memandang satu-per satu wajah yang mengelilinginya dengan perasaan pelik. Resah gelisah wajah mereka membuatkan dia jadi cuak.

“Har mana?” bisik Puan Rohana ke telinga suaminya.

Encik Khairil menggeleng.

Hati Puan Rohana sedikit resah dengan ketiadaan Hardy. Dia tahu hati menantunya itu terguris dan kecewa dengan insiden yang berlaku beberapa hari lalu. Malah, sampai ke hari ini Hardy terpaksa menjauhkan diri sehinggalah segala perkara diberitahu dengan jelas dan terang kepada Keyra.

Bukannya mereka mahu terus berahsia, tetapi hanya mahu menunggu masa dan saat yang sesuai. Dan sejak seminggu lalu Keyra juga tidak langsung mengesyaki apa-apa.

Kali ini Puan Rohana menjongketkan kening kepada Fahmi, anak sulungnya. Dia bertanya dengan isyarat mata.

Fahmi menggeleng perlahan. Dia faham apa yang ibunya maksudkan walaupun tanpa suara.

“Har datang tadi. Angah ada berbual dengan dia. Sekarang ni, dia ke surau agaknya. Nak redakan perasaannya barangkali. Masih terkejut dan kecewa!” Tarmizi bersuara tiba-tiba.

Kali ini semua mata beralih kepada Tarmizi. Tanda tidak puas hati. Ayat yang keluar dari mulutnya memang tidak sesuai dengan keadaan ketika itu.

“Angah!” Fahmi menegur sambil menggeleng.

“Yalah… kalau angah pun terkejut. Punyalah…”

“Angah…”

Tarmizi tidak jadi menghabiskan kata-katanya bila suara ayahnya kedengaran. Tegas. Siap dengan pandangan yang mencerun tajam. Dia menelan air liur.

Keyra yang menjadi pemerhati mula rasa tidak senang hati. Seperti keluarganya sedang merahsiakan sesuatu. Suasana bertukar sunyi semula beberapa saat.

“Kenapa?” soal Keyra perlahan sambil menatap wajah-wajah di hadapannya dengan mata mengecil dan dahi berkerut.

Puan Rohana tersenyum tawar. Lalu menatap mata suaminya seketika sebelum duduk di sisi katil.

“Kenapa semua orang pandang adik macam tu? Ada yang tak kena ke kat muka adik ni?” soal Keyra lagi sambil meraba-raba mukanya.

“Adik? Huh!” Nada Tarmizi bagai mengejek. Kedengaran pelik dan asing bila Keyra masih membahasakan dirinya adik. Bukankah panggilan itu sudah lama menjadi sejarah?

Kali ini Puan Rohana jegilkan mata membuatkan Tarmizi menutup mulutnya. Tangan Keyra dielus lembut. “Keyra ingat tak kenapa Keyra ada di hospital sekarang?” soal Puan Rohana berhati-hati.

Keyra diam seketika. Berfikir dengan lebih ligat. Dia keliru. Kenapa semua orang asyik bertanya soalan yang sama berulang kali. Bukankah sudah berkali-kali juga dia berikan jawapan yang sama juga?

“Keyra ingat?” soal Puan Rohana sekali lagi.

“Errr… kemalangan…” jawabnya teragak-agak. Takkan ibu tak tahu? Takkan doktor tak beritahu? Dia mula curiga. Apatah lagi sebab soalan itu dirasakan ada maksud tersirat.

‘Kenapa semua orang nampak pelik sangat ni? Apa masalahnya? Aku sakit ke? Janganlah cakap aku ada kanser atau penyakit kronik yang sudah ditahap kritikal. Tolonglah!’ rintih hatinya.

“Kemalangan apa?” Tarmizi yang memang kurang sifat sabar terus mencelah lagi.

“Adik tahulah adik salah sebab guna motor angah tanpa izin. Tapi manalah adik tahu jadi begini. Kan dah banyak kali adik minta maaf, okey. Kenapa semua orang nampak seperti tak puas hati lagi?” Suara Keyra dalam dan serak. Matanya terkebil-kebil. Selebihnya meminta simpati agar dia tidak disalahkan dan dimarahi atas tindakannya yang tidak berfikir panjang terlebih dahulu. Bukannya dia tidak tahu perangai Tarmizi. Pantang silap sikit asyik nak sekeh kepala orang.

“Maksud adik kemalangan jatuh motor? Memang itu yang adik ingat?” tanya Fahmi pula. Dia sekadar mahu melihat tahap ingatan adiknya.

“Yalah…” Kalau bukan jatuh motor jatuh apa pulak? Tak sempat sampai kedai Mak Jah Beriani, dia dah sondol buntut kereta Proton Saga warna putih di depannya. Seterusnya, bermulalah aksi tunggang terbalik sampai kepalanya berputar laju. Itu sahaja yang dia ingat. Sebab bila buka mata beberapa saat kemudian… dia cuma sedar tubuhnya tercampak ke tepi longkang. Lepas tu semuanya menjadi gelap-gelita.

Bila Puan Rohana menghela nafas berat dan panjang, Keyra pandang dengan mata terkelip-kelip. Kemudian dia memandang Fahmi semula dengan mata bergenang.

Hanya Fahmi sahaja sandarannya kini. Dia sudah boleh agak lepas ni  mesti pedih dan azab telinganya kena ‘bantai’ dengan semua orang. Paling dia tak sanggup nak dengar suara kemarahan angahnya. Agaknya semua orang tunggu dia benar-benar sihat untuk dimuntahkan segala kemarahan. Oleh sebab kesihatan sudah pulih, maka sudah sampai tika dan saatnya juga dia dijatuhkan hukuman.

Perlahan-lahan dia tertunduk. Menghitung detik. Lama juga. Seminit. Dua minit. Tiga minit. Dan lagi… dan lagi. Tetapi sebaik mendongak, dia melihat keluarganya bagaikan tergamam. Beberapa saat kemudian dia memekup mulut.

Mungkin sangkaannya tadi meleset. Dirinya bukan menantikan hukuman, tetapi sebenarnya ada khabar buruk yang akan disampaikan. “Ooo… ooo…” Suaranya hampir tenggelam. “Doktor… doktor cakap adik tak dapat diselamatkan ke?”

Pap! spontan Puan Rohana menampar lengan Keyra.

“Adoi laaa… sakit wooo… adik kan tengah sakit ni. Ibu tambah lagi pulak…” Mulutnya muncung ke depan sambil mengurut lengan yang berasa pedih dan perit.

“Mulut tu…” Puan Rohana mengetap gigi. Jangan diminta perkara buruk terjadi. Cukuplah dia terhenyak kerana kemalangan itu. Berbulan-bulan mereka sekeluarga meratap bila Keyra terus koma. Hanya kini dia mampu menarik nafas lega. Bersyukur sangat…

Betapa ALLAH SWT yang lebih mengetahui. Setelah anaknya tidur begitu lama, akhirnya Keyra bangun seperti tiada apa yang berlaku. Dia masih Keyra yang dulu. Tetapi kenyataannya, dia telah melalui dua pembedahan yang agak serius. Satu di bahagian kepala, dan satu lagi pembedahan untuk membetulkan tulang rusuknya yang patah.

“Semuanya sudah selamat sekarang. Adik sudah sihat. Sudah sembuh. Jadi, jangan cakap yang bukan-bukan.”

“Yalah… habis tu kenapa? Adik tengok semua orang macam sedih aje? Apa sebenarnya yang buatkan semua orang nampak susah hati?” Keyra mahu tahu tentang keadaan dirinya.

“Dah dekat setahun Keyra tak sedarkan diri,” jawab Tarmizi tanpa dipinta.

“Angah! Jangan buat lawak okey. Tak lucu pun. Adik pun tak rasa nak gelak. Angah ni memang nak menyakitkan hati adik aje…” kata Keyra siap dengan jelingan geram.

“Jadi, Keyra betul-betul tak ingat? Cuba fikir betul-betul!” arah Fahmi dengan wajah serius.

“Manalah adik tahu, along. Adik kan pengsan lepas kemalangan tu. Langsung tak sedarkan diri. Dan seminggu  yang lalu, itulah pertama kali adik buka mata. Rupa-rupanya di hospital.”

Fahmi mengambil tempat di sisi ibunya. Dia mencapai tangan Keyra lalu ditepuk beberapa kali.

“Kenapa semua orang senyap pulak ni? Saspenslah,” bentak Keyra tidak puas hati. Dia sudah mula mengagak ada sesuatu yang tidak kena.

“Along mahu Keyra tarik nafas panjang-panjang.”

Dia menurut. Oksigen disedut panjang dan dalam. Kemudian dihela perlahan-lahan. Diulangi perkara yang sama beberapa kali.

“Ayah mahu Keyra kuat dan tabah seperti selalu. Mungkin Keyra akan terkejut dengan berita ni. Tapi yakinlah segala yang berlaku adalah perancangan ALLAH. Ini adalah ujian dari DIA dan kita harus reda menerimanya.”

Wajah Keyra berkerut. Jantungnya berlari laju bila Encik Khairil berkata begitu. Pelbagai persoalan terus menyerang benaknya ketika ini.

“Begini…” Fahmi berhenti seketika dan berdeham. Dia mengelus lembut tangan adik kesayangannya.

“Cakaplah… along.” Keyra mula mendesak. ‘Cakap terus terang kan senang. Buat aku gabra aje!’

“Betul apa angah cakap tu. Hampir setahun adik tidur. Errr… sebenarnya adik koma,” jelas Fahmi cuba bertenang dan mengawal nada suaranya.

“Apa?” Hanya itu yang keluar dari bibir Keyra. Matanya bulat. Beberapa saat kemudian dia memejam mata sambil memegang kepala. Cuba mencerna segala maklumat yang baru diterima dengan akal yang waras.

“Keyra?” Semua yang ada di situ mula resah dengan tindak balasnya.

Keyra meraba muka dan rambutnya secara tiba-tiba.

“Keyra okey ke?” Fahmi semakin cuak.

“Panggilkan doktor, along!” arah Puan Rohana cemas.

“Jangan… jangan…” Keyra menahan.

“Kalau sakit, cakap…” Encik Khairil turut bimbang. Hanya Tarmizi yang nampak tenang.

“Betul ke ni?” soal Keyra tiba-tiba sambil mencebik. Macam cerita dalam novel-novel yang sering dibacanya. Dia masih tidak percaya perkara itu boleh terjadi ke atas dirinya. Susah mahu terima dengan logik akal.

Memang sejak lebih seminggu lalu dia rasa bagai baharu sahaja bangun dari tidur. Cuma tubuhnya berasa agak lenguh dan tidak bermaya. Dan sejak kebelakangan ini juga perutnya sering sahaja terasa lapar!

“Betul ke along?” soalnya sekali lagi.

Fahmi mengangguk.

“Alah… tak bestlah macam ni.” Dia berpeluk tubuh.

Kata-kata itu membuatkan mereka yang ada di situ saling melepas nafas lega. Keyra memang jenis yang sukar diramal.

“Apa yang tak best?” soal Tarmizi ingin mengorek cerita.

“Adik dah banyak tertinggal kelas. Nak kena mengulang nampaknya,” jawab Keyra dengan muka keruh.

“Ada ke itu yang difikirkan? Memang kurang cerdik betullah Keyra ni.” Kasar kata-kata Tarmizi.

“Angah…” Puan Rohana menegur.

“Yalah ibu. Angah tu kan garang tak kena tempat. Sebab tulah muka angah nampak tua macam berusia 30 tahun.”

“Memanglah… sebab memang itu umur angah.” Pantas Tarmizi menjawab.

Keyra jelirkan lidahnya tanda mengejek.

Tarmizi balas dengan mata mencerlung tajam.

“Memang patutlah mengaku tua pun. Eloklah kalau angah dah sedar diri!” tempelaknya lagi.

“Yalah… angah memang dah tua. Sebab sekarang ni dah tahun 2013 tahu tak?”

Keyra tergamam. Kata-kata yang ingin dibalas tidak terlepas keluar dari mulutnya. Dahinya berkerut seribu. “Angah ni… nak bergurau lagi ke?” soalnya tergagap-gagap.

“Angah ni kan…” Muka Puan Rohana sudah menunjukkan tanda-tanda tidak senangi. Renungannya tajam.

“Angah cakap apa, along? Ibu? Ayah?” soal Keyra bingung.

“Keyra perlu bertenang. Yang penting Keyra dah sedar… dah sihat… dan dah selamat. Cuma…” Ayat Fahmi tergantung.

“Cuma apa? Sebenarnya apa yang dah berlaku pada adik ni? Tolonglah bagitahu perkara sebenar.” Bibir Keyra terketar-ketar. Dadanya mula dipalu debar.

Puan Rohana mengusap belakang Keyra. Bagai menyalurkan kekuatan dan ketenangan.

“Keyra dengar ya apa yang along nak cakap ni.” Fahmi memandang wajah ibu dan ayahnya sebelum menatap sayu wajah adiknya. Walau apa sekalipun dia sedar Keyra perlu tahu kebenarannya.

“Kemalangan motor yang Keyra cakap tadi tu dah lama. Itu kisah enam tahun yang lalu. Betul cakap angah tadi, sekarang kita berada dalam tahun 2013.”

Keyra memejam mata. Menarik nafas panjang dan dalam. Mahu mengusir segara rasa keliru, bingung dan kecelaruan dalam kepalanya saat ini.

“Sebenarnya Keyra kemalangan kereta!” tekan Fahmi.

“Jadi… ja… jadi bukan kemalangan motor?” Suaranya tersekat-sekat. Bibir Keyra bergetar.

“Keyra koma hampir setahun. Dan menurut Dr. Steve, Keyra hilang memori enam tahun lalu. Amnesia.”

“Hah?!” Hanya itu yang keluar dari bibirnya. Dia cuba mengumpul kekuatan. Bersoal jawab sendiri tentang keadaan dirinya. Patutlah doktor pakar neorologist yang sering merawatnya sering bertanyakan soalan yang pelik-pelik. Balik-balik soalan yang sama. Bertanyakan tentang nama, umur, tarikh lahirnya dan perkara terakhir yang dia ingat.

“Kenapa hari-hari doktor tanya soalan tu?” soalnya curiga. Dan seringkali juga jawapan yang sama diterima.

“Ini sebahagian dari proses rawatan.”

Dan kini barulah dia faham serta mengerti keadaan yang sebenar. Dia meraup muka lagi.

“Ibu tahu adik terkejut, keliru dan panik. Tapi lebih cepat adik tahu dan terima perkara sebenar, lebih mudah untuk untuk menjalankan proses rawatan.” Suara Puan Rohana lunak. Memujuk.

Hakikatnya, dia juga cuba meyakinkan dirinya sendiri bahawa memori Keyra akan kembali seperti dulu. Detik itu juga, suara doktor yang nampak matang dan berkaca mata dengan rambut yang sering tersisir kemas itu kembali terngiang-ngiang ditelinga.

“Belum ada ubat atau rawatan khusus untuk pesakit amnesia. Cuma pesakit perlu menjaga pengambilan makanan yang berkhasiat,” terang Doktor Steve dengan lebih lanjut.

“Ada kemungkinan Keyra kembali normal?”

“Berdasarkan kes yang lalu, memang ada kemungkinan. Yang penting ahli keluarga perlu banyak membantu. Mungkin melalui gambar atau persekitaran yang pernah dilalui dulu. Dan saya juga mencadangkan rawatan hipnosis sebagai salah satu rawtan alternatif. Terpulang… mungkin puan juga boleh cuba rawatan secara tradisional. Penggunaan herba, urutan dan sebagainya.”

“Ibuuu…”

Suara Keyra mengusir lamunannya. Dia memandang wajah anaknya yang masih kebingungan. Beberapa saat kemudian Keyra mengangkat jari-jemarinya. Lagak seperti orang sedang mengira. Mulutnya terkumat-kamit.

“Keyra…” panggil Encik Khairil dengan nada lembut. Pelik melihat tingkah anaknya begitu.

“Jadi umur adik dah 29 tahun?” soal Keyra dengan mulut terbuka luas dan mata terbeliak.

“Betullah tu…” jawab Tarmizi spontan.

“Wow!” Mulutnya ditekup. Keyra tergamam. Lama juga. Masih sukar untuk dia percaya dan menerima semua itu.

“Ada satu lagi along nak beritahu.”

Mata Keyra terkebil-kebil. Debaran di dadanya semakin kencang. Bimbang dengan cerita yang akan disampaikan kepadanya selepas ini. Apa lagi kejutannya?

“Lelaki tempoh hari tu…” Fahmi mahu menerangkan sesuatu.

“Lelaki?” Dahi Keyra berkerut. Akalnya mula berlegar.

“Alah… yang Keyra jerit hantu tu,” sampuk Tarmizi.

“Hantu? Hantu Jepun tu?” Dia mula teringat tentang seorang lelaki yang telah menceroboh masuk ke biliknya di suatu pagi selepas Jururawat Nurlisa keluar dari biliknya. Lelaki itu kelihatan tidak terurus dengan misai dan jambangnya yang panjang. Matanya yang sepet kelihatan merah menyala.

“Huh! Menggerunkan betul… ngeri!” Masih terbayang di fikirannya. Pandangan lelaki itu mencerun tajam memandangnya. Tambah pula lelaki itu memakai baju Melayu warna putih. Dia yang terkejut dan takut lalu menjerit seperti orang gila.

“Siapa dia sebenarnya?”

Semua yang ada di situ saling berpandangan.

“Tolonglah bagitahu. Jangan nak buat saspens lagi!” pinta Keyra.

“Dia sebenarnya suami adik,” beritahu Fahmi setenang mungkin agar Keyra tidak terkejut lagi.

“Hah… apa? Suami adik?”

Fahmi mengangguk.

Serta-merta dada Keyra terasa bagai dipalu debar yang lebih rancak. Tubuhnya kaku. Mulutnya ternganga tetapi tiada suara yang keluar.

“Ibu?” Dalam kepayahan… dengan bibir yang terketar-ketar Keyra cuba mendapatkan kepastian daripada Puan Rohana. Dia masih boleh terima apabila diberitahu hilang ingatan. Tapi tidak dengan berita ini. Mustahil! Akal warasnya tidak dapat menerimanya.

“Sabarlah… ini semua dugaan ALLAH,” pujuk Puan Rohana lirih. Bagai mengerti perasaan anaknya yang sedang berperang di dalam dirinya. Bahkan, dalam masa yang sama dia juga begitu bersimpati dengan keadaaan menantunya. Suami mana yang tidak terkejut dan kecewa bila isteri yang dijaga dengan sepenuh kasih sayang melupakan dirinya. Tentu Hardy kecewa kerana terpaksa menjauhkan diri sehingga Keyra sedar tentang kisah hidupnya yang sebenar.

“Janganlah main-main. Tak kelakarlah! Apa ni?” soal Keyra. Terasa dunianya kelam seketika?

“Dia Hardy… suami Keyra,” tambah Tarmizi pula.

“Arghh!” Keyra kian bercelaru. Jantungnya bagai terhenti. Dia memekup muka dengan kedua tapak tangannya.

“Dia suami adik. Sudah 4 tahun Keyra kahwin dengan dia!” tegas Tarmizi. Biar adiknya faham dan cepat menerima keadaannya sekarang. Baginya, itulah yang terbaik.

Keyra terdiam. Kelopak matanya mula bergenang. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Fikirannya kosong. Terlalu banyak maklumat yang dihadapkan kepadanya serentak. Dia bagaikan tenggelam. Lemas!

“Keyra…” panggil Fahmi lembut.

Tiba-tiba tangisannya mula kedengaran. Berlagu hiba.

“Keyra…” Puan Rohana rasa sayu.

Dan kali ini tangisannya sudah tidak dapat dikawal lagi. Bagai empangan pecah. Terus meledak. Dia menangis bagai histeria. Puan Rohana dan Encik Khairil jadi kalut.

Tarmizi tepuk dahi. “Aduh… susah kalau macam ni.”

Dan Fahmi menghela nafas panjang.

“Suami? Tidak!” Keyra terus walang.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s