Bab 11 ~ Jangan panggil Keyra boleh tak?

PELIK! Itu yang Keyra rasa bila dia seorang sahaja yang bersarapan dengan berselera. Puan Rohana hanya menjamah sepotong kuih. Fahmi pula mengunyah nasi lemak macamlah makan dodol. Perlahan dan lambat-lambat. Macam liat benar gayanya. Tarmizi lagi teruk. Makan sambil tongkat dagu. Tak senonoh! Mesti makan sambil berangan!

“Adik dah sihatlah…” Spontan ayat itu terkeluar dari mulut Keyra yang penuh dengan nasi lemak.

Tiga pasang mata memaku pandang ke arahnya.

“Kenapa semua orang sedih dan monyok pagi ni? Nanti rezeki lari baru tahu! Susah hati sebab adik ke? Janganlah risau. Adik memang dah sihat walafiat sekarang ni. Kalau kena lari pusing satu taman ni pun adik mampu tau!” ujar Keyra lagi bersungguh-sungguh.

Tarmizi mencebik. “Huh… perasan! Tak ada maknanya angah termenung sebab Keyra.”

“Jangan panggil Keyra boleh tak?” Entah kenapa hatinya panas apabila Tarmizi memanggilnya begitu. Dia rasa seperti tidak disayangi lagi.

“Dulu adik juga yang paksa kami ubah. Kononnya tak mahu lagi panggil adik sebab dah besar. Dah kahwin…”

“Itu dulu…” potong Keyra cepat-cepat. “Selagi adik masih anak ibu dan ayah… dan selagi adik ni masih adik along dengan angah, jangan berani nak tukar.”

“Yalah!” jawab Tarmizi bagai terpaksa.

“Dah… sekarang habiskan nasi lemak ibu masak tu.”

“Along belilah…” celah Fahmi.

“Oh! Ya ke? Err.. tak kisahlah. Sekarang… semua orang makan. Jangan nak tunjuk muka sengal pagi-pagi ni. Yang along pulak, muka tu kenapa. Along bertumbuk ke?” Keyra merenung wajah abangnya dengan lebih teliti.

“Terhantuk pintu kereta.” Bersahaja Fahmi menjawab.

Tarmizi tersengih.

“Dah tua bangka pun terhantuk pintu kereta. Apalah along ni!” kutuk Keyra sambil tergelak. Kemudian dia menambah nasi lemak yang sudah hampir licin ke dalam pinggan.

Puan Rohana menjeling manja. “Amboi adik… bukan main berselera lagi kalau dapat makan nasi lemak.”

“Yalah ibu… sedap sangat. Nasib baik tak terbantut selera adik tengok rupa orang lain yang macam gerhana matahari.”

Tarmizi mengajuk ayat adiknya. Cuma suaranya sahaja yang tidak keluar. Geram juga dengan apa yang berlaku. Mereka semua susah hati memikirkan masalah Keyra sedangkan tuan punya badan nampak begitu tenang.

“Fikir masalah apa sebenarnya ni?” Sesudu lagi nasi yang cukup enak itu disuakan ke mulut. “Cuba cerita biar adik tolong fikir sama,” sambung Keyra lagi.

“Keluarga Har nak datang esok,” beritahu Puan Rohana.

Keyra tersedak. Beberapa butir biji nasi melantun keluar. “Hantu Jepun!” Perlahan perkataan itu keluar di hujung nafas. Batuknya semakin menjadi-jadi. Sehingga merah matanya. Bahkan, hidungnya sudah berair.

“Hah… cakap sikit dah sentap.” Tarmizi tersengih.

Fahmi yang duduk bertentangan bangun lalu menepuk-nepuk belakang adiknya. Kemudian digosok dengan siku.

Puan Rohana menghulurkan secawan teh. Dah jadi balik perangai lama. Kalau setakat umur yang semakin muda enam tahun tak apa, ini perangai pun dah kembali muda sama. Aduhai! Hatinya resah memikirkan keadaan anak perempuannya.

Jadi isteri tapi ‘tak sedar diri’. Masih fikir dirinya bujang. Kenapalah dia boleh hilang memori begitu? Sedangkan itulah kenangan paling penting dalam hidup mana-mana wanita.

“Ibu…” Meleret suara Keyra tiba-tiba. Matanya merah. Hidung pula berair dan pedih sebab tersedak.

Itu baru sebut nama Hardy. Belum lagi tengok orangnya. Dia masih tak boleh lupa pandangan lelaki itu yang menikam. Oh… memang meruntun kalbu! Tetapi itu tidak bererti dia sudah jatuh cinta. Walaupun hakikatnya, memang tak salah bercinta dengan suami sendiri.

Hantu Jepun! Setiap kali nama Hardy disebut, perkataan itu terus sahaja melintas di kepala. Entah kenapa… dia sendiri tak tahu. Mungkin kerana pertemuan pertama mereka tidak seperti yang dijangka.

Opps… boleh ke diistilahkan pertemuan pertama kalau mereka dah kenal cukup lama? Kongsi katil… kongsi bantal. Aduh! Dan dia tak sanggup membayangkan lebih jauh dari itu. Pelipisnya digaru-garu.

“Kenapa, adik? Sakit kepala?”

Bukan setakat sakit kepala ibu… seluruh jiwa dan raga jadi sakit bila nama Hantu Jepun itu disebut di depannya.

“Along pergi ambil ubat adik di bilik,” arah Puan Rohana.

Keyra mengangkat tangan. Menegah. “Lepas subuh tadi adik dah makan.” Sebolehnya, dia cuba mengurangkan pengambilan ubat penahan sakit yang dibekalkan kepadanya. Hanya diambil bila keadaan benar-benar terdesak sahaja. Bukan apa, cuma bimbang menjadi ketagihan pula nanti.

“Dah tu… sakit kepala lagi?” Puan Rohana risau. Direnung anaknya yang sudah tersandar dengan mata pejam celik.

“Dah okey.”

“Alergi sangat ke bila dengar nama Har?” Kening Puan Rohana sudah seperti jongkang-jongket. Senyumannya melirik ke kanan. Bahu anaknya ditepuk dua kali sebelum duduk semula di tempat tadi.

“Ibuuu…” Suara Keyra panjang meleret.

Tarmizi gelak menyakat sementara Fahmi tersengih geli hati.

“Cuba berkenalan semula dengan dia,” pesan Puan Rohana. Bukan sekali dua dia cakap perkara yang sama. Tetapi Keyra masih berdegil.

“Tak sukalah ibu…”

“Tak suka… tak suka. Dulu bukan main lagi. Adik tahu tak… masa adik nak kahwin dengan Har dulu, ayah tak berapa setuju.”

“Hmm…” Keyra berminat ingin tahu lebih lanjut. Cuma malu mahu bertanya. Cinta terhalang ke?

Puan Rohana menyambung makan dengan senyap sambil sesekali menjeling ke arah anak perempuannya.

“Tak nak tahu ke?” sakat Tarmizi.

Keyra mencebik.

“Masa bercinta bukan main lagi.” Fahmi pula main tarik tali sengaja membuatkan Keyra tertanya-tanya.

Keyra masih diam. Menjeling geram Fahmi dan Tarmizi yang sengaja mahu mengenakan dirinya.

“Kalau nak cerita… ceritalah. Main-main pulak.” Dia sudah membentak dengan wajah garang.

“Dulu, Hardylah lelaki terbaik dalam dunia. Romantik. Understanding. Caring. Huh! Dulu bukan main lagi.” Tarmizi bercerita dengan muka sarkastik.

“Apa pulak!” Muka Keyra jadi merah tiba-tiba.

Fahmi dan Tarmizi bagai berpakat mengenakan dia.

“Ibuuu…” Keyra meminta simpati. Tidak tenteram hati dan perasaan disakat begitu. “Mana aci…” Muncungnya kian terserlah.

“Dulu ayah kata tak boleh tapi adik nak juga. Kononnya Har adalah cinta sejati. Bercinta bagai nak rak…” Puan Rohana pula yang buka cerita.

“Jadi ayah tak setuju? Ayah tak sukakan Har?” Hatinya meronta-ronta ingin tahu perkara sebenar.

Mereka diam lagi.

“Ibu…” Dia ketap bibir.

“Bukannya ayah tak sukakan Har…”

“Habis tu?”

“Ayah cuma tak suka adik kahwin ketika usia masih muda. Baru habis belajar, belum kerja. Tiba-tiba adik cakap nak kahwin. Kami sendiri pun tak tahu siapa Hardy. Belum sempat berkenalan,” sambung Fahmi.

Uh! Gatalnya aku! Bukan ke dulu aku cakap nak kumpul duit banyak-banyak. Kononnya mahu balas jasa ayah dan ibu. Paling tidak pun, bawa mereka pergi makan angin ke Istanbul dulu sebelum kahwin? soalnya sendiri. Kenapa semuanya tak menjadi pulak ni?

“Tapi sekarang sebut nama Har pun tak sudi,” sindir Tarmizi.

“Itu sebab orang tak ingat.” Keyra membela diri.

“Adik kena jumpa dia selalu. Cuba ingat kembali. Dr. Steve cakap memori yang hilang tu boleh datang semula. Amnesia adik berkemungkinan boleh sembuh dengan cepat asalkan pesakit itu sendiri berusaha untuk mengembalikan memorinya yang hilang.”

“Pada angah, lebih elok adik tinggal dengan Har. Hari-hari tengok muka mesti boleh ingat balik. Kenapalah dalam ramai-ramai orang… adik boleh lupa kenangan dengan dia?”

Keyra menjeling tajam.

“Apa kata adik pindah aje dan tinggal semula di Setia Alam?” Tidak teragak-agak Tarmizi suarakan pendapatnya yang dirasakan paling bernas.

“Gila ke angah ni?” bidas Keyra. Nasi yang dikunyah bagaikan tidak tertelan. Sesuka hati aje buat usul macam tu.

“Apa pulak gila? Har tu suami adik.”

Matanya mencerlung tajam tidak berpuas hati. “Mana boleh paksa.” Keyra tetap berpegang dengan pendiriannya. Bagaimana mungkin dia boleh hidup dengan seorang lelaki yang dia sendiri tidak kenal. Kenyataannya memang dia suami, tetapi dalam keadaan sekarang dia tidak mampu menerima Hardy dengan begitu mudah. Dia perlukan masa untuk mereka berkenalan semula dan menyesuaikan diri.

“Ini bukan soal paksa tapi soal tanggungjawab. Kalau benda yang hilang kita sepatutnya berusaha mencari. Tapi cara adik macam nak mengelak,” sindir Tarmizi.

“Apa angah ingat adik suka ke hilang ingatan?” soal Keyra dengan muka geram. Terasa nak tenyeh muka Tarmizi dengan sambal nasi lemak.

Macam manalah Kak Dahlia boleh tahan dengan perangai begitu? Dulu, disangkakan hubungan mereka hanya boleh bertahan hanya setakat lima atau enam bulan. Paling lama pun setahun. Tetapi tak sangka pula hubungan mereka sejak zaman sekolah berkekalan dan kini sudah menjadi pasangan suami isteri. Bahkan, tidak lama lagi mereka berdua bakal menimang cahayamata. Tapi perangai angah dari dulu sampai sekarang tetap sama. Memang T-Rex sungguh!

“Memanglah… tak ada siapa yang suka. Tetapi sekarang ni adik kena terima kenyataan.” Tarmizi terus mendesak.

“Kenapa angah pulak yang kecoh? Hardy pun suruh adik buat keputusan sendiri. Tunggu sampai adik betul-betul bersedia dan boleh terima kenyataan tentang status kami. Bukannya macam angah, semua benda nak paksa orang,” hamburnya geram.

“Kalau angah di tempat Har pun angah cakap benda yang sama. Sebab dia akan rasa bersalah kalau suruh adik tinggal dengan dia. Tapi adik kenalah faham juga keadaan Har sebagai seorang suami.”

Keyra mencemikkan muka. Tidak bersetuju langsung dengan cadangan Tarmizi. Kalau hati tak mahu terima, buat apa pun tak akan jadi. Jadi angah kenalah faham kedudukannya sekarang.

“Dahlah angah… jangan dipaksa. Biarlah adik betul-betul sihat dulu. Ibu tak memihak kepada sesiapa. Keyra pun dah tahu semua cerita. Har pun faham situasi sekarang. Kamu berdua berbincanglah. Selesaikan masalah ini.”

Lepas Puan Rohana bagi kata putus, suasana tegang berubah jadi sepi. Tapi tak lama. Hanya dua minit. Tarmizi buka cerita baru.

“Along… tanyalah…” pinta Tarmizi tiba-tiba sambil menjeling ke arah adiknya yang masih mencuka.

“Ada lagilah tu…” Keyra menggumam perlahan.

Fahmi menarik nafas panjang kemudian diam.

Keyra pandang dengan penuh tanda tanya. Kalau nak tanya… tanya sajalah. Ni buat saspens. Seram betul! Omelnya dalam hati.

“Along nak tanya pasal semalam.”

“Kenapa dengan semalam?” Keyra teguk Teh O perlahan-lahan. Cuba meredakan gemuruh di dada.

“Adik ingat tak apa yang berlaku.”

Keyra mengerut dahi. Kemudian menjulingkan mata ke atas. “Seingat adik… adik tidurlah. Nyenyak sangat. Sampai along kejutkan bangun solat subuh pun rasa malas semacam. Masih letih dan mengantuk.”

“Itu aje yang adik ingat?” soal Puan Rohana pelik. Malah, rasa ngeri turut terkesan di hatinya. Mengingatkan tingkah anaknya petang semalam membuatkan bulu romanya meremang semula.

“Semalam adik mimpi hantu,” kata Keyra tiba-tiba.

“Haaa!” Fahmi kaget.

Jawapan spontan Keyra membuatkan ibu dan abang-abangnya gelisah.

“Macam betul aje mimpi tu. Adik jumpa perempuan berpakaian putih dengan rambut mengerbang. Cuma muka dia adik tak nampak. Bila adik menjerit, suara adik macam tak nak keluar. Adik meronta untuk lari… tapi tubuh badan rasa terikat.” Keyra buat reaksi geli-geleman.

Tarmizi menelan liur. Fahmi mengurut dagu manakala Puan Rohana meraup muka. Pagi-pagi begini cerita sebegitu membuatkan renik peluh mula membasahi tubuh mereka.

Hati Fahmi cukup walang. Mungkin bagi adiknya semua itu sekadar mimpi, tetapi baginya perkara itu memang serius. Malah kata Imran, kalau tidak dirawat dengan segera kesannya lebih merbahaya. Boleh melemahkan jasad dan jiwa Keyra.

“Nasib baik cuma mimpi. Kalau tak… mahu diserang histeria agaknya. Ngeri dan menakutkan!” tambah Keyra lagi.

Fahmi dan Tarmizi saling berpandangan. Tak tahu perlu beri reaksi yang bagaimana. Dalam hati hanya mampu berdoa agar peristiwa seperti semalam tidak akan berulang lagi.

Advertisements

Bab 12 ~ Tapi Har masih sayangkan Keyra…

HARDY kian gelisah. Pertemuan yang disangkakan mampu mencapai kata putus dan menyelesaikan masalah nampaknya kian rumit dan tegang. Sejak tadi dia hanya mendiamkan diri di sebelah uminya, Puan Noraini. Dia mahu memberi ruang kepada orang tua untuk berbicara lanjut.

“Jadi betullah Keyra tak ingat langsung siapa Har dan siapa kami?” Suara Puan Noraini sedikit keras. Wajahnya tiada riak ceria langsung.

“Awak pun… sabarlah. Kita bawa berbincang dulu.” Encik Harun berbisik perlahan. Malu pula dengan besannya bila isterinya sudah mula bercakap dengan nada keras.

“Yalah… sampai tak ingat anak kita… suami dia sendiri. Sedih hati saya ni bang.” Puan Noraini luahkan rasa hatinya yang berbuku.

“Benda dah jadi. Awak nak salahkan siapa sebenarnya? Ini semua takdir. Bukan disengajakan.”

Hardy menghela nafas resah dengan suasana yang dirasakan semakin hangat.

Keyra pula tidak berkutik. Hanya menyerahkan segala keputusan kepada kedua ibu bapanya untuk membuat pertimbangan.

“Habis, hubungan mereka berdua macam mana? Har ni macam digantung tak bertali. Dia pun ada maruah sebagai seorang suami.” Puan Noraini terus bersuara.

Puan Rohana dan Encik Khairil langsung tidak mencelah. Mereka mahu mendengar dahulu luahan hati di pihak keluarga Hardy.

“Bagilah masa. Kita tengok perkembangan Keyra macam mana.” Bagi Encik Harun itulah yang terbaik.

“Tapi sampai bila? Sampai bila Har nak duduk sendiri macam tak ada isteri? Kita sendiri tak tahu sampai bila Keyra akan pulih,” hambur Puan Noraini sambil melirik tajam ke arah menantunya.

“Umi… Har setuju dengan abah. Kita bagi Keyra masa. Sekarang ni biarlah kita tunggu dan lihat perkembangan dia macam mana.” Hardy mencelah bila dirasakan dia perlu meredakan keadaan tegang itu.

“Sampai bila?” Suara Puan Noraini mula melengking.

“Beginilah Puan Noraini… buat masa ni biarlah Keyra rehat dan bertenang dulu dengan kami. Kesihatan dia masih belum pulih sepenuhnya. Masih perlu pemeriksaan susulan dari pihak hospital. Har pun kerja dan susah nak jaga Keyra. Pintu rumah kami pun sentiasa terbuka untuk dia datang.”

“Bukan itu caranya Puan Rohana. Saya tak setuju. Kalau dah jadi isteri Har, kenapa pulak perlu tinggal dengan emak bapak lagi?”

“Tapi Har yang izinkan, umi. Untuk kebaikan Keyra juga. Insya-ALLAH… kalau jodoh kami masih kuat, segalanya akan kembali seperti sediakala. Har cuma minta umi dan abah doakan agar Keyra sihat. Doakan agar rumah tangga kami tetap teguh dan kuat untuk mengharungi masalah ini.” Lirih dan dalam suara Hardy.

“Macam mana kalau ingatan dia terus hilang? Sampai bila kamu sanggup tunggu? Setahun? Dua tahun? Sepuluh tahun?” tempelak Puan Noraini geram sambil mendesah kasar.

Hardy terdiam. Dia sendiri tiada jawapan untuk soalan itu. Suasana bertukar sepi seketika.

“Saya bukannya tak sukakan Keyra… bukannya membenci.” Tiba-tiba Puan Noraini berlembut.

Semua mata memandang ke arahnya.

“Tapi dalam hal ni Hardy yang jadi mangsa. Dia lelaki. Sudahlah sebelum ini hampir setahun dia menunggu di hospital. Bila sedar, Keyra pula hilang ingatan. Jadi sampai bila lagi Hardy perlu terus menunggu? Memang tak adil untuk dia.”

“Jadi… apa yang Puan Noraini cadangkan? Apa agaknya jalan terbaik untuk mereka berdua?” soal Encik Khairil. Penat juga dengan kerenah besannya yang tidak mahu bertolak-ansur.

“Saya rasa elok mereka berpisah secara baik. Keyra pun tak kenal suami sendiri lagi.”

“Umi!” Hardy tersentap. Tergamam. Memandang Puan Noraini dengan rasa tidak percaya. Usul itu tidak munasabah.

“Ke situ pulak, awak…” Encik Harun menggeleng kesal. Kenapa begitu singkat pemikiran isterinya. Mudah sangat membuat keputusan. Kalau diikutkan… mereka tidak harus terlalu masuk campur dalam perkara ini. Ada baiknya jika Hardy sendiri yang putuskan.

Degupan jantung Keyra terus berlari laju. Dia tidak berani mengangkat muka. Sungguh dia gerun! Dengan jelingan emak mertuanya yang menyinga sejak tadi membuatkan dia jadi gelabah.

“Har tunggu apa lagi?” soal Puan Noraini lantang.

“Tak semestinya itu pilihan yang ada.” Hardy cuba berlembut.

“Bagi umi hubungan kalian berdua sudah tidak bermakna lagi. Untuk apa lagi Har tunggu kalau dia bukan lagi isteri Har macam dulu.”

“Tapi Har masih sayangkan Keyra. Dia masih isteri Har walau bagaimanapun keadaan dia sekarang.”

“Jangan jadi bodoh Har!”

Semua orang terpinga-pinga. Keadaan kian tegang.

“Janganlah awak terlalu memaksa, Noraini. Kita datang mahu berbincang secara baik. Jangan diikutkan sangat rasa hati awak tu,” nasihat Encik Harun tegas. Sebagai ibu saudara kepada Hardy, isterinya seharusnya cuma menasihati mana yang baik dan mana yang buruk. Bukannya campur tangan begitu sekali.

Dia tahu isterinya terlalu sayangkan Hardy. Dia yang telah membesarkan anak saudaranya itu sejak usianya sepuluh tahun lagi. Tapi kini Hardy sudah dewasa dan matang. Sudah mampu membuat pertimbangan sendiri.

“Maafkan Keyra…” Akhirnya dia bersuara perlahan. “Keyra sendiri keliru dengan apa yang berlaku. Sumpah… dalam fikiran Keyra sekarang tak ada sekelumit pun bayangan seorang suami.”

Hati Hardy bagai dicalar ketika itu. Pengakuan isterinya cukup pedih dan ngilu. Tetapi itulah kenyataan.

“Bukan niat Keyra mahu menyusahkan atau menyakiti sesiapa. Tapi kalau berpisah adalah jalan terbaik, Keyra tak menentang.”

Puan Rohana menghela nafas panjang.

“Tapi ayah tak rasa itu jalan yang terbaik.”

“Memang tak adil Har perlu tunggu Keyra pulih.” Puan Noraini tetap berpegang dengan pendiriannya.

“Tapi Har tak kisah…” Wajah Keyra direnung dalam. Pandangan mata mereka bertaut. “Ambillah masa untuk berfikir dulu.”

“Tapi sampai bila? Ada betulnya cakap umi.”

“Yang penting Har sanggup menunggu. Sebab Har yakin memori Keyra akan datang akhirnya. Hubungan kita akan kembali seperti sedia kala semula.” Suaranya bagai memujuk.

Keyra menggeleng. “But sometime things might turn another way around.” Mereka berpandangan. Cukup sirna.

“Umi tetap mahu kalian berpisah.” Puan Noraini mencelah. Sudah tekad dengan keputusan itu.

Hardy mendesah. Kemudian menggeleng. “Har memang tak setuju dengan cadangan umi dan keputusan Keyra. Kenapa perlu terburu-buru? Yang menanggungnya, Har. Jadi biarlah Har sendiri yang putuskan,” luahnya dengan rasa hiba.

“Kalau begitu bagilah Keyra masa tiga bulan. Kalau  keadaan masih tak berubah… mungkin…  maksudnya jodoh kita sampai di situ aje.” Dia tertunduk. Bagai tidak menyangka ayat itu keluar dari bibirnya. Kejamkah dia?

“Keyra…” bangkang Puan Rohana.

Hardy terdiam. Meraup muka. Dengan hati kecewa dan sakit. “Ini tak adil untuk Har, Keyra… jangan cepat mengalah.” Suaranya bagai merayu. Mahu insan yang dicintai mengubah keputusan.

“Itulah yang terbaik. Ini keputusan Keyra.” Dia sudah tekad. Malah, dia berpegang pada satu perkara sahaja ketika ini. Kalau jodoh mereka masih kuat, walau sehebat manapun rintangan yang mendatang tak akan jadi penghalang untuk mereka mengecap bahagia sebagai pasangan suami isteri.

“Kalau begitu Har minta enam bulan. Beri enam bulan untuk Har buatkan Keyra ingat semula kisah cinta kita,” pintanya sayu. Bagai merayu.

Setelah terdiam beberapa ketika, akhirnya Keyra mengangguk setuju. Tetapi dirasakan tempoh enam bulan itu terlalu lama.

KEK cawan disusun ke dalam bekas. Krim yang melekat dijarinya disuakan ke mulut. Rugi mertua aku balik awal sangat. Tak sempat nak merasa Kek Pisang dengan Krim Mentega Kacang. Nasib baik kepakarannya memasak kek ini masih belum hilang.

Tiba-tiba tubuhnya dirangkul dari belakang.

“Argh…” Jeritan spontan melantun tinggi. Jantungnya bagai mahu terkeluar. Nasib baik dia tak hentak perut lelaki itu dengan siku tadi. Kalau tidak memang semua orang dalam rumah ni boleh terkejut.

“Sorry…” Hardy angkat tangan dengan muka terkejut. Dia sendiri tidak sedar apa yang dilakukan tadi. Pinggang ramping isterinya dirangkul secara tidak sedar dan tanpa berfikir panjang sebaik terbau aroma kek yang sering dijamahnya dulu.

Mungkin kerana kenangan yang datang secara tiba-tiba membuatkan dia terlupa masalah antara mereka. Situasi begitu memang sudah sebati dengan dirinya. Setiap kali ada kelapangan atau hujung minggu, Keyra rajin mencipta resipi baru kek cawannya.

“Hisy… orang muda sekarang ni gelojoh benar.” Puan Rohana tersenyum sambil kenyit mata kepada menantunya. “Di dapur jugak kamu nak bermanja Har. Pergilah kamu berdua ke depan. Biar ibu tolong uruskan kek tu.” Bibir Puan Rohana tersungging dengan senyuman.

“Ibu…” Suara Keyra berbunyi nyaring.

Puan Rohana tepuk dahi. “Ya tak ya juga… ibu pun dah hilang ingatan. Amnesia macam adik pulak.” Dia terus menghilangkan diri dari dapur. Mahu beri laluan kepada pasangan itu untuk cuba bercinta semula.

Muncung Keyra ke depan. Tangannya lincah meneruskan kerja sedangkan dalam hati sudah panas.

“Awak ni kenapa? Apa masalah awak sebenarnya?” soal Keyra sambil mengetap Bibir. Matanya dijegilkan. Garang.

“Abang tak sengaja… tak sedar. It comes naturally.”

Keyra mencebik. Huh! Alasan. Logik ke? Dia hanya menjeling lantas meneruskan kerja. Rasa malas memanjangkan cerita.

“Malam ni keluar dengan Har,” pinta Hardy tiba-tiba. Dia berdiri rapat di sebelah isterinya.

Keyra diam.

“Pleaseee…” Suaranya lunak.

“Pergi mana? Buat apa?” soalnya lebih kurang.

“Ikut sajalah. Nanti awak tahu juga.”

Pelawaan Hardy membuat Keyra jadi seram. Dia resah. Rasa tidak mampu berdua-duanya dengan lelaki itu walau dalam apa keadaan sekalipun.

Bab 13 ~ Saya perlukan penjelasan. Kenapa tiga bulan?

BARU sahaja duduk melayan perasaan di buaian depan rumah, tangannya diraih dan digenggam kemas. Bukan setakat itu sahaja, malah ditarik dan diseret masuk ke dalam kereta. “Apa ni?” Keyra terjerit kecil dengan nafas kencang. Hantu Jepun betul!

“Kamu nak bawak lari ke mana tu, Har?” laung Puan Rohana dari depan pintu. Niat di hati nak keluar siram pokok bunga di laman rumah terbantu secara mengejut.

“Jalan-jalan sekejap ibu.”

“Pergilah… tapi jangan lupa hantar balik, ya.” Puan Rohana tersengih. Geli hati dengan tindakan menantunya.

Mesti Hardy bertekad berani mati sampai sanggup buat cara begitu. Dia sendiri mendengar Keyra menolak pelawaan Hardy untuk keluar bersama. Jadi, mungkin itu sahaja caranya untuk paksa anak perempuannya keluar.

“Okey ibu… nanti Har pulangkan dengan selamat. Jangan risau. Kami tak apa-apa.”

“Okey. Pergilah… ibu tak kisah…” Puan Rohana melambai dengan hati gembira dan senang.

Hardy tersenyum lebar walaupun wajah isterinya masam mencuka.

‘Huh! Ingat aku barang ke apa? Boleh pinjam dan bagi balik sesuka hati! Sesedap rasa!’ Bentak Keyra. “Apa ni? Tak ada cara lain ke? Kenapa paksa-paksa pulak? Awak nak bawa lari saya ke mana? Have you loss your mind?”

“Terpaksa. Sometime things might turn another way around,” jawab Hardy bersahaja. Memulang paku buah keras. Ayat itu yang diluahkan isterinya tadi. Memang tindak terlintas langsung mahu bertindak begitu, tetapi keadaan tiba-tiba sahaja berlaku di luar perancangan.

Keyra menjeling geram. Menggigit bibir. Sakit hati!

Tetapi Hardy tenang sahaja memandu. Langsung tidak menoleh ke arah isterinya yang berwajah bengis dengan nafas menderu kencang.

“Tak suka tau!” Keyra berpeluk tubuh.

Hardy diam.

“Awak ni kenapa? Apa masalah awak?” Suara Keyra serak. Sebak. Geram kerana dipaksa begitu. Nasib baik baju di badannya masih tidak bertukar dan tudung masih tersarung cantik di kepala. Kalau tak memang naya!

Masalahnya sekarang, dia langsung tak bawa sebarang pengenalan diri. Kalau kena tahan polis memang haru. Tak pasal-pasal tidur bilik sempit berpalang besi malam ni.

Macam manalah dia boleh kahwin dengan Hardy? Gila ke apa? Kalaulah aku tahu dari dulu perangai dia begini, sumpah tak kahwin! Pandang pun tak mahu.

Tapi betul ke? Bukan ke angah cakap aku memang syok kat dia separuh mati. Sampai tak menyempat nak kahwin.

“Boleh tak bagi sebab yang logik sikit kenapa awak bawa saya lari dari rumah? Kan tadi saya dah cakap tak nak keluar? Bahagian mana yang awak tak faham?” soal Keyra tidak puas hati.

Mulut Hardy terus beku. Wajahnya tenang. Selamba. ‘Kupujuk-pujuk tak dapat… memang harus kubawa lari’, hatinya bercanda di dalam. Langsung tidak menyesal dengan tindakan itu.

Keyra menoleh. Memandang dengan mata membara. “Sejak bila jadi bisu pulak ni?” soalnya garang.

Setelah hampir sepuluh minit, lelaki itu masih tak mahu buka mulut, Keyra sudah berputus asa mahu menyoal lagi. Dia pun diam sama. Melontar pandangan ke depan dengan hati bengkak dan kian terbakar.

HARDY membuka pintu kereta. Keyra hanya berpeluk tubuh. Membatukan diri. Tidak mahu keluar dari kereta. Apa nak jadi… jadilah! Dia buat tak tahu. Keyra tidak tahu di mana mereka berada. Dia tidak peduli dan tidak mahu ambil tahu. Lantaklah!

Hardy menjenguk. Tersengih sebaik terpandang muncung isterinya. “Awak masih tak berubah. Tetap macam dulu.”

“Huh!” Hanya desahnya sahaja yang kedengaran.

“Tetap cantik di mata saya. And your eyes… seriously, they are amazing. Saya selalu tergoda kerananya.

Kata-kata itu membuatkan Keyra menatap wajah suaminya. Hardy mengenyitkan mata.

Mata Keyra membulat. Terkejut. Main-main pulak dia. Memang nak kena cepuk agaknya! “Gila!”

“Cakaplah apa aje. Saya tetap sayangkan awak.”

Keyra jegilkan mata. Huh! Sayang muka hensem, tapi otak tak ada. Ingat kalau paksa aku macam ni aku suka ke? Lagi benci dan menyampah adalah. Nanti dari enam bulan cuma tinggal enam minggu saja syarat untuk mereka kekal bersama sebagai suami isteri.

Akhirnya, mereka melangkah masuk ke Restoran Tupai-Tupai di Seksyen 13, Shah Alam. Keyra berjalan menghentak kaki. Bagai kuda terpijak paku lagaknya. Terpaksa! Gara-gara kena ugut dengan Hardy, dia terpaksa mengikut kehendak lelaki itu jua.

“Kalau awak tak mahu turun dari kereta dan temankan saya makan, apa kata balik terus ke rumah kita? Jadi saya tak perlu hantar awak balik.”

Dia jadi kecut mendengar kata-kata itu. Kalau Hardy begitu berani membawa dia lari dari rumah ibu bapanya tadi, tidak mustahil dia sanggup bertindak lebih jauh.

“Awak nak minum apa? Jus tembikai, epal atau laici?”

Keyra tetap menggeleng. Itulah reaksinya setiap kali Hardy bertanyakan sebarang soalan.

Hardy membuat pesanan sendiri. Dua nasi goreng seafood dan dua jus tembikai.

“Kenapa ke sini?” soal Keyra sebaik pelayan tadi berlalu.

“Berbincang.”

“Bukan ke kita dah habis berbincang tadi? Dah lupa? Atau awak pun hilang ingatan sama?” sindirnya tajam.

Hardy mencebik. “Tapi masih ada yang belum terjawab. Saya perlukan penjelasan. Kenapa tiga bulan?” soalnya masih ralat.

“Itu yang sebaiknya kan…”

“But not for me.”

“I don’t see the relevant. Kenapa kita perlu terus bersama lagi?”

“Kenapa tidak? Kita sepatutnya tinggal bersama. Habiskan masa berdua. Mungkin boleh membantu pulihkan memori awak. Dan boleh tak cuba dulu sebelum mengaku kalah? Saya sanggup berkorban dan menunggu awak selama hampir setahun, tetapi awak cuma beri saya masa tiga bulan aje?”

Keyra angkat kening. Tunjuk muka menyampah. Tak suka bila lelaki itu mengungkit semula pengorbanannya ketika dia koma. Tapi bukan ke dia bergilir-gilir dengan ahli keluarganya yang lain. Kecoh betullah!

“Cinta kita… perkahwinan kita… tak bermakna langsung?”

Mereka berdua terdiam bila makanan sampai.

Hardy mendesah panjang. Merenung ke dalam anak mata isterinya yang sudah tidak punya rasa cinta. “Makanlah…” pelawanya.

“Tak lapar.”

“Mana cukup makan cup cake. Awak tu kalau makan lambat nanti mulalah sakit kepala.”

Dahi Keyra berkerut. “Mana awak tahu?”

Hardy gelak. “Soalan kelakar…” bidasnya.

“Tak kelakarlah!” bentaknya geram.

“Dah empat tahun saya bergelar suami awak, okey. Walaupun awak dah lupa… Tetapi kenyataan tetap tak pernah berubah. Saya tahu segalanya tentang awak. Luar dan dalam.”

“Hmm…” Bila Hardy keluarkan khutbah begitu dia memang hilang ayat mahu menjawab.

“Kita pernah berkongsi segalanya. Tolong ingat semula… kita pernah berkongsi pinggan, sudu, cawan…”

“Hardy…” potong Keyra. Dia tidak mahu lelaki itu memanjangkan lagi topik tersebut.

“Malah, kita pernah berkongsi baju, bantal, katil dan…”

“Hardy!” Dia picingkan mata dengan gigi diketap kuat.

Lelaki itu ketawa galak membuatkan hatinya kian terbakar. Mukanya sudah bertukar merah jambu. Malu bila Hardy terus mahu mengungkit hal-hal yang lebih peribadi.

“Please… stop it.”

“Saya cuma mahu awak ingat semula. Dan tahu tak… di sinilah tempat kita keluar dating buat pertama kalinya.”

Dia memejam mata sambil menutup telinga. Dengar… tapi buat-buat tak dengar sebab tak tahu nak jawab apa. Sebab sejarah tu memang tidak terlakar dalam kepalanya sekarang. Kalau Hardy tipu bulat-bulat pun dia tak tahu.

“Tahu tak bila pertama kali kita jumpa?”

Keyra hanya mampu menggigit bibir. Dah tahu dia tak tahu… lagi nak tanya! Kalau cerita terus tak boleh ke? Hatinya mengomel geram.

“Saya tak mahu cakap sebab nak awak cuba ingat sendiri.”

Keyra meraup muka. Sabar sajalah!

“Cuba buka mata dan minda. Pandang sekeliling. Mungkin ada suasana dan kenangan kita di sini dulu yang mungkin akan muncul semula.” Suara Hardy bertukar sayu. Betapa dia amat merindui isterinya.

Keyra memandang Hardy dengan hati walang. Bukannya dia tidak simpati, tetapi segala-galanya tentang lelaki itu bagai tidak pernah wujud. Bagaikan sebuah cereka dalam skrip drama.

Pandangannya begitu hiba. Meruntun perasaan.

“Kenapa agaknya takdir bagai mahu memisahkan kita?” soal Hardy dengan suara lirih.

Entah kenapa, bila mendengar ayat itu dia rasa kecewa dan marah. Tapi kepada siapa? Siapa sebenarnya harus disalahkan? Jawapannya memang tiada.

Bab 18 ~ It hurts to know that I can’t have you…

SEBAIK kereta berhenti, Keyra menoleh kiri, kanan, depan dan belakang. Kemudian dia memandang tepat ke wajah lelaki di sebelahnya. “Kita di mana ni?” soalnya keliru dan gelisah. Janganlah Hardy buat perkara gila pulak. “Awak nak bawa saya ke mana sebenarnya?”

Lelaki itu masih diam tanpa kata. Dia turun. Lalu membukakan pintu kereta sebelah kiri untuk isterinya.

Berat kaki Keyra mahu melangkah. Namun, digagahkan jua. Hatinya dilanda debar tidak terkira.

Mereka berdiri di depan sebuah rumah semi D di kawasan perumahan. Dia memandang dengan rasa musykil. Pelbagai persoalan menari-nari dalam kepala. Kenapa mereka datang ke situ? Apa sebenarnya yang Hardy rancangkan? Kenapa dia muncul di kafe Abang Imran secara tiba-tiba dan memaksa dia keluar hinggalah mereka di sini saat ini.

Pada mulanya dia menentang.

“Pergilah dik… apa salahnya adik ikut Har.”

“Alonggg…” Kala itu dia benar-benar tersepit.  Abangnya sendiri menyebelahi Hardy.

“Jom… masuk…”

Suara Hardy mengocak kejadian di kafe tadi. Dia memandang langkah lelaki itu dengan perasaan tidak menentu. “Awak…”

Hardy menoleh. “Untuk sekali ini boleh tak awak percayakan saya?” soalnya lirih. Pandangannya nampak bening.

Keyra memejamkan mata. Dalam hati tetap gelisah. Kemudian dia berdoa untuk menenangkan perasaan. Agar tidak ada perkara buruk yang akan berlaku ke atas dirinya. Semoga dirinya sentiasa berada dalam lindungan-NYA.

“Jom…” Hardy menghulur tangan.

“Ke mana?” soalnya dalam gentar.

“Jatuh cinta.”

“Hah…” Keyra mendesah. “Apa maksud awak? Nak buat apa ni?” Mukanya berasa panas. Apa motif lelaki itu sebenarnya?

Namun reaksi Hardy tetap tidak berubah. Masih bersahaja.

“Awak jangan buat yang bukan-bukan,” kata Keyra bagai memberi amaran.

Hardy ketawa. “Saya cuma nak awak tengok dan cuba rasa kisah kita. Cinta kita. Dan cuba buat awak jatuh cinta dengan saya sekali lagi.” Kali ini Hardy terus sambar tangan isterinya. Mereka bergandingan tangan masuk ke dalam rumah.

Baru beberapa langkah, kaki Keyra terhenti. Hatinya sedang bergetar. Rasa sebak memenuhi ruang jiwa. Kenapa? Dia dapat rasakan sesuatu. Tetapi tidak tahu apa? Tidak tahu di mana nak mula.

“Rumah kita?” soalnya perlahan. Suaranya tenggelam timbul. Seakan berbisik. Ketika itu pandangan mereka bersatu.

Mata lelaki itu cukup bening. Memandang ke arah isterinya dengan rasa cinta yang mendalam. Mengharapkan satu keajaiban akan berlaku.

“Awak ingat?”

Keyra tersenyum hambar. Lantas menggeleng lemah.

Hardy memejam mata beberapa detik. Dia melangkah longlai menuju ke ruang dapur. Lalu bersandar di peti sejuk.

Mata Keyra melirik ke segenap sudut. Kemudian menghampiri oven. Menyentuh lembut dengan jari-jemarinya. Matanya dipejam. Beberapa bayangan menari-nari di mindanya.

Beberapa minit kemudian mereka mendaki tangga ke tingkat atas. Masuk ke bilik utama. Keyra tergamam. Dindingnya bercat hijau dan coklat. Ada sebuah sofa bertentangan dengan katil.

“Pandai awak hias bilik…”

“Bilik kita.”

Dia mengetap bibir. ‘Tapi kenapa warna hijau? Sejak bila citaranya… ah!’ Dia cuba berhenti dari menyesakkan kepala. Hakikatnya, dia tidak akan tahu apa yang telah berlaku selagi ingatannya terus hilang.

Sukar sekali untuk dia faham kenapa hatinya sedang dihurung rasa hiba dan ngilu. Apa yang sebenarnya telah berlaku antara mereka dahulu?

“Saya cuma boleh rasa pernah ada di sini. Saya seakan-akan dapat rasakan sesuatu di sini. Cuma saya tak tahu apa sebenarnya. Gambaran yang hadir terlalu kabur. Maaf…” ujarnya perlahan sambil duduk di hujung katil.

Hardy tersenyum pahit. Dia duduk bersebelahan dengan isterinya. Tetapi spontan Keyra bangun.

Hardy menggeleng. Tergelak. Geli hati dengan sikap isterinya yang jadi kalut secara tiba-tiba.

“Kenapa? Takut? Awak takut dengan saya?” Tawanya masih bersisa.

Keyra hanya gigit Bibir. “Sort of. I feel a bit uncomfortable near you,” luahnya secara jujur.

Hardy menarik tangan Keyra ke balkoni. “Ingat tak apa awak buat setiap kali berdepan dengan masalah?”

Keyra pantas menggeleng. Dia memandang ke depan. Pemandangannya sayup mata memandang, kerana rumah itu berada di kedudukan yang agak tinggi. Kemudian dia menoleh ke penjuru kiri di balkoni. Pokok bunga lily nampak cantik di situ. Dan di penjuru kanan pula ada kerusi rotan bersebelahan air pancutan kecil.

Keyra duduk di kerusi itu.

“Saya harap awak mampu ingat semula. Ingat siapa saya. Ingat kisah cinta kita dan hidup kita di mahligai ini.

Keyra diserang hiba. Matanya terasa berpasir.

“It’s hurt.” Hardy mahu meluahkan perasaan. “It hurts to know that I can’t have you.”

“Maaf…” Hanya itu yang mampu dia ungkapkan. Dari pandangan lelaki itu dia melihat raut duka dan hampa.

“Kenapa takdir seperti memisahkan kita?”

Keyra menggeleng lemah.

“Boleh tak awak jatuh cinta dengan saya semula?”

“I wish I can simply do that.”

“Saya tak paksa. Tetapi saya tetap percaya harapan untuk kita masih ada. Kalau dulu mustahil rasanya saya akan melihat awak sedar dari koma. Tetapi dengan kuasa ALLAH segalanya boleh berlaku. Dan awak sedar juga akhirnya.”

Pandangan mereka saling menyapa. Lekas-lekas Keyra memandang ke arah lain. Hatinya sudah mula cair dengan panahan mata Hardy yang cukup menusuk ke kalbu.

“Awak masih belum belajar terima saya?”

Keyra mengangguk. “Tapi keadaan kita sekarang cukup rumit.”

“Please don’t give up before I did.” pinta Hardy. Menagih kepercayaan. Dia duduk di samping Keyra.

“Awak…” panggil Hardy. Mereka saling berpandangan. Hardy mendekatkan wajah hingga Keyra rasa malu. Mukanya berasa panas.

Apa ni? Hatinya dihambat debar. Bagai ada dentuman bunga api di dalam dada. Meletup-letup tanpa henti.

“Saya mahukan sesuatu dari awak malam ni.”

Terasa nafas lelaki itu di pipinya. Dia rasa mahu lari. Tetapi apakan berdaya. Keadaan membuatkan dia bagai dirantai.

“Please bake something for me,” bisik Hardy lagi.

Ceh! Ingatkan apalah tadi. Lain kali cakap siang-siang. Keyra tersengih sendiri. Malu!

HARDY meletak semua barang-barang atas meja. Keyra jadi kagum. Semua keperluan yang diperlukan untuk memasak lengkap dibeli oleh Hardy.

“Bila awak beli? Macam mana awak tahu nak beli apa?”

“Pagi tadi. And I am your husband. Don’t you remember?”

“Of course I don’t.”

Mereka ketawa. Memang sudah nyata Keyra tidak pernah ada memori bersama seorang lelaki yang bergelar suami.

Keyra mulakan kerjanya. Kek Vanila Krim Karemel jadi pilihannya kali ini. Mungkin sebab itulah kek kegemarannya sejak dulu lagi. Dia menulis semula resipi yang ada di kepalanya ke atas sehelai kertas. Takut ada yang tertinggal.

Bahan-bahan:

2 cawan tepung

Sebuku mentega

1 1/2 cawan gula

Sedikit serbuk penaik

Sedikit garam

4 biji telur

1/2 cawan shortening

1 cawan susu

Sedikit esen vanila

Keyra berpuas hati dengan ramuannya. Semua ada. Begitu juga bahan-bahan untuk krimnya. Dengan pantas dia memulakan kerja. Ketuhar dipanaskan pada suhu yang sesuai. Tidak sampai setengah jam, adunan yang sudah sebati dimasukkan ke dalam pembakar. Kemudian, dia sambung membuat krim karamelnya pula.

Setelah hampir 45 minit, kek sudah masak dan disejukkan, Keyra mula menyapu krim di atasnya.

“Taraaa…” ujarnya sebaik kek yang diminta Hardy telah siap dihidangkan.

“Terim kasih, sayang,” ucapnya penuh perasaan. Terharu. Kerana masih ada kesempatan menjamah kek itu.

Hardy suakan ke mulut. Lalu mengunyah sambil memejam mata. “Sedap. Bakat awak  tetap tak berubah.”

Keyra gigit sedikit. Kenapa ada rasa pahit di hujung manis karamel? Mungkin terlebih masak sampai karamel sedikit hangus. Entah kenapa hatinya ketika itu begitu sukar ditafsir. Rasa sedih dan pilu bagai mencengkam.

“Kenapa?” Hardy pelik melihat keruh di wajah isterinya.

“I have to go.” Buru-buru Keyra melangkah ke ruang tamu tiba-tiba. Mencapai beg tangan dan berlari keluar.

“Keyra…” Hardy cuba mengejar.

Keyra berhenti. Memejamkan mata. Menarik nafas dalam dan menoleh dengan pandangan yang mula kabur. Matanya bergenang. “Tolonglah…saya perlukn ruang untuk bersendiri,” ujarnya perlahan. Entah kenapa hatinya diserang sebak tiba-tiba. Dan apa yang mereka lakukan ketika ini dirasakan tidak wajar.

“Tapi… sekarang…”

“Jangan risau. Saya boleh jaga diri. Tolonglah faham hati dan perasaan saya sekarang.”

Keyra terus melangkah. Pelipisnya mula berdenyut. Namun, dia abaikan sahaja rasa sakit itu. Sejujurnya, dia terharu atas apa yang Hardy cuba lakukan. Tetapi jiwanya cukup terdera kerana tidak mampu mengembalikan semula kisah lama. Segalanya cukup kabur dan menyakitkan.

Diluar kemahuannya, Hardy merelakan. Hatinya bimbang kerana membiarkan isterinya pulang lewat malam begitu. Dia mencapai telefon bimbit lantas menghubungi Fahmi.

Bab 19 ~ Do re mi fa so… I don’t think so…

MACAM mana?” soal Memey sambil menghulur air kelapa muda selepas membentangkan tikar merah jambu di tepi Tasik Shah Alam. Mereka di antara orang ramai yang datang beriadah di situ.

Ada yang datang berkeluarga dan ada juga yang datang dengan pasangan. Entahkan suami isteri atau pasangan kekasih. Tetapi lebih ramai yang datang berjoging.

“Apa yang macam mana? Intro tak ada tiba-tiba terus masuk isi utama. Apa hal ni?”

Zinta duduk sambil buka bekas cucur ikan bilis yang dibawa. “Janganlah buat-buat tak tahu. Kau dengan Har macam mana? Ada perkembangan terkini?”

Keyra tersenyum. Teringat kisah minggu lalu ketika dia melarikan diri dari rumah Hardy. Nasib baik along datang. Kalau tidak… memang boleh kematu kakinya menapak dari Setia Alam ke rumah. Itulah padahnya bila nekad tak kena tempat. Diri sendiri yang keletihan.

Sejak hari itu, Hardy ada juga datang ke rumah. Tetapi lelaki itu tidak langsung mengungkit apa yang telah berlaku. Dia datang sekadar untuk bersapa mesra.

“Awak sihat?” soalnya setiap kali bertemu. Hardy tidak lagi mendesak supaya dia cuba ingat semula kisah lama.

Lelaki itu hanya datang ke rumah untuk menghabiskan masa bersama keluarganya. Selalunya makan malam atau menonton TV.

“Woi! Aku baru tanya sikit, dah ke bulan bintang kau berangan. Burung merpati… burung bangau, kawan aku yang sorang ni dah angau,” senggol Memey sambil mencebik. Pantun dua keratnya kedengaran lucu.

“Ada berita baik ka?” Kepala Zinta bergoyang ke kiri dan ke kanan.

“Aku dah mula sukakan dia…” Dia jawab dengan selamba dan bersahaja. Langsung tak pandang kedua-dua temannya.

“You likeee himmm…” ajuk Zinta berlagu.

“Memang aku dah mula sukakan dia. Cuma belum sampai ke tahap jatuh cinta lagi.” Keyra meneguk air kelapa sambil menggoyang jari telunjuk.

“Hah!” Memey julingkan mata ke atas.

“But you will. Sure you will.” tambah Zinta dengan rasa teruja mengalahkan tuan punya badan sendiri.

Tiba-tiba Memey berbisik ke telinga Zinta.

“Oit! Apa bisik-bisik. Aku pun nak kongsi cerita jugak. Ingat aku ni tunggul ke? Aku pun ada hati dan perasaan.”

“Ini hal anak dara. Kau tak boleh masuk campur,” jawab Memey.

“Aku pun anak dara apa?”

“Hmm…” Zinta jegilkan mata.

Memey menggeleng. “Do re mi fa so… I don’t think so…” Mereka berdua pecah tawa.

“Mana kau orang tahu? Dan mana punya pantun kau pakai ni, Memey. Kenapa do re mi fa so, jer.. la ti do… mana?” Dia tergelak sama.

“Pantun aku… aku punya suka lah…”

“Menjahanamkan pantun betul! Tapi janganlah berahsia dengan aku. Kau orang berdua bisik apa tadi? Kongsilah dengan aku sekali.” Keyra tayang muka masam. “Tak suka tau!”

Ketika itu ada mesej masuk ke telefon bimbit miliknya.

Rasa kehilangan tanpamu…

Keyra tak boleh berhenti tersenyum membaca sebaris kata-kata itu. Indah menusuk ke hati. Macam dah kena panah. Lelaki bernama Hardy memang bijak bermain kata. Ada sahaja ayat-ayat jiwang yang dihantar.

Tiba-tiba Zinta merampas telefon dari tangan Keyra.

“Mak oiii… romantik gila!” Dia terjerit nyaring. Telefon itu dirapatkan ke dada. Kemudian dia kerdip-kerdipkan mata.

Memey pula tunjuk gaya mahu pengsan.

“Kalau hang tak jatuh cinta dengan dia lagi aku tak tahu lah… apa nak kata lagi.”

Kemudian mesej masuk lagi.

Miss you…

Zinta baca kuat-kuat. “Kau dengan dia dah… ehem… ehem…” Sengaja dia menggantung ayat.

“Apa?” Mata Keyra bulat.

Tangan Zinta kemudian pantas bermain di skrin.

Keyra cuba merampas semula tetapi dihalang Memey.

“Send,” kata Zinta puas hati.

“Kau buat apa, Zinta?”

“I miss you. And I love you too.” Gadis itu tersenyum galak.

“Zinta!” Keyra terjerit. Kau gila ke?”

“Aku tolong sampaikan apa yang kau nak. Cuma kau tak sanggup nak beritahu sendiri,” ujar gadis itu tersengih.

“Tapi kau dah beri harapan pada Har. Aku takut dia salah sangka. Nanti dia ingat yang bukan-bukan. Naya!”

“Aku yakin kalau tak ingat sekalipun, kau akan jatuh cinta dengan dia semula. Sebab aku yakin hampa berdua memang saling memerlukan.”

Telefon berbunyi. Mereka saling berpandangan. Bila ternampak nama Imran di skrin, Keyra melepas nafas lega. Disangkakan Hardy yang menghubunginya tadi. Bagaimana mahu dijelaskan situasi itu?

“Ada tempahan cup cake.” Imran menyampaikan berita baik kepada Keyra.

“Cepatnya…”

“Kawan abang nak 50 velvet dan 50 kek oreo.”

“Bila?” soalnya dengan mata bersinar. Gembira kerana rezekinya semakin murah. Bisnesnya bertambah maju.

“Minggu depan. Sempat tak?”

“Insya-ALLAH…” jawabnya girang. Dia sempat kenyit mata kepada Memey dan Zinta yang sedang memerhati dan pasang telinga.

“Jangan lupa. Rabu depan abang datang ambil.”

“Okay… love you, Abang Im.”

Zinta dan Memey menjegilkan mata dengan mulut ternganga. Mereka terkebil-kebil. Tertanya sendiri.

“Apa?” Sedikitpun tidak ada rasa bersalah di hatinya.

“Kau sedar tak apa kau cakap tadi?” soal Memey tak puas hati.

“Tak ada apa-apalah. Aku dengan Abang Im macam kawan biasa.”

“Biasa apa lagu tu?” tempelak Zinta.

“Kau takut beri harapan pada Har tapi kau tak takut Abang Imran salah sangka dengan apa yang kau cakap tadi?”

“Bukan ka dulu hang ada perasaan dengan…” Ayat Zinta sekerat jalan. Dia dan Memey saling berpandangan.

“Guys… itu kan kisah lama.”

“Oh… oh….” Memey masih ternganga.

Zinta gigit bibir.

Bab 20 ~ Atau awak sebenarnya ada hati dengan dia. Don’t you?

NASIB baik telefon bimbit miliknya tidak jadi dibaling ke dinding. Elok sahaja telefon itu mendarat dengan selamat atas sofa. Kalau tidak… memang menyesal sepanjang tahun agaknya. Namun, radang di hati masih tidak mahu surut.

“Apalah malang nasib telefon tu? Tak buat salah pun. Tapi dia yang jadi mangsa,” sindir Puan Rohana yang sedang membelek majalah MIDI.

“Along ni ibu… hampeh betul! Tengoklah… nanti adik gulaikan dia,” ujarnya geram dengan gigi berlaga.

“Adik janji apa dengan along?”

“Janji nak tolong adik hantarkan kek ke rumah Memey. Janji pukul lapan. Sekarang dah dekat lapan setengah tak datang lagi. Kalau tak boleh cakaplah. Ini tak… Telefon pun tak diangkat,” adunya sambil mengintai  ke luar.

“Angah?”

“Dah call... tapi angah kerja malam ni.” Mukanya masam kelat.

“Nak kena hantar malam ni jugak?”

“Yalah… sebab esok Zinta kena bawa ke pejabat.”

“Tak ada orang lain?”

“Ibu nak tolong ke?” soalnya mengharap.

“Adik kan tahu ibu tak boleh memandu waktu malam. Ibu kan rabun malam,” jawabnya berseloroh.

Keyra menggigit bibir. Tetapi beberapa saat kemudian wajahnya berubah ceria akalnya terfikirkan sesuatu.

Sambil-sambil menjeling majalah, sesekali Puan Rohana menjeling wajah anaknya.

“Ibu…” Meleret suaranya.

Puan Rohana menghela nafas panjang. Tengok muka dah boleh agak apa yang Keyra mahu.

“Boleh tak adik guna kereta ibu. Adikkan ada lesen. Rugilah kalau tak guna,” ujarnya lemah gemalai.

“Boleh… ibu tak kisah,” jawab Puan Rohana bersahaja.

Muka Keyra bercahaya. “Betul ke ni ibu?” soalnya teruja. Tapi dalam hati masih ragu-ragu.

“Apa pulak tak boleh? Boleh sangatlah kalau adik nak tengok ayah mengamuk. Silap-silap dengan kereta tu nanti kena bakar sekali.”

“Alah…” Dia hempas badan ke sofa. Dia boleh agak dah. Ibu ni memanglah. Suka buat kelakar. Ingat lucu ke? Bibirnya terjuih ke depan.

Puan Rohana mengekek ketawa.

“Tak suka tau!” Suaranya dalam. Dia hembus nafas panjang sambil berpeluk tubuh. Kemudian matanya melekat ke arah telefon yang kena baling tadi. Cuma beberapa jengkal. Dicapai, lantas menelefon seseorang. Hanya dia yang boleh tolong dalam keadaan darurat sebegini.

Sebaik mendengar orang di sana memberi salam, Keyra jawab perlahan tapi rasa kaget. “Err… Abang Im ke tu?”

“Ya Keyra… Abang Im ni,” jawab Imran dengan suara serak.

“Abang tidur ke? Tak apalah kalau macam tu.” Terasa mengganggu dan menyusahkan pula.

“Eh… tak apa. Abang cuma terlelap aje. Dah bangun pun. Ada apa hal telefon? Penting ke?”

Dengan rasa berat hati dia luahkan juga masalah yang dihadapi. Dalam hati berdoa supaya lelaki itu sudi membantu lagi.

“Okey… dalam setengah jam abang datang.”

“Terima kasih Abang Im,” ucapnya gembira.

Puan Rohana menggeleng kepala. “Dari dulu perangai tetap sama… tak berubah-ubah!”

BELUM pun sampai tiga puluh minit, Hyundai Tucson sudah berhenti di depan pintu pagar.

“Cepatnya Imran sampai,” tegur Puan Rohana yang bangun membukakan pintu dan menjemput anak muda itu masuk.

Imran hanya tersenyum. Nak kata tidak… tapi laju jugalah dia bawak kereta.

“Jom…” Keyra keluar dengan beg plastik di tangan kiri dan kanan. Di dalamnya, setiap kek cawan disusun dengan cermat agar senang dibawa dan tidak mudah rosak.

“Eh… bertuah punya budak. Tak dijemputnya Imran tu masuk dulu. Jamulah air secawan.”

“Nak cepat ni, ibu,” beritahu Keyra sambil menghulur beg plastik di tangannya kepada Imran.

“Tengok tu! Tak senonoh betul. Dah jadi tukang menghantar, kena jadi tukang bawa barang pulak.” Puan Rohan menggeleng. Kurang senang dengan sikap anaknya. Mengata dulang paku serpih. Dulu mengata Fahmi, sekarang dia pula yang lebih-lebih.

Keyra sengih sambil mengambil kasut dari rak. Tapi belum sempat dia menyarung, ada suara memberi salam.

“Eh… Har. Dari mana?” tegur Puan Rohana.

Keyra terkebil-kebil. Tidak terkata. Tidak terkeluar suara. Pesanan lelaki itu suatu waktu dulu membayangi fikirannya.

“Tolonglah… jangan keluar dengan dia lagi.”

Dia menelan liur yang terasa kesat.

“Abang tunggu dalam kereta.” Imran berlalu.

“Jomlah masuk, Har. Sekejap lagi ayah balik dari surau,” pelawa Puan Rohana.

“Yalah…”

“Adik pulak pergi cepat. Jangan balik lambat sangat,” pesan Puan Rohana lantas menghilangkan diri ke dapur.

“Awak nak ke mana?” soal Hardy sambil tersandar di ambang pintu.” Dia cuba mengawal perasaan. Hatinya merusuh melihat isterinya keluar bersama dengan Imran.

“Saya nak hantar pesanan. Rumah… rumah Zinta…”

“Tapi kenapa dengan Imran?” Sedikit keras soalan itu diungkapkan. Hatinya panas. Bukankah dia pernah berpesan supaya Keyra menghubunginya jika perlukan sebarang pertolongan?

“Sebab along dengan angah tak free. Ayah ke surau.”

“Kenapa tak minta tolong dengan saya?”

Buat beberapa ketika Keyra tergamam. Soalan logik yang dia tak boleh nak jawab secara logik juga.

“Kalau awak minta saya boleh tolong hantarkan.”

“Saya tak mahu susahkan awak.”

“Tapi boleh pulak susahkan Imran?” soal Hardy seakan menyindir. Perasannya terganggu melihat Imran di situ.

Keyra julingkan mata. Kemudian menjeling jam di pergelangan tangan. Dalam hati ada rasa berpintal-pintal.

“Saya dah biasa dengan dia.” Itu sahaja jawapan yang dia ada. Sebab dia sudah biasa dengan Imran berbanding Hardy.

“Atau awak sebenarnya ada hati dengan dia. Don’t you?” Pandangan Hardy begitu tajam kala itu.

“Gila!” Memang itu jawapan paling bernas.

Hardy mengeluh. Sesekali menolah ke arah kereta Hyundai Tucson di luar pagar. Rasa cemburu sedang menekan perasaannya saat ini.

“Awak ada perasaan dengan dia atau dia ada perasaan dengan awak?” Muka Hardy nampak tegang.

“Awak ni kenapa? Nak cari gaduh? Saya dengan Abang Im tak ada apa-apalah.” Susah betul kalau orang ada mood mengalahkan Superstorm Sandy ni.

“Jadi kenapa suka sangat bersama Imran? Ke awak memang betul-betul serius dengan dia?” tekan Hardy lagi.

Keyra mengetap bibir. Ringan sahaja tangannya. Kalau terus diasak begini, memang tak mustahil boleh melayang ke pipi lelaki itu.

“Biar saya hantarkan.”

“Tak apalah. Abang Im pun dah datang. Dan saya pun dah lambat. Pergi dulu…” Tanpa menunggu lebih lama dia melangkah ke kereta. Takut keadaan yang tegang antara mereka bakal mencetuskan perang periuk belanga pula nanti.

Dalam hati dia tak rela. Tapi Hardy terpaksa. Dia menghantar langkah kaki Keyra dengan perasaan tercalar.

DIAM. Sejak 20 minit lalu dia tidak bersuara. Dalam kepalanya bercabang-cabang. Seperti ada banyak simpang yang melintang. Tak tahu nak fikir apa. Yang pasti semua persoalan tidak berakhir dengan jawapan dan kesimpulan yang baik.

“Dia marah?” soal Imran tenang.

Keyra angkat bahu. “Entah… nampak moody aje. Benci betul bila orang suka menuduh melulu,” luahnya spontan.

“Jadi betullah dia marah?” tekan Imran lagi.

“Dia cakap sambil ketap gigi. Rahang dia nampak terserlah sangat. Marah ke macam tu? Agaknyalah kot! Orang marah mana tahu nak cakap elok-elok dan senyum, kan?” Keyra soal macam budak kecil yang dungu tentang hati dan perasaan seorang lelaki.

Imran mengangguk.

“Pelik! Takkan benda kecil pun nak marah?”

“Sebab sayang. Dia cemburu sebenarnya. Kalau abang jadi Har pun… abang tentu rasa benda yang sama.”

“Antara kami tak serasi. Dia macam orang asing.”

“Bukan Hantu Jepun ke?”

“Hantu Jepun pun ya jugak.” Keyra tergelak.

Imran juga ketawa. Rasa tenang hatinya apabila melihat wajah itu mula berubah ceria.

“Jangan fikirkan sangat tentang Har. Dan jangan kusutkan fikiran. Beri dia masa. Abang yakin dia, okey.”

Keyra hanya mampu menggeleng.

Bab 23 ~ I swear nothing happened last night…

DIA benar-benar dikepung perasaan malu. Mahu menjeling wajah Hardy pun dia tak sanggup. Inikan pula bertentang mata. Itulah kata pepatah, menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. Kesimpulannya, sebelum pandai-pandai sendiri buat sebarang andaian, tanya dulu!

Kalau minta maaf rasanya dia terima tak? Hati Keyra galau. Kerana syak wasangka dia terhimpit dalam suasana itu.

“Mana yang silap tu eloklah diperbetulkan. Yang kabur dijernihkan balik.” Puan Rohana sempat buat ayat dua makna. Kemudian terus mengangkat pinggan ke dapur. Tapi Keyra amat yakin bihun dalam pinggan ibu banyak lagi tadi.

Ayah pula lipat surat khabar. Kepit bawah ketiak. “Kenyang pulak rasanya.”

Encik Khairil pun sama. Ikut isterinya masuk dapur. Macamlah Keyra ni bodoh sangat nak faham. Terang-terang mereka berdua kononnya hendak beri laluan kepada aku dan Har untuk bersendiri. Akibatnya, sekarang dia kunyah bihun goreng macam kunyah gula-gula getah. Susah mahu telan.

“Sorry…” Dalam keadaan sunyi dan sepi, perkataan keramat itu keluar juga. Dengan muka tebal seinci.

Dia hanya diam. Sepi. Beberapa minit terus berlalu. Tetapi lelaki di hadapannya masih tidak memberi sebarang reaksi yang diharapkan. Marah sangat ke sampai susah hendak memaafkan?

“Saya minta maaf. Ingatkan semalam…”

“Tak ada apa-apa berlaku,” potong Hardy tanpa diduga. Dia sendiri malu mahu mengenang semula apa yang berlaku pagi tadi. Ada rasa sedih juga! Walaupun cuba dinafikan tetapi maruahnya bagai tercalar kerana diserang isterinya sebegitu. Mungkin agak melucukan, tetapi dia malu kepada mertuanya.

Keyra menggigit bibir.

“I swear nothing happened last night…”

“I believe you.” Kali ini Keyra pula yang mencelah sebelum Hardy habis cakap. Dia tidak mahu memanjangkan cerita.

Suasana antara mereka sunyi seketika.

“Sepatutnya, kita berdua hidup bahagia seperti suami isteri yang lain.” Perasaan yang terpendam dalam lubuk hati akhirnya diluahkan Hardy.

“Salah saya…” Keyra mengaku. Kalau tidak kerana kemalangan dan memorinya tidak hilang, tentu keadaan mereka berdua berbeza.

“Saya tak salahkan awak. Cuma saya tak tahu nak salahkan siapa. Kenapa kita harus berdepan dengan masalah ini?” jawab Hardy sedikit kesal.

Dia hanya mampu menjongket bahu.

“Saya perlukan awak dalam hidup saya. Cukuplah setahun lalu saya rasa kehilangan.”

Kata-kata itu menusuk jauh ke hatinya. “Tapi saya tak mampu. Bagi saya hubungan kita bagai cerita fiksyen. Perkahwinan kita seakan-akan mustahil,” luah Keyra perlahan agar orang di sana benar-benar faham. Tidak terus mengharap dan tidak akan lebih terluka.

“Cuma ada beberapa bulan sahaja lagi. Setiap hari saya hitung dengan rasa takut dan risau. Saya dapat rasakan awak semakin jauh,” luah Hardy dengan wajah keruh kerana terlalu bimbang. Tempoh masa yang dipersetujui mereka dan kedua keluarga sudah tinggal kurang dari sebulan.

“Saya sendiri tak tahu bagaimana nak betulkan keadaan.” Keyra mohon Hardy memahami keadaannya.

“Sudi tak awak ikut saya pergi bercuti. Kita berdua pergi ke suatu tempat yang indah dan tenang. Di sana kita lapangkan fikiran dari segala masalah.”

“Bercuti?” Keyra ragu-ragu dengan cadangan itu.

“Ibu dah setuju…”

Keyra buntangkan mata bila nampak ibunya datang dan duduk di sebelah Hardy tanpa ada sebarang keraguan.

Puan Rohana tersengih.

“Ibu…” rengek Keyra geram.

Encik Khairil juga turut sama. Duduk semula di tempatnya tadi. “Awak menyampuk kenapa? Kan saya suruh dengar saja tadi.”

“Tak sengaja… terlepas.” Puan Rohana menekup mulut.

Encik Khairil menggeleng. Kemudian, surat khabar yang belum habis dibaca disambung semula.

“Ibu dengan ayah pasang telingalah tadi?” Keyra mencebik dengan rasa tidak puas hati. Ingatkan sportinglah sangat sanggup pergi ke dapur supaya mereka berdua boleh berbincang dari hati ke hati tanpa gangguan sesiapa.

KE MANA destinasi yang telah Hardy pilih pun dia tidak tahu. Arahan yang Hardy beri cukup jelas. Kemas apa yang patut. Pakej tiga hari dua malam. Bila Hardy sampai untuk menjemputnya, wajah lelaki itu cukup ceria.

“Dah sedia?” soal Hardy sambil menanggalkan kaca mata hitam. Terserlah wajahnya yang bersih.

Buat seketika dia terpana. Terpesona. Kacaknya dia dengan jeans biru gelap dan T-shirt merah. Bersahaja tetapi cukup menawan. Dia membalas senyuman lelaki itu seadanya.

Setelah tiga jam setengah perjalanan dengan kereta, mereka sampai ke destinasi, Holidays Inn Resort, Cherating.

Sebaik tiba, Keyra membuka mata. Bagaikan baru terjaga dari tidur. Hakikatnya, dia tersedar dari tidur yang dibuat-buat. Sengaja tidak mahu berbual dengan Hardy dalam perjalanan tadi.

Mereka membuat pendaftaran masuk. Hardy mengisi borang yang diperlukan kemudian menyerahkan kunci bilik kepadanya. “Bilik kita asing-asing. Tapi bersebelahan…” ujar Hardy bagai kecewa.

“Terima kasih sebab memahami keadaan saya.” Tetapi geli hati juga melihat muka kelat dan keruh lelaki itu.

Sebaik membuka daun pintu, Hardy masih mengekori di belakang. Keyra menolak perlahan tubuh Hardy membuatkan lelaki itu berundur ke muka pintu.

“Mana bilik awak.”

“Sebelah kiri…”

“Okey…” Sebaik Keyra mahu menutup pintu, Hardy menahan dengan tangan.

“Dua jam. Solat dan rehat. Pukul empat nanti saya ketuk pintu. Kita keluar jalan-jalan,” pesannya.

“As you wish,” ujarnya sambil mengunci pintu rapat-rapat. Menapak ke katil terasa sangat lega apabila merebahkan badan di atas tilam yang empuk.

Dia berbaring menelentang. Memandang ke siling. Serta merta fikirannya terbayangkan lelaki itu.

“Mampukah aku menerima Hardy?” soalnya sendiri. Kini, pandangan lelaki itu, perhatian, dan kesungguhannya mengusik hati. Keyra memejam mata. Menarik nafas panjang. Mencari bayangan silam yang mungkin dapat memberikan nya satu harapan baharu.

“Cubalah pertahankan rumah tangga adik. Mungkin ALLAH menguji untuk melihat sejauh mana adik dan Har mampu bersabar dan berdepan dengannya.”

Keyra bangun perlahan-lahan menuju ke tingkap gelungsur. Melihat ombak yang kuat sedang menghempas pantai. Cantiknya bila ombah memutih.

“Adik kena belajar jatuh cinta semula. Anggap sahaja adik bercinta selepas kahwin.”

Ayat itu sering diulang Fahmi. Mungkin mahu dia faham dan sedar bahawa perkahwinannya bukan mainan. Apa salahnya belajar mencintai seorang lelaki yang sudah menjadi miliknya. Inikan pula lelaki yang pernah dia cinta satu waktu dulu.

Nafas panjang dihela perlahan-lahan. “Kalaulah aku tahu apa sebenarnya membuatkan kami saling jatuh cinta, tentu masalah ini tidak terlalu rumit.”

Sambil melayan perasaan, akhirnya Keyra terlelap…