♥ Kalaulah Aku Tahu ~ Dialog Romantis… ♥

IMG_4714

Seperti yg AE janjikan All d best!

SOALAN 1

Mata mereka saling bertentangan. Lama. Cukup redup dan bening. Jantungnya sudah bertukar irama ketika itu. Ada sesuatu yang bersenandung di dalam. Terpesona dengan renungan itu. Betapa dia rasa terawang-awang kini.

Dia diam lagi. Tertunduk. Tidak mampu menentang pandangan lelaki itu yang tembus ke jantung. Hatinya sikit sahaja lagi mahu cair. Terasa nak tergolek bawah meja dah ni.
“Abang tak tahu kenapa perasaan itu datang. Tapi sampai sekarang masih sama. Masih tidak berubah.”
Lama mereka terdiam

Bagi yang dah baca KAT, ingat lagi kan bila Im minta Keyra temankan dia untuk makan malam?

Soalannya, ciptakan dialog paling romantis yang mungkin diucapkan Imran ketika mahu melamar Keyra tika itu?

Ringkas saja tau. Cukup sekadar satu/dua ayat…

Sbg contoh ye… “Keyra, I think I’ve found my soul mate. Dan bidadari terindah itu sdg berada di depan abang sekarang…”

SOALAN 2

Keyra tersenyum manja. Menyandarkan kepalanya di bahu Imran. “Betapa Keyra sudah cukup bahagia dengan kehadiran abang di sisi. Terima kasih bang… terima kasih kerana terus bersabar dan tak pernah mengalah demi cinta kita.”

Ada pembaca yg mencadangkan supaya AE buat special entri, kiranya bab tambahan, 88.

Soalannya, apakah plot yang akan berlaku dalam bab tersebut?

Dua/tiga ayat dah cukup. AE akan letakkan nama pemenang yang dipilih sebagai co-author di dalam entri tu nanti.

Contohnya… “Tiba2 Imran terjumpa seorang gadis persis arwah isterinya. Entah kenapa naluri lelakinya bergetar… Hatinya meronta2 utk menyapanya…”

Hadiah yang menanti
Tempat 1: Cik Boo dan satu novel AE
Tempat 2: Cik Boo (mini) dan satu novel AE
Tempat 3: Couple mugs, couple keychains dan satu novel AE (Tiga orang pemenang akan dipilih)

Syarat2 Kuiz Dialog Romantis
1. Terbuka kepada semua pembaca “Kalaulah Aku Tahu”
2. Jawapan hendaklah dihantar ke inbox FB Ayu Emelda ataupun FB Page Ayu Emelda (Alaf 21)
3. Tarikh tutup penyertaan ~ 24 Jun 2013 (Isnin), jam 12:00 tengahari
4. Keputusan akan diumumkan pada 1 Julai 2013 dan ianya adalah muktamad
5. Dialog dan plot yg dipilih sbg pemenang akan dipaparkan di FB Ayu Emelda, FB Page Ayu Emelda (Alaf 21) dan blog Ayu Emelda

Salam Sayang…
♥  AE  ♥

Bab 1 ~ Aku masih cintakan dia

BIBIR Hardy mengukir senyuman pahit. Dia bagai terlihat jari-jemari wanita yang koma itu bergerak-gerak. Namun dia tahu semua itu hanya mainan perasaannya. Bukan sekali dua perkara itu terjadi, malah sudah kerap kali. Kata Dr. Steve, mungkin kerana dia terlalu mengharap agar perkara itu berlaku.

Pandangannya terus menilik sekujur tubuh yang kaku di atas katil hospital. Selama hampir setahun dia setia menanti tanpa jemu. Berharap agar wanita itu kembali sedar.

“Abang tak akan ke mana-mana selagi sayang tak bangun,” ucapnya dengan cukup yakin.

Wajah wanita itu sedikit cengkung. Namun tetap menarik pada pandangan matanya. Perlahan dia mengucup pipi yang pucat itu dengan perasaan sayu.

Kalau ikutkan rasa hati, dia mahu meraih dan memeluk tubuh itu. Mahu berkongsi katil yang tidak sebesar mana. Dan mahu sahaja dia kuarantinkan bilik ini agar dia dan insan yang dicintainya itu akan menghabiskan masa-masa indah mereka. Hanya berdua.

Tetapi wajarkah dalam keadaannya begitu? Takut nanti percuma sahaja dia dihalau jururawat. Percuma sahaja dia dilarang terus dari menjejakkan kaki ke bilik itu lagi. Hardy tergelak sambil menggeleng memikirkan anganan nakal yang bermain-main dalam fikirannya.

“Bila sudah puas tidur nanti bangunlah, sayang…” ucapnya dengan perasaan saling bertingkah. Dia mendesah perlahan. Rasa sunyi tanpa kehadiran Keyra. Terlalu rindu akan gelak tawanya.

“Dah dekat setahun, Har. Sampai bila kau nak terus jadi begini? Kau tak rasa penat ke? Doktor sendiri cakap peluang untuk Keyra sembuh tipis. Jangan siksa diri sendiri.”

Kata-kata Rizal, teman baiknya bulan lepas masih terngiang-ngiang di telinga. Selama hampir setahun dia terus setia menjadi penunggu di situ. Boleh pandang. Boleh sentuh. Tetapi tak boleh lebih-lebih. Aduhai!

“Aku sanggup tunggu Rizal. Sebab aku percaya dia akan sedar juga satu hari nanti.”

“Tapi sampai bila?”

Dia hanya mampu menjongket bahu.

“Aku tahu jiwa kau tersiksa. Batin kau merana. Jadi, jangan teruskan kerja sia-sia begini. Kau akan terus menderita,” pujuk Rizal lagi benar-benar simpati.

Dia tersenyum. Senyuman itu tawar sebenarnya. Bukan mudah untuk terus bertahan. Bukan senang untuk terus setia. Tetapi dia benar-benar bersyukur kerana masih punya peluang untuk bersama dengan insan yang amat dicintai.

“Terimalah kenyataan Hardy.”

Ya… dia memang terima qada dan qadar dengan apa yang menimpa isterinya. Malah, dia juga yakin bahawa ALLAH Maha Berkuasa atas segalanya. Jadi, selagi ada kebarangkalian untuk isterinya sembuh, dia akan terus berpaut pada kemungkinan itu. Walau hanya satu peratus sekalipun.

“Kenapa tak cari pengganti?” soal Rizal lagi.

“Untuk apa? Aku masih cintakan dia.”

Kenyataan itulah yang membuatkan dia terus kuat. Kerana cintanya yang begitu mendalam, dia akan tetap tabah. Akan terus menanti hari demi hari tanpa tahu erti jemu atau berputus asa demi Keyra yang dikasihinya.

Perlahan, nafas panjang dihela. Matanya terus memandang jari-jemari yang runcing itu. Sekali lagi kelihatan seakan-akan bergerak perlahan. Matanya digenyeh berkali-kali. Dia tersengih. ‘Kenapalah mata aku terus menipu?’

Pandangannya masih tidak berubah. Betapa dia memang melihat jari-jemari Keyra bergerak. Dan kali ini pergerakannya lebih kerap dari tadi. Hardy besarkan mata. Bulat. Sudah hampir sebesar bola golf.

“Betul ke ni?” Suaranya berbisik. Rasa tidak percaya. Pipinya ditepuk beberapa kali. Namun apa yang dilihat masih sama. Jari-jemari isterinya bergerak-gerak.

“Keyra…” Bibir Hardy bergetar. Dadanya bagai dipalu. Mungkinkah? Mungkinkah apa yang diharapkan sekian lama akhirnya termakbul?

Kali ini dia benar-benar percaya matanya tidak mungkin menipu. Apa yang dilihat cukup nyata.

“Doktor! Doktor!” Hardy menjerit dengan rasa teruja. Dia bangun dengan rasa syukur dan gembira yang berdentam-dentum di dalam dada. Moga penantiannya telah berakhir hari ini. Moga dia diberi peluang kedua untuk membahagiakan wanita itu sebagai isteri.

Bab 3 ~ Dia sebenarnya suami adik

SUASANA ketika itu begitu sunyi. Mereka saling pandang-memandang. Di fikiran masing-masing bergolak seribu pertanyaan. Hendak diluahkan tidak tahu mahu dimulakan dari mana. Apa yang terjadi cukup mengejutkan mereka sekeluarga. Bagai tidak percaya dengan keajaiban yang berlaku.

Puan Rohana menarik nafas dalam. Memandang anak perempuannya dengan rasa syukur kepada Yang Maha Esa. Akhirnya, doanya termakbul. Anaknya itu kembali sedar dari koma hampir seminggu lalu. Segalanya kembali pulih.

Selera makannya juga nampak semakin baik. Malah, sudah pandai minta macam-macam. Katanya makanan yang disajikan hospital kurang garam dan kurang gula.

“Kalau ibu rajin, buatkan adik Sup Tomyam, ikan bakar ke… tak pun kari kepala ikan. Cantik!” kata anaknya itu dengan ibu jari terangkat tinggi.

“Amboi! Anak ibu… besarnya selera makan.”

Begitulah Keyra saban hari, bertambah bersemangat, ceria dan bertenaga. Cuma ada satu perkara yang membuatkan mereka sekeluarga resah. Keyra kini tidak lagi seperti dulu. Walaupun jasadnya sudah mula sihat, tetapi ada sesuatu yang belum kembali pulih seratus peratus. Sudah lama perkara itu dirahsiakan. Dan kini sudah sampai masanya dia diberitahu tentang kebenaran.

Wanita yang terlantar di atas katil itu masih lagi kelihatan bingung. Dia memandang satu-per satu wajah yang mengelilinginya dengan perasaan pelik. Resah gelisah wajah mereka membuatkan dia jadi cuak.

“Har mana?” bisik Puan Rohana ke telinga suaminya.

Encik Khairil menggeleng.

Hati Puan Rohana sedikit resah dengan ketiadaan Hardy. Dia tahu hati menantunya itu terguris dan kecewa dengan insiden yang berlaku beberapa hari lalu. Malah, sampai ke hari ini Hardy terpaksa menjauhkan diri sehinggalah segala perkara diberitahu dengan jelas dan terang kepada Keyra.

Bukannya mereka mahu terus berahsia, tetapi hanya mahu menunggu masa dan saat yang sesuai. Dan sejak seminggu lalu Keyra juga tidak langsung mengesyaki apa-apa.

Kali ini Puan Rohana menjongketkan kening kepada Fahmi, anak sulungnya. Dia bertanya dengan isyarat mata.

Fahmi menggeleng perlahan. Dia faham apa yang ibunya maksudkan walaupun tanpa suara.

“Har datang tadi. Angah ada berbual dengan dia. Sekarang ni, dia ke surau agaknya. Nak redakan perasaannya barangkali. Masih terkejut dan kecewa!” Tarmizi bersuara tiba-tiba.

Kali ini semua mata beralih kepada Tarmizi. Tanda tidak puas hati. Ayat yang keluar dari mulutnya memang tidak sesuai dengan keadaan ketika itu.

“Angah!” Fahmi menegur sambil menggeleng.

“Yalah… kalau angah pun terkejut. Punyalah…”

“Angah…”

Tarmizi tidak jadi menghabiskan kata-katanya bila suara ayahnya kedengaran. Tegas. Siap dengan pandangan yang mencerun tajam. Dia menelan air liur.

Keyra yang menjadi pemerhati mula rasa tidak senang hati. Seperti keluarganya sedang merahsiakan sesuatu. Suasana bertukar sunyi semula beberapa saat.

“Kenapa?” soal Keyra perlahan sambil menatap wajah-wajah di hadapannya dengan mata mengecil dan dahi berkerut.

Puan Rohana tersenyum tawar. Lalu menatap mata suaminya seketika sebelum duduk di sisi katil.

“Kenapa semua orang pandang adik macam tu? Ada yang tak kena ke kat muka adik ni?” soal Keyra lagi sambil meraba-raba mukanya.

“Adik? Huh!” Nada Tarmizi bagai mengejek. Kedengaran pelik dan asing bila Keyra masih membahasakan dirinya adik. Bukankah panggilan itu sudah lama menjadi sejarah?

Kali ini Puan Rohana jegilkan mata membuatkan Tarmizi menutup mulutnya. Tangan Keyra dielus lembut. “Keyra ingat tak kenapa Keyra ada di hospital sekarang?” soal Puan Rohana berhati-hati.

Keyra diam seketika. Berfikir dengan lebih ligat. Dia keliru. Kenapa semua orang asyik bertanya soalan yang sama berulang kali. Bukankah sudah berkali-kali juga dia berikan jawapan yang sama juga?

“Keyra ingat?” soal Puan Rohana sekali lagi.

“Errr… kemalangan…” jawabnya teragak-agak. Takkan ibu tak tahu? Takkan doktor tak beritahu? Dia mula curiga. Apatah lagi sebab soalan itu dirasakan ada maksud tersirat.

‘Kenapa semua orang nampak pelik sangat ni? Apa masalahnya? Aku sakit ke? Janganlah cakap aku ada kanser atau penyakit kronik yang sudah ditahap kritikal. Tolonglah!’ rintih hatinya.

“Kemalangan apa?” Tarmizi yang memang kurang sifat sabar terus mencelah lagi.

“Adik tahulah adik salah sebab guna motor angah tanpa izin. Tapi manalah adik tahu jadi begini. Kan dah banyak kali adik minta maaf, okey. Kenapa semua orang nampak seperti tak puas hati lagi?” Suara Keyra dalam dan serak. Matanya terkebil-kebil. Selebihnya meminta simpati agar dia tidak disalahkan dan dimarahi atas tindakannya yang tidak berfikir panjang terlebih dahulu. Bukannya dia tidak tahu perangai Tarmizi. Pantang silap sikit asyik nak sekeh kepala orang.

“Maksud adik kemalangan jatuh motor? Memang itu yang adik ingat?” tanya Fahmi pula. Dia sekadar mahu melihat tahap ingatan adiknya.

“Yalah…” Kalau bukan jatuh motor jatuh apa pulak? Tak sempat sampai kedai Mak Jah Beriani, dia dah sondol buntut kereta Proton Saga warna putih di depannya. Seterusnya, bermulalah aksi tunggang terbalik sampai kepalanya berputar laju. Itu sahaja yang dia ingat. Sebab bila buka mata beberapa saat kemudian… dia cuma sedar tubuhnya tercampak ke tepi longkang. Lepas tu semuanya menjadi gelap-gelita.

Bila Puan Rohana menghela nafas berat dan panjang, Keyra pandang dengan mata terkelip-kelip. Kemudian dia memandang Fahmi semula dengan mata bergenang.

Hanya Fahmi sahaja sandarannya kini. Dia sudah boleh agak lepas ni  mesti pedih dan azab telinganya kena ‘bantai’ dengan semua orang. Paling dia tak sanggup nak dengar suara kemarahan angahnya. Agaknya semua orang tunggu dia benar-benar sihat untuk dimuntahkan segala kemarahan. Oleh sebab kesihatan sudah pulih, maka sudah sampai tika dan saatnya juga dia dijatuhkan hukuman.

Perlahan-lahan dia tertunduk. Menghitung detik. Lama juga. Seminit. Dua minit. Tiga minit. Dan lagi… dan lagi. Tetapi sebaik mendongak, dia melihat keluarganya bagaikan tergamam. Beberapa saat kemudian dia memekup mulut.

Mungkin sangkaannya tadi meleset. Dirinya bukan menantikan hukuman, tetapi sebenarnya ada khabar buruk yang akan disampaikan. “Ooo… ooo…” Suaranya hampir tenggelam. “Doktor… doktor cakap adik tak dapat diselamatkan ke?”

Pap! spontan Puan Rohana menampar lengan Keyra.

“Adoi laaa… sakit wooo… adik kan tengah sakit ni. Ibu tambah lagi pulak…” Mulutnya muncung ke depan sambil mengurut lengan yang berasa pedih dan perit.

“Mulut tu…” Puan Rohana mengetap gigi. Jangan diminta perkara buruk terjadi. Cukuplah dia terhenyak kerana kemalangan itu. Berbulan-bulan mereka sekeluarga meratap bila Keyra terus koma. Hanya kini dia mampu menarik nafas lega. Bersyukur sangat…

Betapa ALLAH SWT yang lebih mengetahui. Setelah anaknya tidur begitu lama, akhirnya Keyra bangun seperti tiada apa yang berlaku. Dia masih Keyra yang dulu. Tetapi kenyataannya, dia telah melalui dua pembedahan yang agak serius. Satu di bahagian kepala, dan satu lagi pembedahan untuk membetulkan tulang rusuknya yang patah.

“Semuanya sudah selamat sekarang. Adik sudah sihat. Sudah sembuh. Jadi, jangan cakap yang bukan-bukan.”

“Yalah… habis tu kenapa? Adik tengok semua orang macam sedih aje? Apa sebenarnya yang buatkan semua orang nampak susah hati?” Keyra mahu tahu tentang keadaan dirinya.

“Dah dekat setahun Keyra tak sedarkan diri,” jawab Tarmizi tanpa dipinta.

“Angah! Jangan buat lawak okey. Tak lucu pun. Adik pun tak rasa nak gelak. Angah ni memang nak menyakitkan hati adik aje…” kata Keyra siap dengan jelingan geram.

“Jadi, Keyra betul-betul tak ingat? Cuba fikir betul-betul!” arah Fahmi dengan wajah serius.

“Manalah adik tahu, along. Adik kan pengsan lepas kemalangan tu. Langsung tak sedarkan diri. Dan seminggu  yang lalu, itulah pertama kali adik buka mata. Rupa-rupanya di hospital.”

Fahmi mengambil tempat di sisi ibunya. Dia mencapai tangan Keyra lalu ditepuk beberapa kali.

“Kenapa semua orang senyap pulak ni? Saspenslah,” bentak Keyra tidak puas hati. Dia sudah mula mengagak ada sesuatu yang tidak kena.

“Along mahu Keyra tarik nafas panjang-panjang.”

Dia menurut. Oksigen disedut panjang dan dalam. Kemudian dihela perlahan-lahan. Diulangi perkara yang sama beberapa kali.

“Ayah mahu Keyra kuat dan tabah seperti selalu. Mungkin Keyra akan terkejut dengan berita ni. Tapi yakinlah segala yang berlaku adalah perancangan ALLAH. Ini adalah ujian dari DIA dan kita harus reda menerimanya.”

Wajah Keyra berkerut. Jantungnya berlari laju bila Encik Khairil berkata begitu. Pelbagai persoalan terus menyerang benaknya ketika ini.

“Begini…” Fahmi berhenti seketika dan berdeham. Dia mengelus lembut tangan adik kesayangannya.

“Cakaplah… along.” Keyra mula mendesak. ‘Cakap terus terang kan senang. Buat aku gabra aje!’

“Betul apa angah cakap tu. Hampir setahun adik tidur. Errr… sebenarnya adik koma,” jelas Fahmi cuba bertenang dan mengawal nada suaranya.

“Apa?” Hanya itu yang keluar dari bibir Keyra. Matanya bulat. Beberapa saat kemudian dia memejam mata sambil memegang kepala. Cuba mencerna segala maklumat yang baru diterima dengan akal yang waras.

“Keyra?” Semua yang ada di situ mula resah dengan tindak balasnya.

Keyra meraba muka dan rambutnya secara tiba-tiba.

“Keyra okey ke?” Fahmi semakin cuak.

“Panggilkan doktor, along!” arah Puan Rohana cemas.

“Jangan… jangan…” Keyra menahan.

“Kalau sakit, cakap…” Encik Khairil turut bimbang. Hanya Tarmizi yang nampak tenang.

“Betul ke ni?” soal Keyra tiba-tiba sambil mencebik. Macam cerita dalam novel-novel yang sering dibacanya. Dia masih tidak percaya perkara itu boleh terjadi ke atas dirinya. Susah mahu terima dengan logik akal.

Memang sejak lebih seminggu lalu dia rasa bagai baharu sahaja bangun dari tidur. Cuma tubuhnya berasa agak lenguh dan tidak bermaya. Dan sejak kebelakangan ini juga perutnya sering sahaja terasa lapar!

“Betul ke along?” soalnya sekali lagi.

Fahmi mengangguk.

“Alah… tak bestlah macam ni.” Dia berpeluk tubuh.

Kata-kata itu membuatkan mereka yang ada di situ saling melepas nafas lega. Keyra memang jenis yang sukar diramal.

“Apa yang tak best?” soal Tarmizi ingin mengorek cerita.

“Adik dah banyak tertinggal kelas. Nak kena mengulang nampaknya,” jawab Keyra dengan muka keruh.

“Ada ke itu yang difikirkan? Memang kurang cerdik betullah Keyra ni.” Kasar kata-kata Tarmizi.

“Angah…” Puan Rohana menegur.

“Yalah ibu. Angah tu kan garang tak kena tempat. Sebab tulah muka angah nampak tua macam berusia 30 tahun.”

“Memanglah… sebab memang itu umur angah.” Pantas Tarmizi menjawab.

Keyra jelirkan lidahnya tanda mengejek.

Tarmizi balas dengan mata mencerlung tajam.

“Memang patutlah mengaku tua pun. Eloklah kalau angah dah sedar diri!” tempelaknya lagi.

“Yalah… angah memang dah tua. Sebab sekarang ni dah tahun 2013 tahu tak?”

Keyra tergamam. Kata-kata yang ingin dibalas tidak terlepas keluar dari mulutnya. Dahinya berkerut seribu. “Angah ni… nak bergurau lagi ke?” soalnya tergagap-gagap.

“Angah ni kan…” Muka Puan Rohana sudah menunjukkan tanda-tanda tidak senangi. Renungannya tajam.

“Angah cakap apa, along? Ibu? Ayah?” soal Keyra bingung.

“Keyra perlu bertenang. Yang penting Keyra dah sedar… dah sihat… dan dah selamat. Cuma…” Ayat Fahmi tergantung.

“Cuma apa? Sebenarnya apa yang dah berlaku pada adik ni? Tolonglah bagitahu perkara sebenar.” Bibir Keyra terketar-ketar. Dadanya mula dipalu debar.

Puan Rohana mengusap belakang Keyra. Bagai menyalurkan kekuatan dan ketenangan.

“Keyra dengar ya apa yang along nak cakap ni.” Fahmi memandang wajah ibu dan ayahnya sebelum menatap sayu wajah adiknya. Walau apa sekalipun dia sedar Keyra perlu tahu kebenarannya.

“Kemalangan motor yang Keyra cakap tadi tu dah lama. Itu kisah enam tahun yang lalu. Betul cakap angah tadi, sekarang kita berada dalam tahun 2013.”

Keyra memejam mata. Menarik nafas panjang dan dalam. Mahu mengusir segara rasa keliru, bingung dan kecelaruan dalam kepalanya saat ini.

“Sebenarnya Keyra kemalangan kereta!” tekan Fahmi.

“Jadi… ja… jadi bukan kemalangan motor?” Suaranya tersekat-sekat. Bibir Keyra bergetar.

“Keyra koma hampir setahun. Dan menurut Dr. Steve, Keyra hilang memori enam tahun lalu. Amnesia.”

“Hah?!” Hanya itu yang keluar dari bibirnya. Dia cuba mengumpul kekuatan. Bersoal jawab sendiri tentang keadaan dirinya. Patutlah doktor pakar neorologist yang sering merawatnya sering bertanyakan soalan yang pelik-pelik. Balik-balik soalan yang sama. Bertanyakan tentang nama, umur, tarikh lahirnya dan perkara terakhir yang dia ingat.

“Kenapa hari-hari doktor tanya soalan tu?” soalnya curiga. Dan seringkali juga jawapan yang sama diterima.

“Ini sebahagian dari proses rawatan.”

Dan kini barulah dia faham serta mengerti keadaan yang sebenar. Dia meraup muka lagi.

“Ibu tahu adik terkejut, keliru dan panik. Tapi lebih cepat adik tahu dan terima perkara sebenar, lebih mudah untuk untuk menjalankan proses rawatan.” Suara Puan Rohana lunak. Memujuk.

Hakikatnya, dia juga cuba meyakinkan dirinya sendiri bahawa memori Keyra akan kembali seperti dulu. Detik itu juga, suara doktor yang nampak matang dan berkaca mata dengan rambut yang sering tersisir kemas itu kembali terngiang-ngiang ditelinga.

“Belum ada ubat atau rawatan khusus untuk pesakit amnesia. Cuma pesakit perlu menjaga pengambilan makanan yang berkhasiat,” terang Doktor Steve dengan lebih lanjut.

“Ada kemungkinan Keyra kembali normal?”

“Berdasarkan kes yang lalu, memang ada kemungkinan. Yang penting ahli keluarga perlu banyak membantu. Mungkin melalui gambar atau persekitaran yang pernah dilalui dulu. Dan saya juga mencadangkan rawatan hipnosis sebagai salah satu rawtan alternatif. Terpulang… mungkin puan juga boleh cuba rawatan secara tradisional. Penggunaan herba, urutan dan sebagainya.”

“Ibuuu…”

Suara Keyra mengusir lamunannya. Dia memandang wajah anaknya yang masih kebingungan. Beberapa saat kemudian Keyra mengangkat jari-jemarinya. Lagak seperti orang sedang mengira. Mulutnya terkumat-kamit.

“Keyra…” panggil Encik Khairil dengan nada lembut. Pelik melihat tingkah anaknya begitu.

“Jadi umur adik dah 29 tahun?” soal Keyra dengan mulut terbuka luas dan mata terbeliak.

“Betullah tu…” jawab Tarmizi spontan.

“Wow!” Mulutnya ditekup. Keyra tergamam. Lama juga. Masih sukar untuk dia percaya dan menerima semua itu.

“Ada satu lagi along nak beritahu.”

Mata Keyra terkebil-kebil. Debaran di dadanya semakin kencang. Bimbang dengan cerita yang akan disampaikan kepadanya selepas ini. Apa lagi kejutannya?

“Lelaki tempoh hari tu…” Fahmi mahu menerangkan sesuatu.

“Lelaki?” Dahi Keyra berkerut. Akalnya mula berlegar.

“Alah… yang Keyra jerit hantu tu,” sampuk Tarmizi.

“Hantu? Hantu Jepun tu?” Dia mula teringat tentang seorang lelaki yang telah menceroboh masuk ke biliknya di suatu pagi selepas Jururawat Nurlisa keluar dari biliknya. Lelaki itu kelihatan tidak terurus dengan misai dan jambangnya yang panjang. Matanya yang sepet kelihatan merah menyala.

“Huh! Menggerunkan betul… ngeri!” Masih terbayang di fikirannya. Pandangan lelaki itu mencerun tajam memandangnya. Tambah pula lelaki itu memakai baju Melayu warna putih. Dia yang terkejut dan takut lalu menjerit seperti orang gila.

“Siapa dia sebenarnya?”

Semua yang ada di situ saling berpandangan.

“Tolonglah bagitahu. Jangan nak buat saspens lagi!” pinta Keyra.

“Dia sebenarnya suami adik,” beritahu Fahmi setenang mungkin agar Keyra tidak terkejut lagi.

“Hah… apa? Suami adik?”

Fahmi mengangguk.

Serta-merta dada Keyra terasa bagai dipalu debar yang lebih rancak. Tubuhnya kaku. Mulutnya ternganga tetapi tiada suara yang keluar.

“Ibu?” Dalam kepayahan… dengan bibir yang terketar-ketar Keyra cuba mendapatkan kepastian daripada Puan Rohana. Dia masih boleh terima apabila diberitahu hilang ingatan. Tapi tidak dengan berita ini. Mustahil! Akal warasnya tidak dapat menerimanya.

“Sabarlah… ini semua dugaan ALLAH,” pujuk Puan Rohana lirih. Bagai mengerti perasaan anaknya yang sedang berperang di dalam dirinya. Bahkan, dalam masa yang sama dia juga begitu bersimpati dengan keadaaan menantunya. Suami mana yang tidak terkejut dan kecewa bila isteri yang dijaga dengan sepenuh kasih sayang melupakan dirinya. Tentu Hardy kecewa kerana terpaksa menjauhkan diri sehingga Keyra sedar tentang kisah hidupnya yang sebenar.

“Janganlah main-main. Tak kelakarlah! Apa ni?” soal Keyra. Terasa dunianya kelam seketika?

“Dia Hardy… suami Keyra,” tambah Tarmizi pula.

“Arghh!” Keyra kian bercelaru. Jantungnya bagai terhenti. Dia memekup muka dengan kedua tapak tangannya.

“Dia suami adik. Sudah 4 tahun Keyra kahwin dengan dia!” tegas Tarmizi. Biar adiknya faham dan cepat menerima keadaannya sekarang. Baginya, itulah yang terbaik.

Keyra terdiam. Kelopak matanya mula bergenang. Tiada sepatah kata pun yang keluar dari mulutnya. Fikirannya kosong. Terlalu banyak maklumat yang dihadapkan kepadanya serentak. Dia bagaikan tenggelam. Lemas!

“Keyra…” panggil Fahmi lembut.

Tiba-tiba tangisannya mula kedengaran. Berlagu hiba.

“Keyra…” Puan Rohana rasa sayu.

Dan kali ini tangisannya sudah tidak dapat dikawal lagi. Bagai empangan pecah. Terus meledak. Dia menangis bagai histeria. Puan Rohana dan Encik Khairil jadi kalut.

Tarmizi tepuk dahi. “Aduh… susah kalau macam ni.”

Dan Fahmi menghela nafas panjang.

“Suami? Tidak!” Keyra terus walang.

Bab 5 ~ Kisah cinta kita yang hilang

HARI ini, lebih seminggu Keyra sedar dari koma. Banyak yang difikirkan tentang apa yang berlaku selama dia tidak sedarkan diri. Semua itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya. Apatah lagi bila dia diberitahu tentang statusnya isteri kepada lelaki bernama Hardy Mirza. Benarkah? Entah kenapa akal warasnya terus menolak hakikat itu.

“Ada orang nak jumpa adik.” Fahmi masuk dan terus bersuara. Wajah adiknya ditilik seketika. Dia tahu Keyra masih cuba menerima keadaan dirinya dengan rasional.

“Hmm…” Mata Keyra ralit membaca sebuah buku berkulit coklat muda yang dihadiahkan ibunya semalam. Tajuknya cukup menarik – ‘Anakku Hidup Sekali Biar Bererti’. Dan sejak mula membaca, dia begitu teruja untuk terus menghabiskan bacaan.

“Hardy nak jumpa,” ulang Fahmi sekali lagi.

Buku tadi diletak di meja sisi. “Apa along?” soalnya sekali lagi kerana tidak mendengar apa yang diberitahu abangnya tadi.

Fahmi merenung adiknya. “Hardy tanya… boleh tak kalau dia nak jumpa Keyra?” soalnya dengan suara lebih jelas.

Keyra menarik muka masam. “Boleh tak jangan panggil Keyra… kan dah biasa panggil adik. Orang dah ingatkan banyak kali kan?” marahnya.

“Okey… along lupa. Sorry.”

“Yalah…” Meleret suaranya.

“Boleh tak Hardy nak jumpa ni?” Sudah masuk kali keempat Fahmi ulang soalan yang sama.

“Jumpa?” Dia menggigit bibir. Tidak tahu apa yang perlu dijawab. Dia belum bersedia. Kalau jumpa nak cakap apa?

“Boleh tak?” soal Fahmi lagi.

Keyra menggeleng.

“Manalah tahu bila dah jumpa Hardy nanti ingatan adik kembali semula. Paling penting, adik dan Har perlu berbincang untuk selesaikan masalah ini sama-sama.”

“Macam mana?” soalnya sambil mencebik.

“Just talk to him and try to remember. Manalah tahu memori adik yang hilang tu boleh datang balik.”

“Along cakap macamlah senang. Just talk. Sounds easy. But it is not that easy. It’s creepy!”

Fahmi tergelak. “Kalau tak cuba dulu mana tahu.”

“Tapi adik takut.”

“Takut apa? Dia bukannya hantu.”

“Tapi macam hantu. Hantu Jepun!” Mata Keyra bulat. Gerun bila terbayang lembaga yang pernah menghantuinya.

Fahmi tergelak. Teringat jeritan Keyra beberapa hari lalu membuatkan mereka sekeluarga terkejut. Tapi tak boleh salahkan Keyra juga. Rupa Hardy memang serabai ketika itu.

“Adik…” panggil Fahmi lembut. “Dia adalah seorang lelaki yang adik pernah cinta. Lelaki pilihan hati adik.”

Dia mendesah. Berat rasa hati setiap kali nama Hardy disebut. Dia benar-benar belum bersedia.

“Bagaimana nak berdepan dengan orang yang kita tak kenal? Adik betul-betul tak ingat siapa dia… Bagaimana orangnya… adik takutlah…”

“Tapi dia bukannya hantu.”

“But he is a stranger.”

“Adik yang rasa macam tu, sedangkan keadaan sebaliknya. Adik tak boleh larikan diri daripada Hardy. Bukan itu caranya. Tapi kena berdepan dan berbincang. Selesaikan masalah sama-sama. Apa yang berlaku tak ada siapa-siapa minta. Semua orang tak sangka. Benda dah berlaku. Dah jadi. Hanya ALLAH yang tahu apa hikmahnya.”

Keyra terkebil-kebil.

“Along simpati dengan kemalangan yang menimpa adik. Tetapi along juga simpati dengan Hardy. Dia tak bersalah dalam hal ni. Berilah peluang untuk dia. Begitu juga dengan adik. Cubalah beri peluang kepada diri sendiri.”

Keyra terdiam mendengar nasihat abangnya. Betul juga cakap along. Tak boleh lari dari masalah. Memang Hardy tak bersalah. Keadaan yang membuatkan mereka jadi begitu.

“Bila dia nak jumpa?”

Ketika itu terdengar ketukan di pintu. Keyra dan Fahmi saling berpandangan.

“Masuk…” jawab Fahmi.

Beberapa saat kemudian muncul seseorang di depan pintu. Sebaik terpandang wajah lelaki itu, Keyra teraba-raba mencari tudung. Sampai tertarik baju abangnya. Dia kalut menyarungkan tudung ke kepala. Mata Keyra tidak lepas dari memandang lelaki itu. Wajahnya bersih dan tampan. Keyra menoleh ke arah Fahmi lalu mengangkat kening dan tersenyuman malu.

“Kawan along?”

Fahmi hanya tersengih.

Lelaki itu duduk di sofa dengan memegang sebuah jambangan bunga yang besar. Dia berdeham sambil memandang tepat ke wajah Keyra yang masih tertanya-tanya siapakah gerangan orangnya.

Fahmi meraih dan menepuk tangan adiknya beberapa kali. “Berkenalanlah dengan dia semula. Mungkin inilah masanya untuk belajar bercinta semula. He is all yours.” Fahmi tersenyuman penuh makna kepada adiknya. Geli hati juga melihat wajah Keyra yang keliru dan cuak. Terkulat-kulat.

Keyra mengerut dahi. Masih belum faham.

“Okey Har… abang tinggalkan kamu berdua untuk berbincang. Be nice, okay.” Fahmi angkat-angkat kening.

“Errr… errr… along kata apa tadi?” Suara Keyra hampir tidak kedengaran. Perasaannya semakin tidak menentu.

“Adik… Hardy suami adik. Walaupun dah lupa, tapi hubungan yang sudah terikat tak akan terputus begitu aje.”

Air liur yang ditelan rasa tersekat. Hati Keyra menjerit. ‘Along… jangan tinggalkan adik. No… I’m not ready yet.’

Walaupun tadi hatinya hampir cair melihat ketampanan Hardy, namun kini dia jadi bimbang dan bingung. Tak sangka sampai begitu sekali ‘hantu’ boleh berubah. Dari wajah yang menakutkan menjadi cukup tampan dan memikat. ‘Cuma sayangnya aku belum sempat ditimpa perasaan.’ Hatinya menggumam sendiri.

Setelah Fahmi keluar, suasana antara mereka jadi sepi. Sunyi. Sesekali pandangan mata mereka bertaut. Dia cuba tersenyum, tetapi cukup tidak menjadi.

Keyra tersandar di kepala katil. Tertunduk. Hendak mengangkat kepala pun takut. Gelisah setiap kali terperangkap dengan panahan mata lelaki itu.

Hardy beralih duduk di kerusi di sisi Keyra. Jambangan bunga dihulur dengan sopan. “Istimewa untuk awak…” Matanya tidak mampu berganjak dari terus memandang wajah itu. Rindunya begitu menggebu.

Sudah lebih dari seminggu dia tidak menatap wajah insan yang amat dicintainya itu. Dia hanya ingin bersendiri. Mahu mengumpul kekuatan dan semangat baru. Kalau lebih seminggu lalu dia seolah-olah terasa tewas dan berputus asa, tetapi kini dia sudah kembali sedar. Betapa dia ingin menghadapi hari esok dengan azam baru. Walau apa sekalipun, dia akan mendapatkan isterinya semula. Kerana dia percaya peluang untuk mereka bersama masih ada walaupun terpaksa berdepan dengan laluan yang sukar.

“Terima… ka… sih.”  Walaupun teragak-agak Keyra sambut juga jambangan itu. Bibirnya berasa susah sangat mahu bergerak. Kepala berputar ligat. Tapi tiada satu ayat pun yang tersusun cantik. Dia hilang kata-kata.

Buat beberapa saat keadaan sepi semula.

“Keyra…” Suara Hardy bergetar. Bagai tidak percaya dia diberi kesempatan untuk bersama isterinya semula.

Mata mereka saling bertaut. Membuatkan dada Keyra kian berdebar. Bagai ombak ganas di Half Moon Bay, California.

“Kenapa muka macam terkejut. Fahmi tak cakap apa-apa ke?” soal Hardy

“Hmm… along… along ada cakap awak nak jumpa. Tapi saya tak sangka secepat ni.”

Hardy tersenyum. “Awak?” Hatinya berdenyut mendengar perkataan itu. Tetapi apalah yang hendak diharapkan daripada dia yang sudah melupakan dirinya. Melupakan semua memori mereka bersama.

Keyra ketap bibir. Mungkinkah aku tersalah cakap? Aduh! Tengok muka lelaki itu yang sudah nampak gerhana membuatkan dia jadi simpati.

“Awak sepatutnya panggil saya, abang,” beritahu Hardy.  Perasaan pilu dan sebak berselang-seli menusuk ke hati.

“Maaf… saya bukan Keyra yang awak kenal dulu.  Suaranya tenggelam timbul.

Hardy mengangguk lemah. Dia mengerti akan keadaan isterinya ketika itu. Cuma… dia masih cuba menerima apa yang berlaku dengan redha. Kenapa semua itu perlu terjadi? Kenapa dia yang harus menerima takdir sesukar ini?

“Boleh tak janji sesuatu dengan abang?” pinta Hardy tiba-tiba.

“Apa?”

“Janji yang sayang akan cuba bersungguh-sungguh untuk ingat semula abang. Tolonglah cuba cari semula kisah cinta kita yang hilang.”

‘Eei… kenapalah dia buat permintaan macam tu? Berat tau!’ Keyra pejam mata. Mampukah dia? Melihat wajah mendung itu membuatkan hatinya kian terusik. Belas dan simpati saling menekan perasaan.

“Boleh tak?” Suara Hardy benar-benar mengharap.

“Insya-ALLAH…” Hanya itu yang mampu dia lafazkan. Kerana hanya DIA yang lebih mengetahui setiap kejadian. ‘Permudahkanlah urusan kami, ya ALLAH,’ bisik Keyra dalam hati.

Bab 6 ~ Thank you… Saaayanggg Abang Im

PERLAHAN-LAHAN Keyra membuka album di atas ribanya. Hatinya berdebar kencang. Bila pertama kali melihat gambar dirinya dalam pelukan seorang lelaki, dia menekup mulut.

Aku ke tu? Aku dengan Hardy? Dia benar-benar terkejut. Masih belum yakin bahawa dirinya sudah sah menjadi isteri kepada lelaki bernama Hardy.

Matanya terus merenung gambar itu. Jari-jemarinya bagai menari di atas gambar. Dia kelihatan cantik dengan pakaian pengantin. Begitu juga dengan Hardy. Tetapi akalnya tetap tidak mahu percaya.

“Betoi ka hang tak ingat langsung, Keyra?” tanya Zinta. Gadis berkulit hitam manis dari Pulau Pinang itu duduk sambil merenung wajah temannya.

Muncung Keyra ke depan. Menggeleng. “Macam tengok gambar orang lain. Susah nak percaya.”

“Bila last sekali kau ingat?” tanya Memey pula.

“Masa tahun kedua. Kau orang ingat tak aku pernah jatuh motor? Itulah memori terakhir aku.”

Mata Zinta membuntang. “Lama tu! Awat jadi lagu tu pulak? Naya sungguhlah.”

“Nasib baik kau tak lupa kami.” Memey melepas nafas lega. Tidak sangka teman baiknya akan menerima nasib sebegini. Mereka sudah lama kenal. Sejak di sekolah menengah lagi. Berbanding dengan Zinta yang mula rapat dengan mereka berdua sejak di matrikulasi.

“Oh… tidakkk!” Tiba-tiba Keyra ternganga apabila ada sesuatu yang melintas fikirannya.

Kedua temannya memandang pelik.

“Awatnya?” Zinta jadi saspens.

“Mr. Z…” Suara Keyra kedengaran perlahan tetapi meleret. Seakan-akan keresahan.

Memey melepas nafas panjang.

Zinta mengurut dada. Nyaris jantungnya melompat keluar dek kerana terkejut dengan tingkah temannya.

“Kau ni Keyra. Aku ingat apa kes tadi.” Memey menggeleng.

“Apa jadi dengan Mr. Z aku?” soalnya sambil membayangkan senior tampan jurusan ekonomi yang menjadi pujaan hatinya satu waktu dulu. Memang dia angau tak sudah ketika itu. Dan bermacam-macam cara dilakukan untuk menarik perhatiannya. Tetapi tak menjadilah nampaknya.

Memey dan Zinta sudah tahan ketawa.

“Ceritalah… apa jadi dengan dia?” desaknya dengan suara lirih dan kecewa. Bagai benar-benar ditinggalkan kekasih.

“Mamat kacak yang kau minat gila tu? Zainal? Kau masih ingat dia?” Bulat mata Memey.

Keyra menanti dengan tidak sabar cerita daripada mereka. Wajah lelaki itu terus membayangi fikirannya.

“Sudah dikebas orang babe!” Zinta tersengih.

“Serius?”

“He’s unavailable. Married with two kids now,” tambah Memey pula sambil kenyit mata.

“Jadi betullah aku tak dapat tackle dia?”

“Not even close.” Memey mencebik.

“Betul ke? Betul dia dah jatuh ke tangan orang lain?” soalnya dengan muka masam.

Mereka berdua pecah ketawa. Haru sungguh!

Zinta memegang perut yang berasa bagai digeletek. Lucu! Dalam keadaan begitu pun Keyra masih menyimpan perasaan yang sama, sedangkan kisah Mr. Z sudah lama jadi sejarah. Masing-masing sudah ada cerita baharu. Tapi temannya masih menyimpan perasaan terhadap Mr. Z. Jadi betullah Keyra Adeela benar-benar hilang ingatan.

Bagi Memey, walaupun temannya hilang memori beberapa tahun lepas, tetapi sikapnya tetap sama. Masih seperti dulu. Ceria dan mudah meluahkan apa yang dirasa. Kerana itu jugalah persahabatan mereka cukup akrab. Selama bersahabat, mereka memang tidak pernah bercakaran. Setakat masam muka atau gaduh-gaduh manja tu biasalah.

Keyra julingkan mata. Ada rasa terkilan di hati. “Macam mana boleh lepas. Ada orang potong jalan aku ke?”

Memey menggeleng. “Tak ada jodohlah…”

Dia kecewa. “Bukan sehari dua aku usha mamat tu. Tak dapat juga akhirnya. Apalah nasib badan,” gumamnya lemah. Dia bersimpati dengan diri sendiri sambil terus menilik album berkulit kuning air itu. Tangannya terhenti apabila terpandang gambar mereka bertiga sedang posing ‘baik punya’ atas katil.

“Kau orang berdua memang sahabat baik aku.” Keyra terharu. Rasa dihargai dan sayangi. Walau dalam apa keadaan sekalipun Memey dan Zinta tetap ada di sampingnya. Susah dan senang bersama. Tambah lagi dalam keadaan sekarang. Ketika dia amat memerlukan sokongan.

“Woi… hang jangan nak jiwang karat boleh dak?” Zinta bercekak pinggang sambil hantar renungan menggerunkan. Dengan matanya yang besar dan bulat memang boleh membuatkan sesiapa sahaja tidak mampu melawan pandang.

Memey gelak. “Makan nasi dengan sup cendawan, kita bertiga memang kawan.”

Keyra senyum. “Ceh! Tak habis-habis dengan pantun kau. Zinta, jadi sampai sekarang Memey masih berpantun segala bagai lagi?”

“Nak buat lagu mana. Darah baba-nyonya dalam badan dia punya pasai. Pantun-memantun tu dah tak boleh tinggai.”

Mereka ketawa mengekek.

“Yang penting kita kawan sampai bila-bila. Dan kau kena cepat sembuh. Walau apa sekalipun yang berlaku sekarang, terimalah dengan redha.” Memey menggenggam erat tangan temannya.

“Bila tengok semua ni aku rasa macam tak percaya,” ujar Keyra sambil memandang gambar-gambar lama dalam album.

“Sabaq Keyra… hang kena kuat semangat.”

“Aku rasa macam muda lagi. Tak mungkin umur aku dah 29 tahun.”

“Hah… jangan buat lupa. Kita orang pun sebaya dengan kau jugak,” celah Memey sambil menggoyang jari telunjuk.

“Tak apalah… kau orang berdua masih bujang. Sedangkan aku ni dah kahwin. Macam kena kahwin paksa pulak. Aku tak ada perasaan dengan dia.”

Zinta tercuit-cuit bahu Keyra. “Amboi… la ni memang la hang tak ingat. Dulu bercinta bagai nak rak!” tempelaknya dengan senyuman galak.

“Hah…” Keyra termangu.

“Cuba hang tengok betoi-betoi. Hensem, macho, ulalaaa macam tu. Kalau pun hang tak ingat laki hang tu… takkan lah tengok sekali tak terpikat kot. Tengok gambaq dia tak rasa dupdap… dupdap ka?”

“Tak… tak rasa apa pun.” Keyra jawab dengan skima.

“Payah la kalau lagu tu…”

“Tak apa. Jangan paksa sangat. Kau pun baru sedar,” tambah Memey pula.

“Nanti mesti dia tackle hang balik,” ujar Zinta sambil rapatkan kedua tangan dan menjuling mata ke atas. Gedik tak sedar diri.

“Hang pulak lebih-lebih. Aku tengok Keyra tak ada apa-apa pun,” sanggah Memey dengan loghat Penang sambil menyenggol bahu temannya.

Zinta senyum tersipu-sipu dan mereka ketawa serentak. Lama mereka berbual. Tentang cerita lalu. Tentang nostalgia hidupnya yang hilang entah ke mana.

Tiba-tiba pintu bilik terkuak seiring dengan suara memberi salam.

“Along…” Nampak sahaja wajah Fahmi, Keyra tersenyum ceria.

“Ada teman rupanya. Patutlah dari luar lagi meriah aje along dengar…”

“Macamlah along tak kenal dengan Memey dan Zinta.”

Mereka saling bertukar senyuman.

“Eh… Abang Imran pun ada?” soal Keyra dengan mata galak bercahaya.

Lelaki yang berdiri di belakang Fahmi menjadi perhatiannya.

“Adik ingat Imran?” soal Fahmi bersungguh-sungguh.

“Dari along sekolah menengah bukan ke Abang Imran tu kawan baik along. Ibu pun cakap along berdua macam belangkas. Mestilah adik ingat,” jawab Keyra.

“Ya tak ya juga…” Fahmi menggaru kepala.

“Along bawa apa?” soal Keyra sebaik melihat mangkuk tingkat di tangan abangnya.

Mangkuk tingkat bertukar tangan. Memey tolong sambut. Siap tolong hidangkan sekali.

“Bukan nak tanya khabar along.” Fahmi tayang muka geram.

Terkekek semua ketawa.

“Lapar.” Muka Keyra langsung tak ada rasa bersalah.

“Tu ha… Abang Im yang bawa nasi dengan sup ketam dari restoran dia,” jelas Fahmi sambil angkat kening kepada temannya.

“Sihat, dah ada selera? Tak sakit kepala lagi?” soal Imran sambil menghulur cawan kertas bersaiz besar.

“Apa ni?”

“Kopi ais karamel.”

Bibir Keyra terus melebar menyambut minuman kegemarannya. “Thank you… saaayanggg Abang Im…” Tanpa segan silu spontan ayat itu dituturkan.

“Hei… awak tu isteri orang tau! Mana boleh bersayang-sayang dengan Imran macam dulu.” Fahmi mengingatkan.

Keyra balas dengan menjelir lidah. Peduli apa? Bukannya aku ingat siapa lelaki yang jadi suami aku tu. Hatinya meningkah.

“Hang ni pun la… coverlah sikit,” bisik Zinta ke telinga temannya. Kalau ya pun suka janganlah nampak sangat.

“Huh… susah betul ada adik tak tahu malu macam ni. Sayang dengan Abang Im aje? Dengan along tak sayang? Menyesal along datang.”

“Alah along… janganlah merajuk. Adik memang selalu sayang along. Tapi hari ni sayang Abang Im lebih sikit aje. Sayang sup ketam dengan kopi ais karamel.” Keyra ketawa.

Fahmi hanya mampu tersengih. Dia tidak menyangka dapat melihat semula kecerian adiknya yang dulu. Sudah lama wajah Keyra tidak berseri dan bercahaya begitu.

Dia tahu antara Keyra dan Hardy saling menyinta. Tetapi, sejak setahun sebelum kemalangan, dia dapat rasakan ada sesuatu yang telah merubah adiknya. Sikapnya tidak lagi seperti dirinya yang dulu. Apa sebenarnya yang berlaku?

Bab 7 ~ Cuma dia tak kenal siapa aku…

PERASAANNYA ketika itu sukar ditafsirkan. Bercampur gaul. Sedih ada. Kecewa lebih lagi. Rasa tersisih dan terbuang. Masakan tidak, orang yang dinantikan sekian lama sudah tidak sayangkan dirinya lagi. Kenal pun tidak. Inikan pula masih menyimpan rasa cinta. Mustahil! Kisah cinta mereka bagai hilang begitu saja.

Ketika menunggu Keyra sedar, dia sangka diberi peluang kedua. Tetapi lain pula yang datang. Senyuman, gelak ketawa dan bicara mesra wanita itu bukan lagi untuknya. Bila bersama keluarganya, Keyra jadi riang. Dia jadi peramah dengan kehadiran Zinta dan Memey. Hardy jadi cemburu.

Pertemuan antara dia dan Keyra semalam mengusik hatinya. Bertali arus desah nafasnya melepasi bibir. Meluah rasa hati yang tercalar.

“Kenapa senyap?” soalnya bila Keyra terus tertunduk sepi.

“Tak tahu nak tanya apa?”

Ketika itu dia hanya  mampu tersenyum tawar. Tapi dalam hati rasa pahit mengalahkan jus daun pegaga.

“Tanyalah apa-apa pun. Abang sedia jawab. Mungkin sayang perlu tahu kenangan kita agar memori yang hilang itu muncul semula.”

“Walaupun hakikatnya kita berdua adalah pasangan suami isteri, tetapi bagi saya sekarang… awak orang asing. Dan memang banyak yang saya perlu tahu. Tapi tak tahu nak mula dari mana.”

Tiba-tiba cahaya terang menerangi bilik. Lamunan Hardy melayang pergi. Namun satu nama itu terus terlakar di fikirannya. Tika berdiri, berjalan atau tidur sekalipun, hanya nama itu sahaja yang menemaninya saban waktu.

“Astagfirullahalazim…”

Hardy menoleh ke arah Rizal yang berdiri di depan pintu.

“Apa kau buat dalam gelap ni, Har?” tanya Rizal sedikit bimbang. Pintu rumah dibiarkan terbuka. Tingkap pula tidak bertutup. Pintu pagar di depan rumah pun sama. Ingatkan rumahnya sudah kena rompak tadi. Tak sangka pula Hardy  yang datang. Temannya itu memang tahu di mana dia sorokkan kunci pendua rumah.

Hardy bangun. Duduk tersandar. Kepala mendongak ke siling. Dia mendesah panjang. Berkali-kali.

“Aku tahu apa yang ada dalam fikiran kau sekarang,” ucap Rizal cukup yakin. Tengok muka pun tahu. Walaupun tak tertulis besar kat dahi tu tapi riak muka Hardy cukup memberitahunya. Patah Hati! ‘Susah juga nak tolong ubatkan kawan aku ni. Ubatnya memang tak ada dijual di mana-mana kedai.’

“Aku… aku…” Suara sebak yang keluar. Hardy kancingkan mulut. Rasa hiba menjalar di dada.

Rizal duduk di sebelah. Menepuk bahu temannya beberapa kali. Dia bersedia mendengar luahan perasaan Hardy.

“Susahnya…” Hardy mengeluh lagi. Nampak sangat dia rasa tewas. Bagai mengaku kalah dengan keadaan. Dengan hakikat hidup. Dia benar-benar rasa tidak berdaya walaupun telah mencuba sehabis daya untuk terus bertahan.

“Sabar. Doa. Tawakal.” Ringkas, tetapi cukup padat kata-kata Rizal. Cakap berjela-jela pun tak guna ketika kepala temannya tengah berserabut begitu.

“Apa aku nak buat?” soal Hardy bagai dungu. Atau lebih tepat bagai kanak-kanak yang masih tercari-cari erti hidup.

“Kau dah solat?”

Perlahan Hardy menggeleng lemah.

“Pergilah mandi. Ambil wuduk. Lepas tu kita berjemaah bersama. Mengadulah kepada DIA. Pohon dengan rasa rendah hati sebagai seorang hamba-NYA. Kemudian, serahkan segala-galanya kepada ALLAH yang lebih mengetahui.”

Hardy menoleh. Matanya merah.

“Tenangkan hati Har. Jangan merintih dengan takdir hidup kau. Inilah namanya ujian,” nasihat Rizal dengan lembut tetapi yakin.

“NAH… hidangan makan malam special kita.” Rizal hulur secawan kopi dan bungkusan plastik kepada Hardy.

“Special?” Hardy picingkan mata. Mengintai ke dalam plastik. Kebetulan perutnya juga berasa lapar.

“Makan sekali mesti nak lagi.”

“Burger? Ini kau kata special?” tempelaknya lalu mencebik.

“Special double beef burger with cheese.”

“Apa yang special? Cuma burger aje.”

“Sebab memang nama pada menu tu ada special.”

Hardy tergelak kecil lalu menggeleng.

“Cuba dulu bro… Lepas tu baru kau tahu betul ke tak apa maksud aku.”

Sebaik gigitan pertama, Hardy kunyah lambat-lambat. Pejam mata. Kunyah lagi. Kemudian terangguk-angguk.

Ketika mata mereka berlaga, Rizal agkat kening.

Hardy terengih. Langsung tidak dapat dibayangkan sebiji burger boleh membuatkan dia tersenyum lebar.

“Kan aku dah cakap.”

“Sekarang aku percaya… uku percaya…” Kepala Hardy terangguk-angguk.

Tiba-tiba Rizal menadah tangan lalu meraup muka.

“Kenapa?”

“Sekurang-kurangnya kawan baik aku masih merasa nikmat ALLAH. Percayalah… dia lebih dekat jika kita selalu mendekatkan diri kepadanya.”

“Terima kasih bro…” Perlahan ayat itu keluar dari bibir Hardy. Secebis kekuatan bagai meresap ke hatinya. Sebelum ini, berkali-kali dia rasa kesal dan kecewa. Hatinya tertanya-tanya kenapa dia yang perlu diuji begitu. Kenapa musibah perlu menimpa dirinya.

Tapi kini dia tahu, dugaan yang datang bagaikan penawar atas kesilapannya yang lalu. Bila didatangkan ujian, barulah dia mula bermuhasah dan merenung kembali setiap kekhilafan dirinya selama ini.

“Bersimpati dengan diri sendiri takkan selesaikan masalah. Aku pun pernah alami keadaan yang sama.” Rizal memberikan motivasi.

Hardy menyisip air kopi perlahan-lahan. Dalam hati, dia  mengakui apa yang dikatakan oleh Rizal.

“Cuba cerita,” kata Rizal.

“Dia dah sedar.”

Dahi Rizal berkerut. “Dia?”

“Keyra…”

“Syukur alhamdulillah. Bila?”

“Sudah lebih dari seminggu.” Hardy menjawab lemah.

“Tapi kenapa muka kau monyok?” soal Rizal pelik. Sudah hampir seminggu dia bertugas di luar daerah, baru hari ini dia bertemu dengan Hardy. Memang berita itu mengejutkan. Tapi itu adalah berita gembira. Dia menyangka Hardy bersedih kerana keadaan isterinya yang masih koma.

“Tapi…”

“Ceritalah Har…”

“Dia sedar. Sihat walafiat. Cuma dia tak kenal siapa aku. Aku dah jadi orang asing bagi dia.”

Rizal cuba mencerna maksud kata-kata Hardy. “Aku tak faham. Apa maksud kau?” soalnya lebih lanjut.

“Dia tak kenal aku ni siapa. Memori Keyra tentang enam tahun yang lalu hilang. Apa yang dia ingat cuma zamannya di kampus dulu.”

“Jadi, dia memang tak ingat yang kau ni suami dia? Dia tak tahu kau dan dia pernah berkahwin. Begitu?”

Hardy mengangguk.

“Subhanallah…” Rizal terkejut.

“Aku suami terbuang,” keluh Hardy.

“Aku simpati.”

“Dua hari selepas dia benar-benar kembali sedar, aku rasa nak masuk dan peluk dia. Tapi…”

“Tapi apa?”

“Dia menjerit hantu bila aku masuk. Satu wad jadi kecoh ingatkan ada orang kena histeria.”

Rizal tergelak. Tidak dapat menahan rasa geli hati dengan cerita temannya. “Aku tak salahkan dia.”

“Apa pulak?” Hardy jegilkan mata.

“Yalah… bila aku masuk rumah tadi pun terkejut tengok kau. Ingatkan orang lain. Kemas dan rapi. Jauh benar dengan rupa kau sebelum ni. Tak terurus. Memang patut Keyra terperanjat dan takut masa tu.”

“Teruk sangt ke rupa aku hari tu?”

“Berjambang macam semak-samun. Tak berjaga. Misai melintang sana sini. Memanglah dia terkejut. Dia pula baru sedar dari koma.” Ketawa Rizal kedengaran semakin galak.

Hardy tersandar. “Kau gelakkan aku?! Tahu tak kawan kau ni sedang sengsara sekarang?” Hardy geram.

“Patutnya kau bersyukur dia dah sedar. Ambil masa juga, Hardy. Insya-ALLAH memori yang hilang tu akan datang balik. Berdoalah… semoga segala kekusutan kembali dijernihkan.”

“Tapi kau tak tahu perasaan aku sekarang. Aku tengok isteri aku yang sah tapi macam orang asing.” Perlahan Hardy luahkan apa yang membekam di dalam jiwanya.

Lebih kuat Rizal mengekek.

“Dah ada depan mata tapi tangan tak sampai.”

“Sabar Har… sabar…” pujuk Rizal.

Bayangkan, hampir setahun Hardy sanggup menunggu dan menjaga isterinya. Selama itu juga dia sanggup berkorban tenaga, masa dan perasaan. Tetapi takdir TUHAN tiada siapa yang mampu duga. Betapa kita hanya mampu merancang, tetapi DIA yang menentukan segalanya.

Sebagai teman dia faham kedudukan Hardy. Tetapi sudah tentu bahu yang menggalas lebih sukar menghadapinya.

“Dah nasib badan.” Hardy menjulingkan mata sambil menepuk dahi. Dia turut ketawa juga.

Bab 9 ~ Hati ini bukan milik ku lagi

SEBAIK tiba di rumah, Keyra mengantur langkah satu per satu. Puan Rohana yang berdiri di muka pintu terus memeluk dan memimpin tangan anaknya masuk ke dalam rumah. Fahmi ikut di belakang sambil menggeleng. Sementara Imran mengambil beg dari bonet kereta.

“Kenapa ibu tak datang tadi?” soalnya dengan muncung.

“Ibu kemas bilik Keyra.”

“Yalah… kan dah lama adik tak tinggal sini. Sebelum ni adik tinggal rumah Har…”

Belum sempat Fahmi habiskan ayat Puan Rohana senggol tubuh anak lelakinya. “Along…”

Mulut Fahmi terus terkunci.

Keyra buat-buat tak dengar. Tak komen apa-apa.

“Tadi Har ada datang,” beritahu Puan Rohana ketika Keyra duduk di sofa.

Fahmi ikut duduk sambil melihat temannya masuk dengan beg. “Kau tolong bawa masuk terus ke bilik Im.”

Imran tak banyak songeh. Hanya menurut perintah. Dia senang begitu. Terasa dirinya sudah dianggap seperti sebahagian daripada keluarga Fahmi.

“Amboi! Sesuka hati aje along arahkan Im!” sanggah Puan Rohana kurang senang dengan sikap Fahmi.

“Along memang… suka ambil kesempatan. Mentang-mentanglah Abang Im baik hati.” Keyra menyampuk.

“Kamu ni along… orang kalau tetamu datang patutnya buatkan air. Tapi kamu pulak buat dia macam kuli.”

“Alah ibu… Im tu dah biasa dengan kita. Apa salahnya. Lagipun bukan selalu along minta tolong.”

“Yalah… tak selalu konon!” tempelak Keyra.

Fahmi menyandar tubuhnya di sofa. Menekup telinga dengan bebelan adik dan ibunya. Buat-buat tak dengar. Ketika itu matanya terpandang sejambak bunga di atas meja kopi. “Bunga untuk siapa? Siapa hantar?” soal Fahmi mengubah topik. Tangannya sudah terjulur mahu membaca kad dari pengirimnya.

“Pap!”

Belum sempat capai sudah kena libas.

“Ibu! Sakitlah…”

“Bukan along punya, jadi along tak ada hak. Jangan baca.” Puan Rohana menjeling.

“Habis tu manalah tahu siapa yang punya bunga ini kalau tak tengok kad.”

Keyra tersengih. Logik juga tu!

“Kan ibu cakap Har datang tadi… tentulah bunga tu adik punya. Takkan untuk ibu pulak. Tapi kalau betul dia nak beri… ibu tak kisah.”

Keyra yang tersandar di sofa duduk tegak. Menilik jambangan bunga itu dari jauh. “Daisy…”

“Jadi adik punyalah…” Nada suara Fahmi berbaur kecewa.

“Kau tu mana ada peminat. Siapa yang nak bagi? Mimpilah kau!” sindir Imran yang baru turun dari tangga lalu duduk di sebelah temannya.

“Habis! Kau ada?” Fahmi tak mahu mengaku kalah.

Imran sekadar tayang gigi dan gusi.

SELESAI makan tengahari masing-masing duduk bersantai. Imran juga turut sama. Menonton TV sambil menikmati teh panas. Keyra terus mendaki anak tangga ke bilik. Sebaik membuka pintu, matanya terbuntang. Memandang setiap sudut bilik yang sudah berubah. Warna dindingnya sudah dicat merah jambu.

“Oh no! Pleaseee…” Dia terjerit kecil. Melabuhkan punggung di hujung katil dengan mata terkebil-kebil.

“Kenapa adik?” Fahmi yang muncul tiba-tiba juga ikut duduk di sebelahnya. Jeritan adiknya tadi boleh dengar sampai ke bawah.

“Siapa punya kerja ni? Kenapa sudah bertukar pink? Sengaja nak sabotaj adik ke?” soalnya geram.

Fahmi ketawa. “It was your idea, okay.”

“Jangan mengarutlah, along. Sejak bila pulak adik boleh berkenan dengan warna merah jambu. Tidak sekali-kali, okey!”

“Sekarang tak mengaku. Dulu, adik juga yang beria-ia mahu along dengan angah cat warna pink. That’s your wedding theme colour.”

“Ngeee… gila ke apa? Bila masa adik suka pink? Sampai sekarang adik memang minat purple apa.”

“Itu dulu… tapi bila adik kenal Har, semuanya mula berubah,” tempelak Fahmi mencemikkan muka.

“Ya ke?”

“Yaaa…” Fahmi tekankan suara. “Keyra Adeela yang lasak sudah jadi gadis ayu dan feminin. Adik dah tak suka lagi ikut kita orang pergi camping atau memancing. Dah tak minat sukan lasak.”

Keyra menggeleng. Mendesah. Kemudian menepuk dahi. Baru dia ingat warna baju pernikahan dalam album perkahwinannya memang warna merah jambu. Dia terus memandang sekeliling. Perabotnya juga sudah diganti baru.

“Cuba tengok dalam almari hujung tu,” arah Fahmi.

Dia bangun lalu membuka pintu. Mata terus bulat. Bersinar-sinar. “Aaa…” Mulutnya ternganga. Louis Vuitton, Prada, Gucci dan ada juga beg tangan jenama Coach yang memang diimpikan sejak di sekolah menengah lagi. “Biar benar, longgg… ulala…” Hatinya bagai berdansa.

“Adik dah tukar hobi baru. Buat koleksi beg tangan.”

“Banyak sangat ke gaji adik sampai boleh beli beg berjenama mahal begini?” soalnya masih terkejut. Terkejut tapi bahagia sebenarnya.

“Kalau adik pandai menyimpan… along tahu adik mampu. Tapi along rasa ada juga beg yang Har sponsor. Dia memang mampu. Lebih dari mampu.”

“Kenapa semua barang adik ada di rumah di sini… di rumah ibu dan ayah. Bukan ke…” Dia tak tahu bagaimana mahu menghabiskan ayat. Kenyataannya, dia masih keliru. Masih sukar menerima hakikat bahawa dirinya kini adalah seorang isteri.

“Hardy baru hantar barang-barang adik semalam. Kami dah berbincang… dah sepakat mahu adik terus tinggal di rumah ini hingga keadaan adik betul-betul stabil.”

Keyra mendesah.

“Atau adik memang nak tinggal dengan Hardy? Mungkin cara itu elok untuk ingat semula…” duga Fahmi.

“Tak… tak mahu.” Pantas Keyra menggeleng.

Fahmi tergelak melihat muka kalut Keyra. “Yalah… tak mahu sudah. Sekarang berehat ya. Along turun dulu.”

Keyra menekan punat radio di VCD setelah mengunci pintu. Kemudian berbaring di katil. Niat di hati mahu ke bilik air tetapi ditangguhkan seketika.

Hati ini bukan milik ku lagi…

Seribu tahun pun akan ku nanti…

Kan… kamu…

Keyra menghayati kemerduan melodi lagu itu. Cukup indah dan damai. Membuai dirinya. Suara penyanyinya cukup merdu. Cuma dia terlupa siapa namanya. Ke aku memang tak pernah kenal dan tak pernah tahu?

Sayangku…

Jangan kau persoalkan siapa di hatiku…

Terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu…

Matanya dipejam seketika. Alunannya cukup indah. Dia jadi leka. Tiba-tiba dirasakan seperti ada seseorang yang berbisik di telinga. Perlahan-lahan Keyra buka mata. Serta-merta jantungnya berlari laju seiring dengan satu jeritan yang cukup nyaring.

Imran dan Fahmi saling berpandangan. Terkejut.

“Keyra…” Fahmi diasak bimbang. Jeritan adiknya lebih nyaring dari tadi. Apa yang berlaku?

Mereka bingkas bangun dan berlari ke atas.  Fahmi cuba membuka pintu tetapi gagal.

“Adik… buka pntu ni.”

Jeritan dari dalam bilik terus bergema.

“Kenapa along?” Puan Rohana tercungap-cungap baru keluar dari bilik air sebaik terdengar jeritan itu.

“Tak tahu ibu. Kenapa dengan adik?” Fahmi kian cemas.

“Kunci pendua ada?” soal Imran.

“Ibu lupa di mana ibu simpan kunci. Kunci lagi satu ayah yang pegang.” Suara Puan Rohana tersekat-sekat.

“Kita rempuh, Fahmi.” Imran memberi cadangan, Ketika itu, cadangan itu dirasakan paling bernas. Dalam keadaan cemas begini mereka tiada pilihan lain.

Mereka membuat kiraan kemudian merempuh dengan sekuat tenaga. Bila pintu terbuka, kalut mereka mendapatkan Keyra yang sedang menggelupur bagai diserang histeria.

“Ya ALLAH…” Puan Rohana tergamam.

Fahmi mencengkam kedua-dua lengan adiknya sementara Imran memegang kakinya. “Adik mengucap dik… mengucap…”

Namun reaksinya tetap sama.

“Makcik tolong ambilkan air. Letak dalam mangkuk,” pinta Imran.

Puan Rohana masih tidak bergerak. Masih terkejut.

“Ibu…” Fahmi kuatkan suara. “Cepat ibu… “

Sebentar kemudian semangkuk air sudah berada di tangan Imran. Fahmi memegang kejap adiknya.  Imran membaca beberapa surah kemudian disapu ke muka Keyra. Begitu juga dengan kepalanya.

Jeritan Keyra semakin kuat. Perbuatan yang sama diulang berkali-kali oleh Imran hinggalah gadis itu berhenti meronta. Akhirnya Keyra terkulai tidak sedarkan diri.

Tubuh yang tidak bermaya itu dibaringkan ke katil.

“Makcik terus basahkan muka dia,” pinta Imran.

Fahmi dan Imran ke luar dari bilik. Hanya Puan Rohana menemani Keyra yang sudah pengsan.

“Kenapa dengan adik aku tu, Im?” soal Fahmi sambil meraup rambut ke belakang. Dia berjalan mundar-mandir.

“Aku pun tak tahu. Tapi…”

“Tapi apa?”

“Kau ingat tak masa di hospital tadi?”

Dahi Fahmi berkerut.

“Keyra beritahu dia nampak orang ramai di hospital.”

“Jadi?”

“Mana ada orang masa tu, takkan kau tak perasan? Cuma ada dua, tiga orang jururawat.”

“Yalah…” Mata Fahmi terbuka luas. Dia ‘naik seram’. Spontan, bula romanya menegak.

“Mungkin… Keyra nampak sesuatu yang orang lain tak nampak. Aku perasan dari tadi lagi, aku ingatkan kau pun sedar,” kata Imran perlahan-lahan.

“Maksud kau?” Fahmi mahukan penerangan yang lebih jelas walaupun dia dapat mengagak apa yang dimaksudkan temannya.

“Kadangkala dalam keadaan tertentu, ALLAH bukakan hijab seseorang untuk melihat benda-benda halus. Bila aku tengok apa yang berlaku kepada Keyra dan apa yang dia cakap tengahari tadi, kemungkinan tu ada.”

Fahmi terduduk. Dia mendesah beberapa kali. “Jadi kau kena tolong aku.” Dia tahu Imran sedikit berpengalaman dengan situasi itu. Anak murid Haji Muhammad pasti pernah berdepan dengan keadaan sedemikian.

“Aku tak mahir sangat dalam hal ni. Nanti aku tanyakan dengan haji dulu, dia lebih arif.”

“Kau buatlah apa yang patut Im…”

Imran mengangguk. Keadaan Keyra tidak boleh dibiarkan tanpa berubat. Takut emosinya akan terganggu. Malah, tubuhnya juga mungkin akan menjadi lebih lemah.

Bab 11 ~ Jangan panggil Keyra boleh tak?

PELIK! Itu yang Keyra rasa bila dia seorang sahaja yang bersarapan dengan berselera. Puan Rohana hanya menjamah sepotong kuih. Fahmi pula mengunyah nasi lemak macamlah makan dodol. Perlahan dan lambat-lambat. Macam liat benar gayanya. Tarmizi lagi teruk. Makan sambil tongkat dagu. Tak senonoh! Mesti makan sambil berangan!

“Adik dah sihatlah…” Spontan ayat itu terkeluar dari mulut Keyra yang penuh dengan nasi lemak.

Tiga pasang mata memaku pandang ke arahnya.

“Kenapa semua orang sedih dan monyok pagi ni? Nanti rezeki lari baru tahu! Susah hati sebab adik ke? Janganlah risau. Adik memang dah sihat walafiat sekarang ni. Kalau kena lari pusing satu taman ni pun adik mampu tau!” ujar Keyra lagi bersungguh-sungguh.

Tarmizi mencebik. “Huh… perasan! Tak ada maknanya angah termenung sebab Keyra.”

“Jangan panggil Keyra boleh tak?” Entah kenapa hatinya panas apabila Tarmizi memanggilnya begitu. Dia rasa seperti tidak disayangi lagi.

“Dulu adik juga yang paksa kami ubah. Kononnya tak mahu lagi panggil adik sebab dah besar. Dah kahwin…”

“Itu dulu…” potong Keyra cepat-cepat. “Selagi adik masih anak ibu dan ayah… dan selagi adik ni masih adik along dengan angah, jangan berani nak tukar.”

“Yalah!” jawab Tarmizi bagai terpaksa.

“Dah… sekarang habiskan nasi lemak ibu masak tu.”

“Along belilah…” celah Fahmi.

“Oh! Ya ke? Err.. tak kisahlah. Sekarang… semua orang makan. Jangan nak tunjuk muka sengal pagi-pagi ni. Yang along pulak, muka tu kenapa. Along bertumbuk ke?” Keyra merenung wajah abangnya dengan lebih teliti.

“Terhantuk pintu kereta.” Bersahaja Fahmi menjawab.

Tarmizi tersengih.

“Dah tua bangka pun terhantuk pintu kereta. Apalah along ni!” kutuk Keyra sambil tergelak. Kemudian dia menambah nasi lemak yang sudah hampir licin ke dalam pinggan.

Puan Rohana menjeling manja. “Amboi adik… bukan main berselera lagi kalau dapat makan nasi lemak.”

“Yalah ibu… sedap sangat. Nasib baik tak terbantut selera adik tengok rupa orang lain yang macam gerhana matahari.”

Tarmizi mengajuk ayat adiknya. Cuma suaranya sahaja yang tidak keluar. Geram juga dengan apa yang berlaku. Mereka semua susah hati memikirkan masalah Keyra sedangkan tuan punya badan nampak begitu tenang.

“Fikir masalah apa sebenarnya ni?” Sesudu lagi nasi yang cukup enak itu disuakan ke mulut. “Cuba cerita biar adik tolong fikir sama,” sambung Keyra lagi.

“Keluarga Har nak datang esok,” beritahu Puan Rohana.

Keyra tersedak. Beberapa butir biji nasi melantun keluar. “Hantu Jepun!” Perlahan perkataan itu keluar di hujung nafas. Batuknya semakin menjadi-jadi. Sehingga merah matanya. Bahkan, hidungnya sudah berair.

“Hah… cakap sikit dah sentap.” Tarmizi tersengih.

Fahmi yang duduk bertentangan bangun lalu menepuk-nepuk belakang adiknya. Kemudian digosok dengan siku.

Puan Rohana menghulurkan secawan teh. Dah jadi balik perangai lama. Kalau setakat umur yang semakin muda enam tahun tak apa, ini perangai pun dah kembali muda sama. Aduhai! Hatinya resah memikirkan keadaan anak perempuannya.

Jadi isteri tapi ‘tak sedar diri’. Masih fikir dirinya bujang. Kenapalah dia boleh hilang memori begitu? Sedangkan itulah kenangan paling penting dalam hidup mana-mana wanita.

“Ibu…” Meleret suara Keyra tiba-tiba. Matanya merah. Hidung pula berair dan pedih sebab tersedak.

Itu baru sebut nama Hardy. Belum lagi tengok orangnya. Dia masih tak boleh lupa pandangan lelaki itu yang menikam. Oh… memang meruntun kalbu! Tetapi itu tidak bererti dia sudah jatuh cinta. Walaupun hakikatnya, memang tak salah bercinta dengan suami sendiri.

Hantu Jepun! Setiap kali nama Hardy disebut, perkataan itu terus sahaja melintas di kepala. Entah kenapa… dia sendiri tak tahu. Mungkin kerana pertemuan pertama mereka tidak seperti yang dijangka.

Opps… boleh ke diistilahkan pertemuan pertama kalau mereka dah kenal cukup lama? Kongsi katil… kongsi bantal. Aduh! Dan dia tak sanggup membayangkan lebih jauh dari itu. Pelipisnya digaru-garu.

“Kenapa, adik? Sakit kepala?”

Bukan setakat sakit kepala ibu… seluruh jiwa dan raga jadi sakit bila nama Hantu Jepun itu disebut di depannya.

“Along pergi ambil ubat adik di bilik,” arah Puan Rohana.

Keyra mengangkat tangan. Menegah. “Lepas subuh tadi adik dah makan.” Sebolehnya, dia cuba mengurangkan pengambilan ubat penahan sakit yang dibekalkan kepadanya. Hanya diambil bila keadaan benar-benar terdesak sahaja. Bukan apa, cuma bimbang menjadi ketagihan pula nanti.

“Dah tu… sakit kepala lagi?” Puan Rohana risau. Direnung anaknya yang sudah tersandar dengan mata pejam celik.

“Dah okey.”

“Alergi sangat ke bila dengar nama Har?” Kening Puan Rohana sudah seperti jongkang-jongket. Senyumannya melirik ke kanan. Bahu anaknya ditepuk dua kali sebelum duduk semula di tempat tadi.

“Ibuuu…” Suara Keyra panjang meleret.

Tarmizi gelak menyakat sementara Fahmi tersengih geli hati.

“Cuba berkenalan semula dengan dia,” pesan Puan Rohana. Bukan sekali dua dia cakap perkara yang sama. Tetapi Keyra masih berdegil.

“Tak sukalah ibu…”

“Tak suka… tak suka. Dulu bukan main lagi. Adik tahu tak… masa adik nak kahwin dengan Har dulu, ayah tak berapa setuju.”

“Hmm…” Keyra berminat ingin tahu lebih lanjut. Cuma malu mahu bertanya. Cinta terhalang ke?

Puan Rohana menyambung makan dengan senyap sambil sesekali menjeling ke arah anak perempuannya.

“Tak nak tahu ke?” sakat Tarmizi.

Keyra mencebik.

“Masa bercinta bukan main lagi.” Fahmi pula main tarik tali sengaja membuatkan Keyra tertanya-tanya.

Keyra masih diam. Menjeling geram Fahmi dan Tarmizi yang sengaja mahu mengenakan dirinya.

“Kalau nak cerita… ceritalah. Main-main pulak.” Dia sudah membentak dengan wajah garang.

“Dulu, Hardylah lelaki terbaik dalam dunia. Romantik. Understanding. Caring. Huh! Dulu bukan main lagi.” Tarmizi bercerita dengan muka sarkastik.

“Apa pulak!” Muka Keyra jadi merah tiba-tiba.

Fahmi dan Tarmizi bagai berpakat mengenakan dia.

“Ibuuu…” Keyra meminta simpati. Tidak tenteram hati dan perasaan disakat begitu. “Mana aci…” Muncungnya kian terserlah.

“Dulu ayah kata tak boleh tapi adik nak juga. Kononnya Har adalah cinta sejati. Bercinta bagai nak rak…” Puan Rohana pula yang buka cerita.

“Jadi ayah tak setuju? Ayah tak sukakan Har?” Hatinya meronta-ronta ingin tahu perkara sebenar.

Mereka diam lagi.

“Ibu…” Dia ketap bibir.

“Bukannya ayah tak sukakan Har…”

“Habis tu?”

“Ayah cuma tak suka adik kahwin ketika usia masih muda. Baru habis belajar, belum kerja. Tiba-tiba adik cakap nak kahwin. Kami sendiri pun tak tahu siapa Hardy. Belum sempat berkenalan,” sambung Fahmi.

Uh! Gatalnya aku! Bukan ke dulu aku cakap nak kumpul duit banyak-banyak. Kononnya mahu balas jasa ayah dan ibu. Paling tidak pun, bawa mereka pergi makan angin ke Istanbul dulu sebelum kahwin? soalnya sendiri. Kenapa semuanya tak menjadi pulak ni?

“Tapi sekarang sebut nama Har pun tak sudi,” sindir Tarmizi.

“Itu sebab orang tak ingat.” Keyra membela diri.

“Adik kena jumpa dia selalu. Cuba ingat kembali. Dr. Steve cakap memori yang hilang tu boleh datang semula. Amnesia adik berkemungkinan boleh sembuh dengan cepat asalkan pesakit itu sendiri berusaha untuk mengembalikan memorinya yang hilang.”

“Pada angah, lebih elok adik tinggal dengan Har. Hari-hari tengok muka mesti boleh ingat balik. Kenapalah dalam ramai-ramai orang… adik boleh lupa kenangan dengan dia?”

Keyra menjeling tajam.

“Apa kata adik pindah aje dan tinggal semula di Setia Alam?” Tidak teragak-agak Tarmizi suarakan pendapatnya yang dirasakan paling bernas.

“Gila ke angah ni?” bidas Keyra. Nasi yang dikunyah bagaikan tidak tertelan. Sesuka hati aje buat usul macam tu.

“Apa pulak gila? Har tu suami adik.”

Matanya mencerlung tajam tidak berpuas hati. “Mana boleh paksa.” Keyra tetap berpegang dengan pendiriannya. Bagaimana mungkin dia boleh hidup dengan seorang lelaki yang dia sendiri tidak kenal. Kenyataannya memang dia suami, tetapi dalam keadaan sekarang dia tidak mampu menerima Hardy dengan begitu mudah. Dia perlukan masa untuk mereka berkenalan semula dan menyesuaikan diri.

“Ini bukan soal paksa tapi soal tanggungjawab. Kalau benda yang hilang kita sepatutnya berusaha mencari. Tapi cara adik macam nak mengelak,” sindir Tarmizi.

“Apa angah ingat adik suka ke hilang ingatan?” soal Keyra dengan muka geram. Terasa nak tenyeh muka Tarmizi dengan sambal nasi lemak.

Macam manalah Kak Dahlia boleh tahan dengan perangai begitu? Dulu, disangkakan hubungan mereka hanya boleh bertahan hanya setakat lima atau enam bulan. Paling lama pun setahun. Tetapi tak sangka pula hubungan mereka sejak zaman sekolah berkekalan dan kini sudah menjadi pasangan suami isteri. Bahkan, tidak lama lagi mereka berdua bakal menimang cahayamata. Tapi perangai angah dari dulu sampai sekarang tetap sama. Memang T-Rex sungguh!

“Memanglah… tak ada siapa yang suka. Tetapi sekarang ni adik kena terima kenyataan.” Tarmizi terus mendesak.

“Kenapa angah pulak yang kecoh? Hardy pun suruh adik buat keputusan sendiri. Tunggu sampai adik betul-betul bersedia dan boleh terima kenyataan tentang status kami. Bukannya macam angah, semua benda nak paksa orang,” hamburnya geram.

“Kalau angah di tempat Har pun angah cakap benda yang sama. Sebab dia akan rasa bersalah kalau suruh adik tinggal dengan dia. Tapi adik kenalah faham juga keadaan Har sebagai seorang suami.”

Keyra mencemikkan muka. Tidak bersetuju langsung dengan cadangan Tarmizi. Kalau hati tak mahu terima, buat apa pun tak akan jadi. Jadi angah kenalah faham kedudukannya sekarang.

“Dahlah angah… jangan dipaksa. Biarlah adik betul-betul sihat dulu. Ibu tak memihak kepada sesiapa. Keyra pun dah tahu semua cerita. Har pun faham situasi sekarang. Kamu berdua berbincanglah. Selesaikan masalah ini.”

Lepas Puan Rohana bagi kata putus, suasana tegang berubah jadi sepi. Tapi tak lama. Hanya dua minit. Tarmizi buka cerita baru.

“Along… tanyalah…” pinta Tarmizi tiba-tiba sambil menjeling ke arah adiknya yang masih mencuka.

“Ada lagilah tu…” Keyra menggumam perlahan.

Fahmi menarik nafas panjang kemudian diam.

Keyra pandang dengan penuh tanda tanya. Kalau nak tanya… tanya sajalah. Ni buat saspens. Seram betul! Omelnya dalam hati.

“Along nak tanya pasal semalam.”

“Kenapa dengan semalam?” Keyra teguk Teh O perlahan-lahan. Cuba meredakan gemuruh di dada.

“Adik ingat tak apa yang berlaku.”

Keyra mengerut dahi. Kemudian menjulingkan mata ke atas. “Seingat adik… adik tidurlah. Nyenyak sangat. Sampai along kejutkan bangun solat subuh pun rasa malas semacam. Masih letih dan mengantuk.”

“Itu aje yang adik ingat?” soal Puan Rohana pelik. Malah, rasa ngeri turut terkesan di hatinya. Mengingatkan tingkah anaknya petang semalam membuatkan bulu romanya meremang semula.

“Semalam adik mimpi hantu,” kata Keyra tiba-tiba.

“Haaa!” Fahmi kaget.

Jawapan spontan Keyra membuatkan ibu dan abang-abangnya gelisah.

“Macam betul aje mimpi tu. Adik jumpa perempuan berpakaian putih dengan rambut mengerbang. Cuma muka dia adik tak nampak. Bila adik menjerit, suara adik macam tak nak keluar. Adik meronta untuk lari… tapi tubuh badan rasa terikat.” Keyra buat reaksi geli-geleman.

Tarmizi menelan liur. Fahmi mengurut dagu manakala Puan Rohana meraup muka. Pagi-pagi begini cerita sebegitu membuatkan renik peluh mula membasahi tubuh mereka.

Hati Fahmi cukup walang. Mungkin bagi adiknya semua itu sekadar mimpi, tetapi baginya perkara itu memang serius. Malah kata Imran, kalau tidak dirawat dengan segera kesannya lebih merbahaya. Boleh melemahkan jasad dan jiwa Keyra.

“Nasib baik cuma mimpi. Kalau tak… mahu diserang histeria agaknya. Ngeri dan menakutkan!” tambah Keyra lagi.

Fahmi dan Tarmizi saling berpandangan. Tak tahu perlu beri reaksi yang bagaimana. Dalam hati hanya mampu berdoa agar peristiwa seperti semalam tidak akan berulang lagi.

Bab 12 ~ Tapi Har masih sayangkan Keyra…

HARDY kian gelisah. Pertemuan yang disangkakan mampu mencapai kata putus dan menyelesaikan masalah nampaknya kian rumit dan tegang. Sejak tadi dia hanya mendiamkan diri di sebelah uminya, Puan Noraini. Dia mahu memberi ruang kepada orang tua untuk berbicara lanjut.

“Jadi betullah Keyra tak ingat langsung siapa Har dan siapa kami?” Suara Puan Noraini sedikit keras. Wajahnya tiada riak ceria langsung.

“Awak pun… sabarlah. Kita bawa berbincang dulu.” Encik Harun berbisik perlahan. Malu pula dengan besannya bila isterinya sudah mula bercakap dengan nada keras.

“Yalah… sampai tak ingat anak kita… suami dia sendiri. Sedih hati saya ni bang.” Puan Noraini luahkan rasa hatinya yang berbuku.

“Benda dah jadi. Awak nak salahkan siapa sebenarnya? Ini semua takdir. Bukan disengajakan.”

Hardy menghela nafas resah dengan suasana yang dirasakan semakin hangat.

Keyra pula tidak berkutik. Hanya menyerahkan segala keputusan kepada kedua ibu bapanya untuk membuat pertimbangan.

“Habis, hubungan mereka berdua macam mana? Har ni macam digantung tak bertali. Dia pun ada maruah sebagai seorang suami.” Puan Noraini terus bersuara.

Puan Rohana dan Encik Khairil langsung tidak mencelah. Mereka mahu mendengar dahulu luahan hati di pihak keluarga Hardy.

“Bagilah masa. Kita tengok perkembangan Keyra macam mana.” Bagi Encik Harun itulah yang terbaik.

“Tapi sampai bila? Sampai bila Har nak duduk sendiri macam tak ada isteri? Kita sendiri tak tahu sampai bila Keyra akan pulih,” hambur Puan Noraini sambil melirik tajam ke arah menantunya.

“Umi… Har setuju dengan abah. Kita bagi Keyra masa. Sekarang ni biarlah kita tunggu dan lihat perkembangan dia macam mana.” Hardy mencelah bila dirasakan dia perlu meredakan keadaan tegang itu.

“Sampai bila?” Suara Puan Noraini mula melengking.

“Beginilah Puan Noraini… buat masa ni biarlah Keyra rehat dan bertenang dulu dengan kami. Kesihatan dia masih belum pulih sepenuhnya. Masih perlu pemeriksaan susulan dari pihak hospital. Har pun kerja dan susah nak jaga Keyra. Pintu rumah kami pun sentiasa terbuka untuk dia datang.”

“Bukan itu caranya Puan Rohana. Saya tak setuju. Kalau dah jadi isteri Har, kenapa pulak perlu tinggal dengan emak bapak lagi?”

“Tapi Har yang izinkan, umi. Untuk kebaikan Keyra juga. Insya-ALLAH… kalau jodoh kami masih kuat, segalanya akan kembali seperti sediakala. Har cuma minta umi dan abah doakan agar Keyra sihat. Doakan agar rumah tangga kami tetap teguh dan kuat untuk mengharungi masalah ini.” Lirih dan dalam suara Hardy.

“Macam mana kalau ingatan dia terus hilang? Sampai bila kamu sanggup tunggu? Setahun? Dua tahun? Sepuluh tahun?” tempelak Puan Noraini geram sambil mendesah kasar.

Hardy terdiam. Dia sendiri tiada jawapan untuk soalan itu. Suasana bertukar sepi seketika.

“Saya bukannya tak sukakan Keyra… bukannya membenci.” Tiba-tiba Puan Noraini berlembut.

Semua mata memandang ke arahnya.

“Tapi dalam hal ni Hardy yang jadi mangsa. Dia lelaki. Sudahlah sebelum ini hampir setahun dia menunggu di hospital. Bila sedar, Keyra pula hilang ingatan. Jadi sampai bila lagi Hardy perlu terus menunggu? Memang tak adil untuk dia.”

“Jadi… apa yang Puan Noraini cadangkan? Apa agaknya jalan terbaik untuk mereka berdua?” soal Encik Khairil. Penat juga dengan kerenah besannya yang tidak mahu bertolak-ansur.

“Saya rasa elok mereka berpisah secara baik. Keyra pun tak kenal suami sendiri lagi.”

“Umi!” Hardy tersentap. Tergamam. Memandang Puan Noraini dengan rasa tidak percaya. Usul itu tidak munasabah.

“Ke situ pulak, awak…” Encik Harun menggeleng kesal. Kenapa begitu singkat pemikiran isterinya. Mudah sangat membuat keputusan. Kalau diikutkan… mereka tidak harus terlalu masuk campur dalam perkara ini. Ada baiknya jika Hardy sendiri yang putuskan.

Degupan jantung Keyra terus berlari laju. Dia tidak berani mengangkat muka. Sungguh dia gerun! Dengan jelingan emak mertuanya yang menyinga sejak tadi membuatkan dia jadi gelabah.

“Har tunggu apa lagi?” soal Puan Noraini lantang.

“Tak semestinya itu pilihan yang ada.” Hardy cuba berlembut.

“Bagi umi hubungan kalian berdua sudah tidak bermakna lagi. Untuk apa lagi Har tunggu kalau dia bukan lagi isteri Har macam dulu.”

“Tapi Har masih sayangkan Keyra. Dia masih isteri Har walau bagaimanapun keadaan dia sekarang.”

“Jangan jadi bodoh Har!”

Semua orang terpinga-pinga. Keadaan kian tegang.

“Janganlah awak terlalu memaksa, Noraini. Kita datang mahu berbincang secara baik. Jangan diikutkan sangat rasa hati awak tu,” nasihat Encik Harun tegas. Sebagai ibu saudara kepada Hardy, isterinya seharusnya cuma menasihati mana yang baik dan mana yang buruk. Bukannya campur tangan begitu sekali.

Dia tahu isterinya terlalu sayangkan Hardy. Dia yang telah membesarkan anak saudaranya itu sejak usianya sepuluh tahun lagi. Tapi kini Hardy sudah dewasa dan matang. Sudah mampu membuat pertimbangan sendiri.

“Maafkan Keyra…” Akhirnya dia bersuara perlahan. “Keyra sendiri keliru dengan apa yang berlaku. Sumpah… dalam fikiran Keyra sekarang tak ada sekelumit pun bayangan seorang suami.”

Hati Hardy bagai dicalar ketika itu. Pengakuan isterinya cukup pedih dan ngilu. Tetapi itulah kenyataan.

“Bukan niat Keyra mahu menyusahkan atau menyakiti sesiapa. Tapi kalau berpisah adalah jalan terbaik, Keyra tak menentang.”

Puan Rohana menghela nafas panjang.

“Tapi ayah tak rasa itu jalan yang terbaik.”

“Memang tak adil Har perlu tunggu Keyra pulih.” Puan Noraini tetap berpegang dengan pendiriannya.

“Tapi Har tak kisah…” Wajah Keyra direnung dalam. Pandangan mata mereka bertaut. “Ambillah masa untuk berfikir dulu.”

“Tapi sampai bila? Ada betulnya cakap umi.”

“Yang penting Har sanggup menunggu. Sebab Har yakin memori Keyra akan datang akhirnya. Hubungan kita akan kembali seperti sedia kala semula.” Suaranya bagai memujuk.

Keyra menggeleng. “But sometime things might turn another way around.” Mereka berpandangan. Cukup sirna.

“Umi tetap mahu kalian berpisah.” Puan Noraini mencelah. Sudah tekad dengan keputusan itu.

Hardy mendesah. Kemudian menggeleng. “Har memang tak setuju dengan cadangan umi dan keputusan Keyra. Kenapa perlu terburu-buru? Yang menanggungnya, Har. Jadi biarlah Har sendiri yang putuskan,” luahnya dengan rasa hiba.

“Kalau begitu bagilah Keyra masa tiga bulan. Kalau  keadaan masih tak berubah… mungkin…  maksudnya jodoh kita sampai di situ aje.” Dia tertunduk. Bagai tidak menyangka ayat itu keluar dari bibirnya. Kejamkah dia?

“Keyra…” bangkang Puan Rohana.

Hardy terdiam. Meraup muka. Dengan hati kecewa dan sakit. “Ini tak adil untuk Har, Keyra… jangan cepat mengalah.” Suaranya bagai merayu. Mahu insan yang dicintai mengubah keputusan.

“Itulah yang terbaik. Ini keputusan Keyra.” Dia sudah tekad. Malah, dia berpegang pada satu perkara sahaja ketika ini. Kalau jodoh mereka masih kuat, walau sehebat manapun rintangan yang mendatang tak akan jadi penghalang untuk mereka mengecap bahagia sebagai pasangan suami isteri.

“Kalau begitu Har minta enam bulan. Beri enam bulan untuk Har buatkan Keyra ingat semula kisah cinta kita,” pintanya sayu. Bagai merayu.

Setelah terdiam beberapa ketika, akhirnya Keyra mengangguk setuju. Tetapi dirasakan tempoh enam bulan itu terlalu lama.

KEK cawan disusun ke dalam bekas. Krim yang melekat dijarinya disuakan ke mulut. Rugi mertua aku balik awal sangat. Tak sempat nak merasa Kek Pisang dengan Krim Mentega Kacang. Nasib baik kepakarannya memasak kek ini masih belum hilang.

Tiba-tiba tubuhnya dirangkul dari belakang.

“Argh…” Jeritan spontan melantun tinggi. Jantungnya bagai mahu terkeluar. Nasib baik dia tak hentak perut lelaki itu dengan siku tadi. Kalau tidak memang semua orang dalam rumah ni boleh terkejut.

“Sorry…” Hardy angkat tangan dengan muka terkejut. Dia sendiri tidak sedar apa yang dilakukan tadi. Pinggang ramping isterinya dirangkul secara tidak sedar dan tanpa berfikir panjang sebaik terbau aroma kek yang sering dijamahnya dulu.

Mungkin kerana kenangan yang datang secara tiba-tiba membuatkan dia terlupa masalah antara mereka. Situasi begitu memang sudah sebati dengan dirinya. Setiap kali ada kelapangan atau hujung minggu, Keyra rajin mencipta resipi baru kek cawannya.

“Hisy… orang muda sekarang ni gelojoh benar.” Puan Rohana tersenyum sambil kenyit mata kepada menantunya. “Di dapur jugak kamu nak bermanja Har. Pergilah kamu berdua ke depan. Biar ibu tolong uruskan kek tu.” Bibir Puan Rohana tersungging dengan senyuman.

“Ibu…” Suara Keyra berbunyi nyaring.

Puan Rohana tepuk dahi. “Ya tak ya juga… ibu pun dah hilang ingatan. Amnesia macam adik pulak.” Dia terus menghilangkan diri dari dapur. Mahu beri laluan kepada pasangan itu untuk cuba bercinta semula.

Muncung Keyra ke depan. Tangannya lincah meneruskan kerja sedangkan dalam hati sudah panas.

“Awak ni kenapa? Apa masalah awak sebenarnya?” soal Keyra sambil mengetap Bibir. Matanya dijegilkan. Garang.

“Abang tak sengaja… tak sedar. It comes naturally.”

Keyra mencebik. Huh! Alasan. Logik ke? Dia hanya menjeling lantas meneruskan kerja. Rasa malas memanjangkan cerita.

“Malam ni keluar dengan Har,” pinta Hardy tiba-tiba. Dia berdiri rapat di sebelah isterinya.

Keyra diam.

“Pleaseee…” Suaranya lunak.

“Pergi mana? Buat apa?” soalnya lebih kurang.

“Ikut sajalah. Nanti awak tahu juga.”

Pelawaan Hardy membuat Keyra jadi seram. Dia resah. Rasa tidak mampu berdua-duanya dengan lelaki itu walau dalam apa keadaan sekalipun.

Bab 13 ~ Saya perlukan penjelasan. Kenapa tiga bulan?

BARU sahaja duduk melayan perasaan di buaian depan rumah, tangannya diraih dan digenggam kemas. Bukan setakat itu sahaja, malah ditarik dan diseret masuk ke dalam kereta. “Apa ni?” Keyra terjerit kecil dengan nafas kencang. Hantu Jepun betul!

“Kamu nak bawak lari ke mana tu, Har?” laung Puan Rohana dari depan pintu. Niat di hati nak keluar siram pokok bunga di laman rumah terbantu secara mengejut.

“Jalan-jalan sekejap ibu.”

“Pergilah… tapi jangan lupa hantar balik, ya.” Puan Rohana tersengih. Geli hati dengan tindakan menantunya.

Mesti Hardy bertekad berani mati sampai sanggup buat cara begitu. Dia sendiri mendengar Keyra menolak pelawaan Hardy untuk keluar bersama. Jadi, mungkin itu sahaja caranya untuk paksa anak perempuannya keluar.

“Okey ibu… nanti Har pulangkan dengan selamat. Jangan risau. Kami tak apa-apa.”

“Okey. Pergilah… ibu tak kisah…” Puan Rohana melambai dengan hati gembira dan senang.

Hardy tersenyum lebar walaupun wajah isterinya masam mencuka.

‘Huh! Ingat aku barang ke apa? Boleh pinjam dan bagi balik sesuka hati! Sesedap rasa!’ Bentak Keyra. “Apa ni? Tak ada cara lain ke? Kenapa paksa-paksa pulak? Awak nak bawa lari saya ke mana? Have you loss your mind?”

“Terpaksa. Sometime things might turn another way around,” jawab Hardy bersahaja. Memulang paku buah keras. Ayat itu yang diluahkan isterinya tadi. Memang tindak terlintas langsung mahu bertindak begitu, tetapi keadaan tiba-tiba sahaja berlaku di luar perancangan.

Keyra menjeling geram. Menggigit bibir. Sakit hati!

Tetapi Hardy tenang sahaja memandu. Langsung tidak menoleh ke arah isterinya yang berwajah bengis dengan nafas menderu kencang.

“Tak suka tau!” Keyra berpeluk tubuh.

Hardy diam.

“Awak ni kenapa? Apa masalah awak?” Suara Keyra serak. Sebak. Geram kerana dipaksa begitu. Nasib baik baju di badannya masih tidak bertukar dan tudung masih tersarung cantik di kepala. Kalau tak memang naya!

Masalahnya sekarang, dia langsung tak bawa sebarang pengenalan diri. Kalau kena tahan polis memang haru. Tak pasal-pasal tidur bilik sempit berpalang besi malam ni.

Macam manalah dia boleh kahwin dengan Hardy? Gila ke apa? Kalaulah aku tahu dari dulu perangai dia begini, sumpah tak kahwin! Pandang pun tak mahu.

Tapi betul ke? Bukan ke angah cakap aku memang syok kat dia separuh mati. Sampai tak menyempat nak kahwin.

“Boleh tak bagi sebab yang logik sikit kenapa awak bawa saya lari dari rumah? Kan tadi saya dah cakap tak nak keluar? Bahagian mana yang awak tak faham?” soal Keyra tidak puas hati.

Mulut Hardy terus beku. Wajahnya tenang. Selamba. ‘Kupujuk-pujuk tak dapat… memang harus kubawa lari’, hatinya bercanda di dalam. Langsung tidak menyesal dengan tindakan itu.

Keyra menoleh. Memandang dengan mata membara. “Sejak bila jadi bisu pulak ni?” soalnya garang.

Setelah hampir sepuluh minit, lelaki itu masih tak mahu buka mulut, Keyra sudah berputus asa mahu menyoal lagi. Dia pun diam sama. Melontar pandangan ke depan dengan hati bengkak dan kian terbakar.

HARDY membuka pintu kereta. Keyra hanya berpeluk tubuh. Membatukan diri. Tidak mahu keluar dari kereta. Apa nak jadi… jadilah! Dia buat tak tahu. Keyra tidak tahu di mana mereka berada. Dia tidak peduli dan tidak mahu ambil tahu. Lantaklah!

Hardy menjenguk. Tersengih sebaik terpandang muncung isterinya. “Awak masih tak berubah. Tetap macam dulu.”

“Huh!” Hanya desahnya sahaja yang kedengaran.

“Tetap cantik di mata saya. And your eyes… seriously, they are amazing. Saya selalu tergoda kerananya.

Kata-kata itu membuatkan Keyra menatap wajah suaminya. Hardy mengenyitkan mata.

Mata Keyra membulat. Terkejut. Main-main pulak dia. Memang nak kena cepuk agaknya! “Gila!”

“Cakaplah apa aje. Saya tetap sayangkan awak.”

Keyra jegilkan mata. Huh! Sayang muka hensem, tapi otak tak ada. Ingat kalau paksa aku macam ni aku suka ke? Lagi benci dan menyampah adalah. Nanti dari enam bulan cuma tinggal enam minggu saja syarat untuk mereka kekal bersama sebagai suami isteri.

Akhirnya, mereka melangkah masuk ke Restoran Tupai-Tupai di Seksyen 13, Shah Alam. Keyra berjalan menghentak kaki. Bagai kuda terpijak paku lagaknya. Terpaksa! Gara-gara kena ugut dengan Hardy, dia terpaksa mengikut kehendak lelaki itu jua.

“Kalau awak tak mahu turun dari kereta dan temankan saya makan, apa kata balik terus ke rumah kita? Jadi saya tak perlu hantar awak balik.”

Dia jadi kecut mendengar kata-kata itu. Kalau Hardy begitu berani membawa dia lari dari rumah ibu bapanya tadi, tidak mustahil dia sanggup bertindak lebih jauh.

“Awak nak minum apa? Jus tembikai, epal atau laici?”

Keyra tetap menggeleng. Itulah reaksinya setiap kali Hardy bertanyakan sebarang soalan.

Hardy membuat pesanan sendiri. Dua nasi goreng seafood dan dua jus tembikai.

“Kenapa ke sini?” soal Keyra sebaik pelayan tadi berlalu.

“Berbincang.”

“Bukan ke kita dah habis berbincang tadi? Dah lupa? Atau awak pun hilang ingatan sama?” sindirnya tajam.

Hardy mencebik. “Tapi masih ada yang belum terjawab. Saya perlukan penjelasan. Kenapa tiga bulan?” soalnya masih ralat.

“Itu yang sebaiknya kan…”

“But not for me.”

“I don’t see the relevant. Kenapa kita perlu terus bersama lagi?”

“Kenapa tidak? Kita sepatutnya tinggal bersama. Habiskan masa berdua. Mungkin boleh membantu pulihkan memori awak. Dan boleh tak cuba dulu sebelum mengaku kalah? Saya sanggup berkorban dan menunggu awak selama hampir setahun, tetapi awak cuma beri saya masa tiga bulan aje?”

Keyra angkat kening. Tunjuk muka menyampah. Tak suka bila lelaki itu mengungkit semula pengorbanannya ketika dia koma. Tapi bukan ke dia bergilir-gilir dengan ahli keluarganya yang lain. Kecoh betullah!

“Cinta kita… perkahwinan kita… tak bermakna langsung?”

Mereka berdua terdiam bila makanan sampai.

Hardy mendesah panjang. Merenung ke dalam anak mata isterinya yang sudah tidak punya rasa cinta. “Makanlah…” pelawanya.

“Tak lapar.”

“Mana cukup makan cup cake. Awak tu kalau makan lambat nanti mulalah sakit kepala.”

Dahi Keyra berkerut. “Mana awak tahu?”

Hardy gelak. “Soalan kelakar…” bidasnya.

“Tak kelakarlah!” bentaknya geram.

“Dah empat tahun saya bergelar suami awak, okey. Walaupun awak dah lupa… Tetapi kenyataan tetap tak pernah berubah. Saya tahu segalanya tentang awak. Luar dan dalam.”

“Hmm…” Bila Hardy keluarkan khutbah begitu dia memang hilang ayat mahu menjawab.

“Kita pernah berkongsi segalanya. Tolong ingat semula… kita pernah berkongsi pinggan, sudu, cawan…”

“Hardy…” potong Keyra. Dia tidak mahu lelaki itu memanjangkan lagi topik tersebut.

“Malah, kita pernah berkongsi baju, bantal, katil dan…”

“Hardy!” Dia picingkan mata dengan gigi diketap kuat.

Lelaki itu ketawa galak membuatkan hatinya kian terbakar. Mukanya sudah bertukar merah jambu. Malu bila Hardy terus mahu mengungkit hal-hal yang lebih peribadi.

“Please… stop it.”

“Saya cuma mahu awak ingat semula. Dan tahu tak… di sinilah tempat kita keluar dating buat pertama kalinya.”

Dia memejam mata sambil menutup telinga. Dengar… tapi buat-buat tak dengar sebab tak tahu nak jawab apa. Sebab sejarah tu memang tidak terlakar dalam kepalanya sekarang. Kalau Hardy tipu bulat-bulat pun dia tak tahu.

“Tahu tak bila pertama kali kita jumpa?”

Keyra hanya mampu menggigit bibir. Dah tahu dia tak tahu… lagi nak tanya! Kalau cerita terus tak boleh ke? Hatinya mengomel geram.

“Saya tak mahu cakap sebab nak awak cuba ingat sendiri.”

Keyra meraup muka. Sabar sajalah!

“Cuba buka mata dan minda. Pandang sekeliling. Mungkin ada suasana dan kenangan kita di sini dulu yang mungkin akan muncul semula.” Suara Hardy bertukar sayu. Betapa dia amat merindui isterinya.

Keyra memandang Hardy dengan hati walang. Bukannya dia tidak simpati, tetapi segala-galanya tentang lelaki itu bagai tidak pernah wujud. Bagaikan sebuah cereka dalam skrip drama.

Pandangannya begitu hiba. Meruntun perasaan.

“Kenapa agaknya takdir bagai mahu memisahkan kita?” soal Hardy dengan suara lirih.

Entah kenapa, bila mendengar ayat itu dia rasa kecewa dan marah. Tapi kepada siapa? Siapa sebenarnya harus disalahkan? Jawapannya memang tiada.